SELESAI menghabiskan masa bersama seorang wanita yang langsung tidak dikenalinya pada satu acara minum petang itu, Shoji Morimoto, 38, menaiki sebuah kereta api laju di Tokyo, Jepun untuk pulang ke rumahnya.
Boleh dikatakan, begitulah rutin harian Morimoto hampir setiap hari selepas memilih kerjaya yang mungkin dianggap sebagai idaman setiap orang.
“Saya merupakan seorang lelaki yang menawarkan perkhidmatan ‘tidak berbuat apa-apa’.
“Saya menyediakan servis yang mana anda boleh menyewa saya untuk tidak berbuat apa-apa. Sebagai contoh, anda boleh membayar saya untuk pergi ke satu tempat dan di sana, saya tidak akan ditugaskan buat apa-apa,” ujarnya.
Biarpun kedengaran pelik dan tidak masuk akal, namun itulah kerjaya Morimoto kini yang membolehkan dia menjana pendapatan agak lumayan.
Malah, kerjaya pilihannya itu menjadikan dia amat diperlukan, lebih-lebih lagi sejak pandemik Covid-19 melanda dunia.

Morimoto menerima bayaran sebanyak 10,000 yen (RM316) bagi satu sesi meliputi pelbagai jenis perkhidmatan seperti menemani seseorang untuk menghadiri majlis, makan malam bersama dan juga mendengar keluhan atau masalah daripada orang asing.
Morimoto sering disewa oleh mereka yang mempunyai masalah keresahan apabila berdepan dengan orang ramai (social anxiety), mereka yang sunyi atau tiada peneman.
“Antara perkara-perkara yang pernah saya lakukan sepanjang kerjaya ini adalah menemani janda untuk makan tengah hari dan juga melambai kepada pelanggan yang memasuki tren.
“Anda juga boleh menyewa saya sekiranya anda takut untuk masuk ke dalam kedai berseorangan, mahukan pemain tambahan dalam kumpulan sukan anda dan juga menjaga tempat tinggal anda,” katanya.
Cerita Morimoto, dia pada awalnya menawarkan perkhidmatannya itu kepada orang ramai secara percuma sebelum bertindak mengenakan bayaran. Sehingga kini, dia telah pun menyelesaikan lebih 4,000 perkhidmatan berbayar.
‘Kerjaya’ bapa kepada seorang anak lelaki itu juga tular di media sosial Jepun, malah pihak televisyen dan penerbit buku di negara itu juga dikatakan berminat untuk menghasilkan cerita berkenaan perkhidmatan Morimoto.
Biarpun kerjayanya itu menjadikan Morimoto tampak seperti seorang individu pemalas atau tidak berpendidikan, dia sebenarnya merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Fizik dari Universiti Osaka.

Namun, Morimoto berdepan kesukaran untuk mendapatkan kerjaya biasa, sebelum dia akhirnya memutuskan untuk menawarkan perkhidmatan ini.
“Selepas beberapa kali diberitahu bahawa saya kurang inisiatif untuk mendapatkan pekerjaan ‘normal’ seperti orang lain, saya kemudiannya tersedar bahawa ‘tidak berbuat apa-apa’ itu juga merupakan satu bentuk kemahiran.
“Saya sering diberitahu oleh orang sekeliling bahawa saya kurang berusaha, justeru, saya mengambil peluang atas perkara tersebut dengan menjadikan hal ini sebagai bisnes,” ujarnya.
Kepada akhbar The Washington Post, Morimoto memberitahu, dia lazimnya akan bertemu dan menyelesaikan tugas antara satu hingga dua pelanggan sehari dan kerjayanya itu telah banyak mengajar dirinya tentang hidup.
“Bagi saya, apabila seseorang itu berdepan ujian dalam hidup, perasaan mereka lazimnya akan menjadi lebih sensitif, lebih-lebih lagi apabila bersama dengan orang yang rapat kerana bimbangkan tanggapan mereka.
“Oleh sebab itu, mereka biasanya akan lebih memilih untuk menceritakan masalah kepada orang asing,” kata Morimoto yang menyifatkan kerjayanya itu memberikan kepuasan dan dalam masa sama mudah untuk dilakukan.
Jepun dan Korea Selatan sebelum ini pernah menawarkan khidmat serupa yang mana orang ramai yang mungkin tiada teman atau rakan boleh membawa orang asing untuk menemani mereka menghadiri acara.
Malah, seorang lelaki yang merasakan dirinya hodoh pernah disewa oleh pelanggan supaya pelanggan tersebut boleh kelihatan lebih tampan apabila mereka keluar berjalan bersama-sama.

Jelas Morimoto, biarpun kerjayanya itu membolehkan dia mendapatkan pelanggan untuk pelbagai jenis tujuan, dia bagaimanapun enggan menerima permintaan yang keterlaluan seperti bergambar dalam keadaan berbogel atau membersihkan rumah seseorang.
Menurut seorang janda, Akari Shirai, dia pernah mendapatkan khidmat Morimoto untuk menemaninya makan di sebuah restoran kegemarannya supaya dia tidak teringat kepada bekas suaminya.
“Apabila ditemani Morimoto, saya berasa seolah-olah sedang ditemani seseorang, namun dalam masa yang sama saya juga berasa seperti sedang bersendirian.
“Hal ini kerana Morimoto ada dan sedang duduk di hadapan saya, namun saya tidak perlu begitu peka tentang apa yang dia lakukan atau memikirkan tentang dia.
“Suasana juga tidak canggung dan saya juga tidak berasa tertekan atau terpaksa untuk berbual dengannya. Boleh dikatakan, itu mungkin kali pertama saya makan bersama orang dalam keadaan yang amat senyap,” ujarnya.
Sesi makan tengah hari yang berlangsung selama 45 minit itu berjalan dengan baik buat kedua-dua pihak.
Shirai boleh menikmati makanannya dengan kehadiran seorang yang asing, manakala Morimoto pula gembira kerana dapat makan dan wang gajinya.
Malah, Shirai turut menunjukkan foto perkahwinannya dan bercerita dengan Morimoto, manakala lelaki itu hanya memberikan respons dengan ketawa.














