KISAH orang tersesat di dalam hutan rimba bukanlah sesuatu yang pelik di negara ini.
Kes pendaki bukit atau gunung yang tersesat juga sering dilaporkan oleh media tempatan.
Namun, apa yang pasti apabila berada di ‘wilayah’ asing, jangan pula kita berlagak seperti di kampung sendiri.
Kisah yang ingin diceritakan ini melibatkan seorang pesara jabatan kerajaan yang bekerja sebagai kakitangan sokongan di Jabatan Ukur (kini dinamakan sebagai Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia).
Menurut Nazri Manap, 86, yang ditemui di Sekinchan, Selangor baru-baru ini, pengalaman ketika sesat di hutan sempadan Gerik (Perak) dan Jeli (Kelantan) itu masih berbekas di mindanya.
“Peristiwa saya tersesat di dalam hutan di sempadan Perak-Kelantan pada awal 1980-an amat menakutkan.
“Pada mulanya, saya sedang membersihkan semak samun untuk dijadikan laluan sebelum tiba-tiba saya seperti berada di kawasan yang begitu sunyi,” katanya.
Nazri yang mempunyai sembilan orang anak berkata, semasa kejadian, dia telah berusia awal 40-an dan mempunyai pengalaman luas dengan selok-belok hutan rimba.
Namun, katanya lagi, apabila menyedari dia sudah terpisah daripada enam lagi rakan secara fizikal, mulutnya mula kumat-kamit membaca ayat suci al-Quran yang terlintas di fikirannya.
“Suara hiruk-pikuk kawan-kawan bersembang langsung hilang ditelan kesunyian hutan rimba.
“Saya mula memekik memanggil nama kawan-kawan serta mandur.
“Seorang pun tidak menjawab sedangkan saya baru terpisah daripada gerombolan rakan sekerja sejauh 20 meter,” jelasnya.
Katanya, waktu ketika itu betul-betul pukul 12 tengah hari dan perutnya sudah mula ‘berkeroncong’.
Jelasnya lagi, hampir sejam dia berpusing-pusing di tempat sama hingga tubuhnya terasa penat yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Rasa bimbang kepada binatang buas seperti gajah, harimau dan ular sawa seakan hilang. Hutan rimba itu hanya kedengaran bunyi deruan angin tanpa suara unggas seperti kelaziman.
“Setelah menebas pokok-pokok kecil, saya duduk berehat seketika di tepi pangkal sebatang pokok besar.
“Zaman itu mana ada telefon bimbit macam orang sekarang. Sedang asyik melayan perasaan saya tertidur,” katanya.
Katanya, semasa tertidur, dia terdengar bunyi orang sibuk memasak seperti periuk dan sudip berlaga.
“Bunyi bising itu betul-betul di tepi telinga saya, jaraknya sekitar dua meter. Saya dapat rasakan sekumpulan lebih 10 orang sedang rancak memasak sambil berbual pelbagai perkara.
“Bau orang menumis gulai kari membuatkan saya terbersin. Niat membuka mata langsung tidak ada. Semua kisah yang dibualkan oleh mereka ibarat sebuah drama radio yang seronok untuk didengarkan,” katanya.
Nazri yang masih sihat berkata, bau gulai kari tersebut cukup ‘menyengat’ hidungnya, namun kedua-dua matanya terus tertutup rapat sehinggalah segalanya kembali sunyi.
Nazri berkata, setelah membuka mata, dia melihat di sekelilingnya masih kawasan hutan yang sama, namun bau kari masih berbaki.
“Tidak ada lagi bunyi orang berbual seakan drama bangsawan purba itu. Deruan angin diganti kembali bunyi unggas sebagaimana sebelum saya tersesat di zon misteri tadi.
“Tiba-tiba terdengar suara rakan-rakan sekerja memanggil nama saya. Rupa-rupanya waktu zuhur telah masuk kira-kira pukul 1.30 tengah hari,” katanya.
Jelasnya, semua rakan sekerja memeluk dirinya dengan rasa terharu.
Kawan-kawannya berkata, mereka telah mencari dia di kawasan yang sama berkali-kali, namun tidak menjumpainya.
“Sehinggalah kawan-kawan melaungkan azan selepas lebih dua jam mencari saya di kawasan tidak jauh dari pangkal pokok saya tertidur tadi.
“Apa yang pelik selepas terjaga daripada lena, perut saya terasa begitu kenyang dan badan yang penat kembali cergas,” ujarnya.
Seorang ustaz menjelaskan kepadanya, dia mungkin tersesat di kampung bunian dan apa yang menguntungkan masyarakat di situ sedang mengadakan rewang kenduri.
Selepas peristiwa pelik tersebut katanya, kawan-kawan sering bergurau mengatakan nasib dia sama seperti watak Abdul Wahub dalam filem Tiga Abdul arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
“Mereka samakan saya seperti Abdul Wahub. Ini kerana saya tidak berpeluang menjamah makanan di kampung bunian berkenaan, sebaliknya hanya mampu ambil bau sahaja,” katanya.
Ceritanya lagi, peristiwa pelik tersebut menyebabkan dia rasa serik untuk melakukan kerja tanpa teman di sisi.














