PETALING JAYA – Parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak boleh sewenang-wenangnya menabur janji melalui manifesto separuh masak kerana pengundi sudah tahu menilai sama ada ia dipercayai atau sebaliknya.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, pengundi sudah pandai menilai antara manifesto realistik atau sekadar janji-janji manis.
“Kalau manifesto itu sesuatu yang kuat dan disebarkan secara teratur ia mungkin masih boleh meyakinkan mereka.
“Bagaimanapun, kini terdapat pengundi yang kritis terhadap manifesto selepas berlakunya ‘trauma’ pada pilihan raya lalu,” katanya.
Awang Azman berkata, manifesto yang realistik ialah yang disertakan dengan perincian tentang janji-janji seperti menghapuskan tol.
“Katakanlah kalau negara perlu RM5 bilion untuk tujuan itu, jadi dari mana kos RM5 bilion ini akan diperoleh untuk menampung janji itu,” katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian pula menjelaskan, tanggapan sebilangan ahli politik manifesto tidak harus dilaksanakan sepenuhnya adalah satu janji manis.
“Memang ada (ahli politik) yang pernah kata manifesto bukan kitab, tetapi bagi pengundi ini adalah janji pilihan raya. Jadi, ia harus dilaksanakan,” katanya.
Jelasnya, pengundi Malaysia sudah semakin celik kerana terdapat banyak sumber untuk mereka jadikan rujukan dalam menilai manifesto.
Justeru katanya, parti politik perlu berhati-hati dalam memberi keyakinan terutama janji-janji yang tidak pernah ditunaikan.














