MENJADI impian setiap pelukis untuk mempunyai pameran solo bagi membolehkan karya-karya seni dihasilkannya dipertontonkan kepada umum secara khusus. Itulah juga impian seorang artis seni yang juga merupakan anak nelayan, Khairi Fakhri Khomro@Kamaruddin.
Kini, Khairi Fakhri, 28, boleh tersenyum bangga apabila dia diberi peluang mengadakan pameran solo bertajuk Layar Tengkujuh di Galeri Artas yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Layar Tengkujuh begitu signifikan dengan Khairi Fakhri yang merupakan artis seni berbakat besar berasal dari Kuala Terengganu yang mana kehidupan nelayan, gelora dan tiupan angin Monsun Timur Laut sudah sebati di dalam dirinya.
“Ini adalah pameran solo pertama saya sejak serius dalam bidang ini pada tahun 2018 setelah menamatkan pengajian dalam bidang seni halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
“Setelah beberapa tahun melakukan eksperimen dalam penggunaan medium dan pembawakan jenis karya, kini saya berpeluang mengadakan satu pameran solo,” katanya kepada K2.
Khairi Fakhri menjelaskan, pihak galeri telah memberikan kebebasan kepadanya untuk berkarya dan lukisan yang dihasilkannya lebih kepada curahan rasa peribadinya.
Bagi pameran solo itu, dia telah menghasilkan sebanyak 14 karya yang mula diusahakannya sejak Januari lalu.

Tambah menarik, medium yang digunakan untuk menghasilkan lukisan-lukisannya ialah bitumen yang memberikan warna hitam keemasan seperti warna sephia. Ia sekali gus memberi gambaran masa lalu dan mengimbau kenangan.
“Visual dalam karya-karya ini menggambarkan tentang diri saya sebagai anak nelayan di Terengganu.
“Saya dibesarkan di sebuah kampung berhampiran Sungai Terengganu. Ketika saya remaja, saya diajar oleh bapa dan datuk bagaimana cara membuat bubu, memasang pukat, membuat belat serta peralatan nelayan tradisonal.
“Suasana kampung banyak mengajar tentang budaya dan sosiomasyarakat setempat, misalnya bagaimana masyarakat turun mencari rezeki di sungai mahupun lautan. Melihat dan bergaul dengan nelayan-nelayan di kampung sedikit sebanyak membuatkan saya mempelajari kehalusan seni pembuatan dan tata cara masyarakat nelayan Terengganu,” katanya.
Menurut Khairi Fakhri, Layar Tengkujuh ini secara umumnya adalah pandangannya terhadap Terengganu yang penuh dengan budaya dan dia membawakannya dalam bentuk kontemporari.
“Ia boleh saya katakan sebagai satu hamparan kanvas sangat besar yang membawakan satu angin budaya,” jelasnya.
Mengambil contoh salah satu karyanya, Pelayar Budaya, Khairi berkata, dalam karya ini. dia mengetengahkan satu tradisi masyarakat kampung di Terengganu yang menggunakan bubu sebagai alat menangkap ikan, namun ia tidak dianggap sebagai satu peralatan atau kraf tangan semata-mata.
“Sebaliknya, ia berkait rezeki nelayan di mana ada ketika mereka pulang dengan bubu yang penuh hasil dan ada ketikanya pulang dengan tangan kosong,” ulasnya.
Khairi Fakhri turut meluahkan perasaannya terhadap karya berjudul Penjarah Nokturnal.

Menurutnya, penceritaan karya tersebut diambil daripada haiwan laut iaitu umang-umang yang menjadi subjek.
“Di sebalik haiwan ini, saya ingin menyampaikan satu mesej tentang pencerobohan nelayan asing yang mengaut hasil laut di kawasan perairan Terengganu.
“Sebab itu saya namakan karya ini sebagai Penjarah Nokturnal iaitu perampas malam di mana nelayan asing akan melakukan kerja itu pada waktu malam,” katanya.
Selain itu, dia turut menghasilkan karya berjudul Kemelut Membawa Buah Mulut untuk pameran solo tersebut.
Khairi Fakhri menjelaskan, karya itu menceritakan tentang kesusahan nelayan dalam mendapatkan hasil, namun setelah meraihnya menjadi buah mulut ramai.
“Maksud kemelut adalah kepayahan yang dilalui oleh nelayan untuk mendapatkan rezeki di lautan. Dalam kesusahan dan kesabaran itu terkandung hasil rezeki yang tidak terduga.
“Setelah mendapat hasil di luar jangkaan itu, dengan erti kata rezeki yang baik, ia akan menjadi buah mulut dalam kalangan nelayan sendiri.
“Ini memang terjadi dalam kalangan para nelayan dan saya menterjemahkannya dalam bentuk karya seni,” terangnya.
Selain itu, antara karya lainnya ialah Khazanah Kenyir yang menampilkan visual ikan arowana. Melalui karya itu, dia ingin menceritakan bahawa di Tasik Kenyir juga terdapat spesies ikan tersebut.
“Spesies ikan arowana ini pernah wujud di Tasik Kenyir sebelum ini.
“Jadi, melalui lukisan ini saya ingin menggambarkan bahawa adakah spesies ikan ini masih ada lagi atau sudah pupus di Tasik Kenyir?” ulasnya.

Mengenai cabaran, Khairi Fakhri berkata, antara cabaran yang dihadapinya adalah untuk memikirkan olahan yang bersesuaian untuk sesuatu lukisan.
“Saya perlu penuhkan sesuatu lukisan dengan olahan berdasarkan kreativiti saya.
“Saya perlu pastikan olahan sesuatu lukisan berbeza antara satu sama lain sebelum meletakkannya di atas kanvas,” terangnya.
Memulakan penghasilan karya sejak Januari lalu, karya terakhir untuk pameran ini hanya dapat disiapkan pada Ogos lalu.
“Masa yang agak lama diambil kerana hasil karya perlu dibuat secara lebih teliti,” katanya.
Tambahnya, dia memperuntukkan masa selama lapan jam sehari untuk menghasilkan karya-karya tersebut.
Khairi Fakhri berkata, adakalanya dia akan melihat gambar-gambar dan dokumentari berkaitan Terengganu bagi penjanaan idea.
Dalam pada itu, Khairi Fakhri berkata, dia juga mempunyai impian untuk mengadakan pameran solo di negeri kelahirannya sendiri, Terengganu.
“Buat masa ini pameran solo ini diadakan di negeri lain dan ia sedikit sebanyak membuka ruang untuk saya memperkenalkan budaya Terengganu yang diterjemahkan dalam bentuk karya seni.
“Jika diberi peluang, saya ingin mengadakan pameran ini di Terengganu bagi membuka pandangan masyarakat Terengganu sendiri tentang bagaimana dunia kontemporari dapat menerima budaya tempat asal,” katanya.
Pameran Layar Tengkujuh berlangsung dari bulan lalu sehingga 25 Oktober ini.














