SENYUMAN sentiasa terbit di bibirnya saat menuturkan bicara. Amelia Henderson atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson acapkali menegaskan bahawa kehidupan perlu dijalani dengan aura positif meskipun banyak suara sumbang mengekori geraknya.
Dia dinilai berdasarkan gaya hidup hedonisme (keseronokan) sebagaimana yang terpapar menerusi perkongsian dalam media sosial seperti Instagram dan TikTok.
Getus Amelia, itulah kehidupan. Pada masa sama, dia percaya tidak semua itu perkara dalam bingkai media sosialnya memberi definisi sebenar tentang kehidupannya sebagai individu yang profesionnya bersimbah cahaya glamor.
Kongsi, salurkan nilai positif
“Untuk setiap manusia, tak kisahlah kita berada dalam mana-mana industri sekali pun, kita akan sentiasa berjumpa dengan cabaran dalam kehidupan.
“Kadang-kadang kita rasa cabaran itu susah untuk diatasi. Kita sebagai manusia memang tak boleh mengawal tindak-tanduk orang, waima pendapat yang dilontarkan mereka.
“Kita hanya boleh kawal diri kita dengan kuasa minda yang Tuhan kurniakan. Itu sahaja dan saya rasa sekarang, matlamat utama nak berikan fokus kepada karier dan perihal yang memberikan impak positif dalam kehidupan saya,” katanya kepada HibGlam usai sidang media Gempak Most Wanted di Astro, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Berkali-kali menyebut perkataan ‘positivity’, Amelia memaklumkan, dia sama sahaja seperti wanita lain yang dambakan kebahagiaan tanpa perlu menyesakkan minda dengan perkara tidak sepatutnya.
“Saya cuma seorang wanita yang cintakan pekerjaan dan ingin melayari kehidupan sepositif yang mungkin.
“Setakat ini dalam karier, saya boleh cakap yang saya sangat berbangga kerana usaha yang paling perdana adalah untuk tonjolkan nilai kebaikan.
“Selalu peminat saya cakap ‘oh Amy, you selalu senyum dan selalu positif’ walaupun mereka tak pernah nampak di sebalik semua keriangan dan senyuman ini, mungkin saya menangis.
“Sejujurnya, saya berasa sangat bangga dengan diri sendiri. Bagaimana saya boleh dapat salurkan nilai positif kepada diri dan orang lain.
Saya berharap, akan kekal bersemangat dan teruskan menumbuhkan nilai kebaikan,” tuturnya.

Produk pencerahan
Diajak berbicara tentang perhatian netizen yang mudah tersita, waima sekecil-kecil tindakan yang dilakukannya, Amelia tenang menjawab persoalan tersebut.
Menjadi diri sendiri, namun dari kaca mata netizen, ada yang terlalu ‘prihatin’ tentang apa dikongsikannya.
Sebagai contoh, isu ketiak putih yang mudah menjadi bualan ramai, baru-baru ini.
“Antara dua, sama ada saya menangis sebab orang tak nak tengok muka saya, mereka hanya nak tengok ketiak saya ataupun saya keluarkan produk (melibatkan) ketiak dan saya jadi jutawan.
“Jadi, mana satu yang lagi bermanfaat buat kehidupan saya? (tertawa). Tetapi, saya belum ada lagi terfikir nak keluarkan produk untuk ketiak.
“Sebab saya rasa bab-bab kecerahan (ketiak) saya tak berapa sokong. Sebagai seorang yang berdarah campur, janganlah bandingkan warna kulit saya sebab memang saya tidak makan ubat atau buat apa-apa untuk memiliki ketiak putih,” ujarnya.

Amelia tidak menyarankan mana-mana pihak mengambil sebarang ubat-ubatan bagi memutihkan atau mencerahkan bahagian tubuh tersebut.
Tegasnya, adalah menjadi sesuatu yang tidak wajar membandingkan kecerahan bahagian tubuhnya itu dengan tahap kesempurnaan orang lain.
Mula berkecimpung dalam dunia seni yang penuh dengan sepak terajang sedari kecil lagi, Amelia berkata, dia sudah lali dengan bermacam-macam pandangan orang tentang dirinya.

‘Sayangi diri sendiri’
“Kita patut sayangi diri kita walau macam mana sekalipun. Benda ini kadang-kadang membuatkan saya sensitif tapi saya perlu paksa otak fokus kepada perkara positif.
“Saya sudah sangat lama berada dalam industri ini. Macam-macam perkara sudah saya dengar, bukan sahaja tentang diri sendiri tetapi juga keluarga.
“Tetapi, komen orang saya tidak peduli sangat selagi mereka tak sentuh keluarga atau kawan-kawan saya,” ujarnya lagi.
Ditebak tentang rencana karier lain, selain Gempak Most Wanted yang dikendalikan bersama Sean Lee bermula 28 September pukul 9 malam (setiap hari Rabu) menerusi saluran Astro Ria, Amelia juga bakal muncul dengan sebuah drama baharu bawah arahan pengarah yang sangat dihormatinya, Michael Ang.
“Saya akan muncul dengan drama baharu yang akan ditayangkan dalam saluran Astro tidak lama lagi. Drama ini lain daripada lain dan saya tak sabar nak kongsikan dengan peminat.
“Kali ini saya akan menyanyi dan ini sesuatu yang orang tak pernah tengok saya buat. Jangan tanya saya boleh menyanyi atau tidak tapi kalian kena sabar menanti drama ini.
“Saya sangat teruja sebab akhirnya dapat bekerja dengan seseorang yang sangat saya hormati iaitu Michael Ang.
“Sudah lama saya pasang hasrat nak kerja dengan beliau dan saya jamin, cerita ini akan ‘best’,” tuturnya menggulung perbualan.














