TANGGAL 19 November lalu menjadi satu lipatan sejarah buat pentas politik Malaysia apabila berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Pun begitu, Parlimen tergantung beberapa hari rentetan tiada mana-mana parti politik yang berjaya memperolehi majoriti mudah iaitu 112 kerusi bagi membentuk kerajaan.
Selepas lima hari berteka-teki dan menjadi tanda tanya rakyat, akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mewakili Pakatan Harapan sah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada petang Khamis lalu.
Sebuah kerajaan perpaduan telah dibentuk melibatkan gabungan beberapa parti politik utama, sekali gus merealisasikan pembentukan kerajaan pasca PRU15 yang mampu memacu negara ke landasan tepat.
Bagi membincangkan dan mengupas lebih lanjut mengenai perkara tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI berkesempatan menemu bual penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub.
KOSMO! AHAD: Negara baru sahaja selesai merayakan proses demokrasi menerusi Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada 19 November lalu. Bagaimanakah Dr. melihat perjalanan PRU15 secara keseluruhan? Adakah ia semakin baik atau masih ada ruang yang boleh diperbaiki?
DR. MOHAMMAD TAWFIK: Secara keseluruhannya, saya berpandangan PRU15 masih kurang memuaskan walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah berpengalaman sebanyak 14 kali menguruskan pilihan raya dan beberapa siri pilihan raya kecil di negara ini.
Terdapat beberapa isu kelemahan proses perjalanan pilihan raya yang serius seperti terdapat calon yang masuk mengundi dengan memakai baju berlambang parti, pengundi pos luar negara menerima undi dua kali dan kelewatan pengumuman keputusan PRU15 hingga ke awal pagi.
Bagi saya, kelemahan tersebut tidak boleh diterima sama sekali hingga memperlihatkan ketidakcekapan SPR sebagai institusi utama yang diyakini dan dipercayai oleh rakyat untuk mengendalikan pilihan raya.
Kelemahan-kelemahan ini perlu diperbaiki secara drastik dengan meminda prosedur kerja, dasar dan kepimpinan SPR juga perlu ditukar sekiranya mereka merupakan punca kepada tercetusnya kelemahan tersebut.
Kerisauan pengundi terbukti apabila terdapat beberapa pusat pengundian seperti di Baram (Sarawak) dan Sepang (Selangor) yang terpaksa ditutup akibat bencana banjir ketika hari pengundian.
Keputusan PRU15 menunjukkan tiada satu parti atau pakatan yang berjaya memperoleh majoriti mudah sehingga menyebabkan Parlimen tergantung. Bagaimanakah Dr. melihat situasi ini, adakah ia sesuatu yang normal kepada sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen?
Sebagai pengkaji bidang Sains Politik, saya berpandangan situasi Parlimen tergantung merupakan perkasa biasa bagi negara-negara yang mengamalkan demokrasi dan perlu dinormalisasikan dalam praktik politik negara.
Antara negara-negara yang pernah berhadapan dengan situasi sama ialah Belgium, Britain, Perancis. Namun, negara-negara berkenaan berjaya menanganinya dengan baik oleh parti-parti politik yang terlibat menerusi formula berkesan.
Rakyat Malaysia perlu dibiasakan dengan situasi sedemikian dan tidak perlu panik sepanjang tempoh berkenaan kerana pentadbiran kerajaan masih diterajui caretaker yang memiliki kuasa terhad.
Saya memuji rakyat Malaysia yang tidak beremosi atau bertindak di luar kawalan sepanjang tempoh Parlimen tergantung, sekali gus membuktikan kita sedang beralih kepada kematangan politik lebih baik berbanding sebelumnya.

Ketidaktentuan politik telah menyebabkan ekonomi negara berada dalam keadaan tidak stabil. Situasi ini telah merugikan negara. Justeru, apakah usaha yang boleh dilakukan oleh pemimpin yang dilantik bagi mengembalikan keyakinan para pelabur dan memulihkan ekonomi negara?
Pemimpin politik sama ada daripada blok kerajaan dan pembangkang selepas ini perlu bersama-sama mewujudkan gencatan politik untuk menamatkan percakaran serta perbalahan politik berterusan yang merugikan negara.
Gencatan politik ini boleh dilakukan dengan meneruskan perjanjian persefahaman (CSA) sepertimana yang pernah dilakukan sebelum ini sehingga berjaya merealisasikan pelbagai perubahan untuk negara.
Indikator penting yang membanggakan menerusi perjanjian itu adalah penggubalan dan kelulusan Akta Anti Lompat Parti yang mendapat sokongan daripada ahli-ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Kejayaan tersebut perlu diteruskan oleh pemimpin-pemimpin politik untuk memulihkan semula negara yang terkesan dengan pelbagai masalah rumit berkaitan politik dan ekonomi.
Malah, pemimpin-pemimpin parti politik perlu mengubah sikap mereka, mempunyai iltizam politik dan mengetepikan perbezaan untuk mengembalikan keyakinan serta kepercayaan rakyat, pelabur asing dan negara-negara lain.
Adakah kerajaan perpaduan yang diwujudkan itu boleh bergerak maju dan membawa negara ke hadapan terutama dalam membangunkan ekonomi dan infrastruktur negara?
Setiap pemimpin perlu berjiwa besar dan membuang keegoan politik dalam kalangan mereka bagi memastikan kerajaan campuran yang dibentuk tidak goyah dengan ancaman dan ugutan berterusan terhadap kerajaan.
Malah, dasar-dasar ekonomi dan pembangunan yang memberi kebaikan kepada negara perlu disokong sepenuhnya bagi memastikan agenda pemulihan tidak terencat disebabkan oleh segelintir pemimpin yang masih tidak berpuas hati.
Saya juga berpandangan, setiap Ahli Parlimen perlu melepaskan jawatan mereka dalam parti politik sehingga tamat penggal sebagai wakil rakyat. Ia bagi memastikan elemen politik kepartian tidak mengganggu tugas mereka dalam kerajaan, sekali gus dapat menamatkan pengaruh dan arahan parti dalam kerajaan campuran.
Sepanjang musim PRU15 kali ini, kita melihat pelbagai sentimen perkauman dimainkan oleh parti-parti politik sehingga mewujudkan bibit-bibit perpecahan dalam masyarakat. Justeru, apakah langkah terbaik yang boleh diambil bagi memulihkan situasi ini?
Pelbagai serangan peribadi dan pendekatan berbaur perkauman sepanjang tempoh berkempen dalam PRU15 merupakan tindakan yang sungguh mengecewakan demi meraih sokongan.
Mereka sedar bahawa budaya politik perkauman masih ‘laku dan laris’ dalam pasaran politik Malaysia. Jadi, mereka terus mengapi-apikan sentimen perkauman untuk kepentingan politik masing-masing.
Justeru, pemimpin negara selepas ini perlu memastikan pindaan Perlembagaan atau undang-undang khusus berkaitan isu perkauman dapat digubal segera.
Rakyat sudah lesu dan letih dengan politik perkauman yang telah lama dijadikan senjata oleh orang politik untuk memusnahkan peluang lawan atas faktor dasar dan kematangan isu.
Kejayaan pentadbiran seseorang Perdana Menteri bergantung kepada ahli Kabinet yang dilantik. Justeru, apakah kriteria-kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum seseorang itu dilantik menjadi menteri?
Ahli Kabinet yang bakal dilantik dalam kerajaan baru selepas PRU15 mesti dalam kalangan mereka yang berpengalaman dan mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang berkaitan kementerian.
Mereka juga perlu bersedia melakukan reformasi dan pelaksanaan dasar, mempunyai idea yang segar dan berwawasan, mengurangkan mesyuarat dan lebih berminat untuk turun ke lapangan bagi lebih memahami isu-isu akar umbi.
Saya yakin rakyat memerhati saiz dan keanggotaan Kabinet baharu, malah Perdana Menteri tidak boleh sewenang-wenang melantik kroni politik dan individu yang lemah atas tujuan membalas budi mereka yang berjasa kepada parti.
Sebelum ini, ada individu yang tidak layak telah dilantik menjawat jawatan menteri atas kapasiti kuota parti dalam gabungan. Keadaan ini menyebabkan berlakunya ketidakcekapan dalam pentadbiran. Boleh Dr. ulas perkara ini?
Kita tidak lagi boleh mengulangi kesilapan lalu dengan melantik individu sebagai menteri berdasarkan alasan kuota, simpati dan ingin menjaga hati komponen parti-parti.
Disebabkan terlalu menjaga hati parti komponen ini, kita pernah mempunyai menteri yang tidak cerdik menjawab soalan dan mengherdik wartawan serta pengamal media.
Bagi saya, era menteri yang bersikap sedemikian telah berakhir dan setiap lantikan ke jawatan berkenaan perlu dinilai secara terperinci oleh Perdana Menteri.
Ia bagi mengelakkan Kabinet dianggotai oleh menteri-menteri yang tidak berkeupayaan dan sekadar makan gaji buta.
PRU15 menyaksikan beberapa figura berkaliber dalam pentadbiran kerajaan tewas di kawasan masing-masing. Justeru, perlukah individu-individu ini dilantik sebagai Senator bagi membolehkan mereka berada dalam Kabinet yang bakal dibentuk?
Lantikan Senator bukanlah talian hayat atau hadiah kepada mana-mana pemimpin parti politik atau calon-calon yang tewas dalam PRU15 untuk dilantik semula ke dalam Kabinet.
Malah, parti pemerintah tidak boleh memanipulasi Dewan Negara untuk kepentingan peribadi bagi membuka peluang kedua kepada rakan-rakan politik mereka untuk dipilih sebagai Senator.
Bagi saya, talian hayat kedua kepada calon-calon yang kalah dalam PRU15 untuk dipilih sebagai Senator perlu dihentikan.
Ruang berkenaan perlu diberikan kepada individu-individu yang lebih layak dengan pengalaman, profesionalisme dan mampu memberi sumbangan besar kepada negara.
Namun, tidak menjadi satu kesalahan dan tidak janggal sekiranya melantik calon-calon atau figura politik yang tewas dalam PRU15 lalu sebagai menteri. Ini kerana ramai dalam kalangan mereka mempunyai kemampuan, bakat, wibawa yang boleh diketengahkan.














