fbpx
Gambar hiasan

Orang muda mahu kerja kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kurang risiko dibuang kerja antara kelebihan utama yang membuatkan ramai orang muda mahu berkhidmat sebagai penjawat awam biarpun gaji yang ditawarkan lebih rendah berban­ding sektor swasta.

Berdasarkan tinjauan Kosmo!, rata-rata generasi muda berumur 35 tahun ke bawah mengakui sedang berusaha dan tidak pernah berputus asa untuk memasuki perkhidmatan awam.

Seorang perunding jualan kenderaan, Mohd. Amirul Faz­li Zulkafli, 28, berkata, hasratnya untuk memasuki sektor awam belum tercapai meskipun telah menghadiri pelbagai ujian dan temu duga sejak tahun 2014.

“Sekarang ini agak mencabar untuk menempatkan diri dalam sektor awam kerana banyak sai­ngan daripada Gred 19 hingga 41.

“Beberapa rakan saya yang lain juga sedang berusaha untuk bekerja dengan kerajaan meski­pun sudah beberapa tahun dalam sektor swasta.

“Malah ada juga yang mempunyai gaji melebihi RM4,000 sebulan di sektor swasta masih mahu kerja kerajaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Menurutnya, jaminan kerjaya secara tetap adalah penting bagi menjamin masa depan.

“Contohnya, saya mempunyai ijazah sarjana muda dan mungkin ditawarkan jawatan sebagai pegawai Gred 41 sebelum dinaikkan lagi gred dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Apabila pencen, saya mungkin akan menerima bayaran yang lebih tinggi dan mencukupi untuk menampung kos sara hidup sepanjang persaraan,” ujarnya.

Seorang eksekutif swasta, Reznina Nisa Amin, 32, pula menyifatkan kerjaya di sektor awam lebih terjamin berbanding swasta yang mempunyai risiko penutupan syarikat akibat keadaan ekonomi global.

Katanya, syarikat swasta terutama berstatus kecil dan sederhana mungkin berdepan risiko ‘gulung tikar’ jika keadaan ekonomi merudum, seterusnya memberi impak kehilangan pekerjaan kepada pekerja mereka.

“Berbeza dengan sektor awam, ia merupakan satu organi­sasi yang besar dan kukuh, sekali gus boleh dikatakan tiada risiko penutupan atau pembuangan pekerja jika tidak memperoleh keuntungan yang diharapkan.

“Kelebihan seperti itu yang membuatkan ramai generasi muda mahu bekerja sebagai penjawat awam selain manfaat lain seperti penawaran insentif pembelian rumah, mudah membuat pinjaman serta menikmati bonus daripada kerajaan,” jelasnya.

Seorang lagi pekerja swasta, Mohd. Fattah Imran, 30, berkata, jawatan dalam sektor awam te­rus dicarinya biarpun perlu bermula dengan tangga gaji rendah berbanding apa diperolehnya ketika ini setiap bulan.

“Mengikut gred perkhidmatan awam, biasanya tangga gaji asas untuk Gred 41 ialah sekitar RM2,200 dan jumlah itu sedikit rendah berbanding apa saya peroleh ketika ini di sektor swasta.

“Bagaimanapun, saya tidak kisah kerana jumlahnya akan terus meningkat setiap tahun selain memberi jaminan kerjaya dan peningkatan jawatan sekiranya terus menampilkan prestasi cemerlang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN