PETALING JAYA – Kerajaan minoriti akan dibentuk sekiranya mana-mana gabungan parti politik gagal mengemukakan majoriti mudah bagi membentuk kerajaan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, pembentukan kerajaanminoriti itu bagaimanapun dilihat tidak kukuh dan mudah untuk ditumbangkan.
Ini kerana, katanya, Perdana Menteri yang dilantik menerajui kerajaan moniriti tidak mendapat sokongan kuat daripada parti untuk membuat sebarang keputusan kerana perlu bergantung kepada sokongan parti lain.
“Perdana Menteri yang dilantik menerajui kerajaan minoriti ini perlu mendapat sokongan bukan sahaja daripada partinya, tetapi juga parti-parti lain sebelum persidangan Parlimen.
“Jika gagal berbuat demikian, Perdana Menteri tersebut akan kalah dalam undi tidak percaya, tetapi sekiranya ada sokongan beliau boleh kekal,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Mengulas lanjut, Muhammad Fathi memberitahu, beliau percaya Yang di-Pertuan Agong akan membuat keputusan yang lebih baik berbanding pilihan yang Seri Paduka Baginda ada.
“Kita tunggu sahaja pengumuman kelak. Saya yakin Yang di-Pertuan Agong tidak akan melengahkan lagi masa untuk parti-parti berunding.
“Pelantikan kerajaan dan Perdana Menteri perlu dibuat secepat mungkin,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














