PETALING JAYA – Tiada pengecualian kadar tambang bas walaupun sekolah bercuti tiga minggu pada bulan Disember.
Itu antara respon Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd. Rofik Mohd. Yusof yang mengakui perkara itu telah termaktub pada syarat yang ditetapkan kepada ibu bapa sejak sesi persekolahan bermula awal tahun ini.
Katanya, pembayaran secara penuh itu adalah bagi membantu pengusaha bas yang sekadar meraih hasil pendapatan dengan perkhidmatan tersebut selain untuk menampung kos operasi.
“Ibu bapa harus faham dengan keadaan semasa sebab kos operasi setiap bas sekolah adalah sama, kena juga bayar gaji penuh pemandu.
“Syarat-syarat dalam kad bulanan juga ada memaklumkan bahawa pembayaran tambang bas sekolah adalah penuh untuk tempoh satu tahun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Tambahnya, walaupun kadar tambang sekitar RM80 hingga RM120 bagi setiap pelajar, perkara berkenaan boleh dibincang oleh pihak ibu bapa bersama pengusaha bas bagi mendapat sedikit pengurangan membabitkan kos pembayaran tersebut.
“Kerajaan juga telah menetapkan ibu bapa boleh berbincang bersama pengusaha bas sekolah mengenai kadar tambang bas sekiranya terlalu mahal.
“Mereka boleh berbincang berhubung tambang isu itu kerana apa yang penting adalah anak-anak dihantar pergi dan balik dengan selamat,” katanya.
Mohd. Rofik berkata, sebenarnya masih terdapat segelintir daripada ibu bapa yang bersikap degil untuk membuat pembayaran yuran bas sekolah.
“Perkhidmatan bas sekolah lebih kepada satu bentuk perkhidmatan kebajikan sahaja, sebab kadangkala ada juga ibu bapa yang culas dalam membuat pembayaran untuk tempoh lebih tiga bulan.
“Jadi, soal sekolah hanya untuk tempoh seminggu atau satu bulan tidak sepatutnya dijadikan alasan atau isu,” ujarnya.














