HARI ini, negara menyaksikan permulaan pembentukan kerajaan baharu selepas rakyat Malaysia turun mengundi bagi memilih tampuk pemerintahan menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam.
Sama seperti semua rakyat Malaysia yang lain, aktres Sherry Ibrahim menyimpan harapan tinggi terhadap kerajaan baharu yang dipilih bagi meneraju negara ke arah lebih baik selepas ini.
Stabil dan mampu menaikkan ekonomi negara. Demikian harapan yang disuarakan pelakon dengan nama lengkap Syarizad Ibrahim itu untuk masa depan Malaysia cemerlang di tangan pihak yang adil, tulus dan ikhlas demi rakyat.
Ditanya tentang pengharapan menerusi landskap politik yang baru dibentuk, aktres yang kini bergelar usahawan itu mahu lebih banyak peluang dibuka untuk golongan wanita dalam pelbagai cabang kerjaya.
“Harapan saya sebagai rakyat, agar kerajaan mempelbagaikan inisiatif bantuan yang boleh membuka ruang lebih fleksibel.
“Supaya sumbangan dapat disalurkan kepada yang memerlukan terutama golongan bawahan, termasuklah wanita,” ujarnya yang berharap ada penubuhan pusat transformasi usahawan wanita di seluruh negeri.

– FARIZWAN HASBULLAH
Jangan hakimi
Pertemuan empat mata bersama aktres yang pernah mencipta populariti menerusi drama Teduhan Kasih sekitar 2013 itu pada awalnya berkisar tentang perkembangan terkini dalam soal kerjaya dan peribadi.
Kemunculan semula bekas pramugari itu dengan menyertai program The Masked Singer musim kedua menghangatkan keinginan untuk mengambil tahu tentang kerjayanya selaku pelakon, sedikit sebanyak menyentuh perihal usia dan perkahwinan.
Tegas Sherry, setiap manusia berdepan perjalanan hidup yang berbeza. Lantas, jangan persoalkan atau terlalu mudah menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya terhadap golongan wanita yang belum berkahwin.
“Bukan isu pun kalau seseorang wanita itu tak kahwin lagi. Orang di luar sana saja yang melebih-lebih, sedangkan saya okey. Ada lebih waktu untuk bersama keluarga.
“Jangan ingat saya tak nak kahwin. Bukan. Tapi semuanya berbalik kepada jodoh. Jadi jangan mudah jatuh hukum kepada wanita yang belum berkahwin,” katanya.
Pendirian tersebut sedikit sebanyak menutup kelompongan isi hati, sehinggakan Sherry tidak terlalu pusing memikirkan perihal jodoh atau perkahwinan.
Wanita berusia 39 tahun itu juga tidak mahu menjadikan faktor usia sebagai kelemahan pada mata orang lain.
Kata Sherry, soal jodoh sebenarnya sangat sensitif kerana itu adalah aturan Yang Maha Esa, jadi siapalah kita sebagai manusia untuk mempersoalkannya ?
“Kalau tanya saya, jawapan memang klise, tak ada jodoh lagi buat masa sekarang.
“Tetapi saya tak kisah sebab saya ada kerja, bisnes, keluarga dan rakan-rakan. Keutamaan saya sekarang adalah diri sendiri sebab saya ada banyak benda nak buat.
“Sampai satu tahap, saya fikir, tak mengapa (kalau tiada jodoh), reda saja.
“Kalau saya mati, di sana (syurga) ada lelaki sudah menunggu. Sebab itu sekarang saya tak kesah pun soal itu,” luahkanya tegas.

Perkasa wanita
Sebagai wanita bekerjaya dan memiliki kehidupan stabil, Sherry yang membina kerjaya selaku pelakon menerusi drama Dunia Baru tidak melihat faktor tersebut menjadi punca sukar didekati lelaki.
Sebaliknya, dia melihat situasi tersebut dari sudut berbeza dengan menjadikannya sebagai satu pendekatan supaya golongan wanita berdiri atas kaki sendiri demi mencapai matlamat hidup.
“Mungkin sebab saya tak kahwin tapi sebagai wanita, saya tak suka melihat kaum sendiri lemah semangat dalam hidup.
“Inilah masanya untuk buat apa yang dimahukan. Contohnya jaga keluarga dan sentiasa ada bersama mereka pada waktu susah senang. Bukannya tak kahwin sampai boleh buat jadi cacat dan tak boleh bekerja,” ujarnya.

Sherry yang kini sibuk mengusahakan perniagaan sebuah spa kecantikan khas untuk kaum wanita iaitu Khatulistiwa Spa kembali merancakkan karier seni dengan sebuah drama baharu berjudul Wanita Milik Tuan Putra.
Pertama kali memegang watak antagonis sejak berhijab, aktres itu mengakui bebanan yang dipikul untuk karakter Tania amat memenatkan.
“Drama ini ada dua fasa, jadi untuk membangunkan karakter jahat paling mencabar. Sebab penat sangat dan jadi tak seronok kerana hidup Tania asyik fikir tentang nak jatuhkan orang.
“Sampai satu tahap, saya rasa keliru sebab tak sanggup jadi jahat dan buat kekejaman terhadap Bunga lakonan Intan Najuwa. Peminat pun ada yang tanya kenapa saya jadi jahat. Tapi itulah kerja pelakon,” ulasnya.















