fbpx

PRU15: Zahida bataskan pergerakan berkempen kerana dalam idah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video Zahida memperkenalkan dirinya sebagai calon BN bagi Parlimen Padang Besar, hari ini.

PADANG BESAR – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Besar, Datuk Zahida Zarik Khan menjelaskan bahawa beliau terpaksa membataskan pergerakan ketika berkempen kerana masih dalam tempoh idah selepas kematian suami pada 20 Ogos lalu.

“Dalam keadaan masih dalam iddah, saya membataskan pergerakan diri ketika berkempen bagi mematuhi perintah syarak yang diajar kepada saya,” kata Zahida menerusi satu video dalam akaun Facebook rasminya, hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO hadir pada proses penamaan calon di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini hari ini, namun hanya menghantar wakil ke pentas semasa pengumuman calon dibuat.

Zahida dicalonkan di kerusi itu selepas nama penyandang, Datuk Zahidi Zainul Abidin digugurkan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan kali ini menyaksikan persaingan lima penjuru termasuk Zahidi sebagai calon bebas.

Dalam video sama, Zahida memperkenalkan dirinya sebagai calon Parlimen Padang Besar dan memberitahu bahawa beliau memikul amanah yang diberikan parti untuk mengukuhkan bilangan kaum wanita di Parlimen.

“Ini bukan bermakna saya menjadi pejuang wanita semata-mata, ia adalah amanah untuk membawa seluruh rakyat Padang Besar di mana sahaja saya berada,” ujarnya.

Katanya, dia juga menyedari betapa pentingnya sokongan daripada jentera BN dan seluruh rakyat di sini.

“Saya sedar ini masa untuk saya mengenal setiap segi mengenai keluhan, gaya hidup, kesantunan, makanan, budaya serta keperluan rakyat di sini.

“Ini menuntut masa untuk saya mempelajarinya dan menyusun langkah terbaik untuk memahami keperluan rakyat di sini.

“Ajarlah dan didiklah saya. Saya bergantung harap kepada seluruh jentera BN Padang Besar. Tenaga dan penat lelah kalian adalah kekuatan saya,” jelasnya.

Zahida turut menyatakan bahawa kesemua calon Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Padang Besar menjadi rujukannya.

“Kakanda semua adalah tiang-tiang seri yang mengukuhkan sebuah rumah jentera BN. Kukuh dan kuatnya anda, kuatlah juga kami dalam menerima apa jua badai melanda.

“Kita bergerak dalam satu pasukan dan keluarga besar,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI