EXIST masih berbisa. Itulah yang boleh disimpulkan menerusi konsert Resolusi Exists yang berlangsung sehari sebelum seluruh rakyat Malaysia keluar mengundi baru-baru ini.
Meskipun ada antara peminat Exists tidak dapat hadir kerana pulang ke kampung halaman untuk menunaikan tanggungjawab mengundi keesokan harinya, Zepp, Kuala Lumpur tetap meriah dengan lebih 1,000 peminat tegar mereka.
Menurut komposer dan pemain keyboard kumpulan Exists, Ajai, pihaknya yakin dengan kehadiran penonton kerana penjualan tiket telah berjalan tiga bulan sebelum tarikh konsert.
“Memang pada mulanya agak terkejut dengan pengumuman tarikh pengundian sehari selepas konsert, tetapi kami tidak bimbang kerana dari dahulu sehingga kini, peminat kami sentiasa memberi sokongan.
“Cuma agak sedih kerana lebih seratus peminat tidak dapat hadir. Ramai atau tidak penonton pada hari konsert, kami tetap redah. Namun, melihat seluruh Zepp penuh kami sangat bersyukur,” kongsi Ajai.

Mendendangkan sebanyak 20 buah lagu, termasuk rantaian lagu berhantu Exists seperti Jesnita, Untukmu Ibu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Rahsia Pohon Cemara dan
Langkah Seiringan, konsert Resolusi Exists boleh dikatakan berlangsung dengan jayanya.
Biarpun pada konsert kali ini tiada suara lunak Ezad Lazim dan gorengan gitar daripada Shah, tetapi penampilan vokalis Mamat dan dua penyanyi muda, Pasha dan Eiz melengkapkan persembahan.
Selain Ajai dan Mamat, konsert kali ini diserikan dengan persembahan daripada anggota asal Exists Musa, Along dan Ujang.
Kongsi Ajai, konsert Resolusi Exists pihaknya berpuas hati apabila peminat dapat menerima konsep resolusi yang dibawakan.
“Konsep resolusi adalah rancangan kedua kami selepas konsep reunion yang membawa semua penyanyi dan ahli original Exists.
“Resolusi adalah satu kelainan dan lebih segar buat peminat. Nampaknya, semua orang boleh menerima konsep yang dibawakan dengan begitu baik,” ujar Ajai lagi.

Kualiti
Sudah menjadi kelaziman setiap kali konsert Exists berlangsung, seluruh dewan konsert akan bergema dengan suara penonton yang menyanyi bersama ibarat berkaraoke secara langsung.
Ditambah pada skrin di atas pentas turut disediakan lirik lagu buat peminat. Bercakap tentang perkara tersebut kata Ajai, penyediaan lirik lagu sudah menjadi tradisi setiap kali konsert Exists.
“Itu memang sudah menjadi tradisi konsert kami. Kebanyakan lagu Exists boleh dinyanyikan bersama. Jadi dengan adanya lirik semua orang boleh menyanyi walaupun mereka terlupa lirik.
“Secara tidak langsung suasana konsert pun lebih meriah. Itu yang kami mahukan penonton datang ke konsert dan pulang dengan rasa yang puas,” luah Musa.
Tambah Musa, selain lagu-lagu popular dan suasana konsert, mereka juga amat mengambil kira kualiti konsert secara keseluruhan.
“Kami buat konsert bukan sebab ramai orang buat konsert, tetapi kami buat konsert kerana sudah tiba masanya untuk kami beraksi di pentas.
“Jadi, mahu memastikan setiap peminat berpuas hati dengan kualiti konsert termasuklah sistem bunyi. Kami mahu wang yang mereka laburkan untuk membeli tiket itu berbaloi,” tutur Musa.

Jelajah
Selepas kejayaan konsert Resolusi Exists, nampaknya kumpulan yang ditubuhkan pada 1991 itu terus merancakkan gerakan survival muzik apabila kembali menggegarkan The Theatre at Mediacorp, Singapura dengan Konsert Exists Reunion pada 13 dan 14 Januari tahun depan.
“Perancangan awal hanya sehari, tetapi disebabkan tiket habis terjual dalam tempoh yang singkat dan mahu berlaku adil kepada semua peminat, penganjur memutuskan untuk menambah hari konsert.
“Buat konsert reunion, kami akan bergabung dengan semua anggota asal Exists,” ujar Ajai.
Ditebak, tidakkah kumpulan Exists mahu muncul dengan sebuah lagu baharu, jawab Ajai selepas memiliki seleksi lagu yang cukup, kini sudah tiba masanya untuk mereka menjelajah menghiburkan peminat.
“Fasa pertama merakamkan lagu yang cukup. Sekarang kami berada dalam fasa kedua iaitu mengadakan konsert. Sejujurnya Exists sudah mempunyai barisan lagu yang cukup kuat.

“Tahun hadapan selain konsert reunion di Singapura dan bulan Mac di Malaysia, kami juga bakal mengadakan konsert 10 buah jelajah di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
“Jadi, merakamkan lagu baharu tiada dalam perancangan kami dalam masa terdekat. Biarlah kami menikmati momen istimewa ini bersama peminat,” kata Ajai.
Selepas 31 tahun, kumpulan Exists masih utuh bukan sahaja daripada segi karier muzik, tetapi juga persahabatan yang terjalin antara mereka.
“Rahsia kami kekal bertahan sehingga ke hari ini adalah muzik adalah minat dan kerjaya kami sehingga ke hari ini.
“Setiap anggota Exists masih berkarya sebagai ‘orang muzik’ hampir setiap hari sebagai penyanyi, komposer, pengarah dan penerbit muzik dan kami tidak pernah berhenti. Mungkin kerana itu, Exists masih kekal relevan sehingga hari ini,” tutur Ajai















