fbpx
JUITA

‘Boyish’, maskulin, feminin, identiti Juita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MASIH terlalu hijau usia mereka dalam industri tetapi kehadiran sebuah kumpulan wanita yang menggelarkan diri sebagai Juita layak diberi perhatian.

Kemunculan mereka yang menjadi sebahagian daripada kehadiran beberapa ‘group girl’ dalam industri muzik tanah air sejak kebelakangan ini memberi petanda dunia hiburan tempatan kembali meriah.

Juita yang dibarisi empat wanita jelita disatukan pada April lalu selepas menjalani sesi uji bakat di Studio Rhythm and Rhyme Entertainment (RnR Entertainment).

Sebelum debut, keempat-empat mereka iaitu Nur Aini Hayati Mustafa (Aini), Khairin Najihah Hisham Muddin (Kyerin), Nurhusnina Haziqah Naharuddin (Nina) dan Nurnajihah Azmi (Jay) bermula dengan menyanyikan semula lagu penyanyi lain dalam YouTube.

Pada masa, mereka menimba ilmu dengan berguru bersama penyanyi Stacy dalam kelas latihan vokal.

SEBAGAI salam pengenalan Juita dalam industri, mereka mempertaruhkan single debut berjudul Pendua hasil ciptaan sepenuhnya Bunga Cantik dan Hang Nadim.

Kini, Juita bersedia menawan hati pendengar dengan single debut berjudul Pendua yang selamat dilancarkan secara rasmi pada 2 September lalu, sementara video muziknya pula pada 17 September.

Pendua merupakan lagu yang dihasilkan sepenuhnya pasangan suami isteri, Bunga Cantik (Stacy) dan Hang Nadim (Akim Ahmad). Liriknya pula oleh Bunga Cantik.

Bercakap tentang pelancaran single sulung mereka dalam industri, Juita meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap Stacy dan suaminya, Akim dalam menentukan hala tuju muzik yang dibawa.

“Sebetulnya kami semua tidak mempunyai pengalaman yang jauh dan lebih dalam bidang muzik.

“Jadi kami serahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan dalam menentukan hala tuju muzik Juita bersesuaian dengan kelebihan dan perwatakan,” kata Aini, 25.

Tambahnya lagi, single Pendua yang bernuansa pop dance sesuai dengan minat mereka yang suka menari.

Justeru, Aini berharap agar kehadiran mereka dalam industri mampu menambat hati pendengar dan pada masa sama sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik.

KATA Juita, yang membezakan mereka dengan kumpulan wanita lain adalah konsep, personaliti dan muzik yang dibawa dalam industri.

Mendidik

Sementara itu, ujar Kyerin pula, pengalaman merakamkan lagu Pendua adalah sesuatu yang cukup berharga untuk disimpan mereka.

Hal ini kerana akuinya, ada antara anggota Juita yang tak biasa menyanyi dan sebelum ini sekadar berhibur di pusat karaoke.

“Rasa teruja dan tak dinafikan ada cabaran sebab antara kami ada yang tak biasa menyanyi. Selama ini, cuma menyanyi sekadar suka-suka di karaoke.

“Jadi apabila berpeluang merakam lagu buat pertama kali, ini satu proses dan pengalaman baharu buat kami,” katanya.

Juita bersyukur dan terharu kerana mendapat bimbingan serta nasihat daripada Akim serta Stacy yang banyak membantu mereka sepanjang proses rakaman lagu Pendua.

“Tetapi bila waktu kerja, memang semua serius dan tegas. Sebab produk yang nak dikeluarkan adalah lagu. Seni yang tak boleh dibuat main. Jadi kena fokus dan teliti,” ujar Nina, 26.

BUKAN hanya tentang muzik, Juita turut menjadikan elemen kehidupan sebagai pedoman menelusuri perjalanan sebagai anak seni.

Identiti

Pasangan suami isteri itu juga kata Nina, cukup tegas demi melahirkan karya berkualiti.

“Mereka bukan saja mengajar dari segi muzik tetapi secara tidak langsung banyak berkongsi cerita dan pengalaman dalam industri.

“Mereka juga titipkan nasihat tentang apa yang perlu kami jaga, bagaimana nak bawa diri termasuk pembentukan diri sebagai insan dalam kehidupan. Jadi soalnya, bukan tertumpu terhadap muzik semata,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika bercakap tentang kelainan yang dipertaruhkan Juita berbanding dengan kumpulan wanita lain, Jay ada jawapan dan pendirian tegas.

Kata Jay, 23, setiap daripada mereka memiliki karakter berbeza.

“Kelebihan kami terletak pada karakter masing-masing yang berbeza. Sekiranya dilihat dari segi terperinci, setiap seorang daripada kami mempunyai watak dan pembawakan yang berbeza.

“Kami tidak jadi orang lain tetapi lebih kepada meneroka watak sendiri. Ada yang maskulin, feminin dan ‘boyish’. Itulah yang membezakan kami dengan orang lain.

“Juita menjadi diri sendiri dalam setiap karya yang dibawa. Tambahan, konsep lagu juga berbeza dari segi muzik dan personaliti dalam kumpulan,” tutup Jay.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN