fbpx
RAHMAD MEGA

Tanda aras baharu Rahmad Mega

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAPAN minggu bersaing dengan lima peserta yang mempunyai kelebihan tersendiri, rezeki akhirnya berpihak kepada penyanyi Rahmad Mega apabila diangkat sebagai pemenang Terpaling Juara musim pertama.

Malam final yang berlangsung pada Ahad lalu bertempat di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor menyaksikan Rahmad menggondol hadiah kemenangan sebanyak RM100,000.

Vokalis kumpulan Mega itu menambat hati juri dan peminat dengan dua buah persembahan cukup bertenaga bawah kendalian Hael Husaini yang bertindak selaku kapten.

Menerusi segmen solo, pemilik nama lengkap Rahmad Tohak itu menyampaikan lagu Ku Akui, sementara untuk slot duet bersama Hael, dia menyanyikan lagu Di Penjara Janji.

WANG hasil kemenangan Terpaling Juara diniatkan Rahmad untuk mengerjakan ibadah umrah bersama keluarga selain mahu disimpan sebagai bekalan masa depan.

Terpaling Juara merupakan program realiti yang mempertaruhkan tiga orang kapten, Hael, Akim Ahmad dan Naim Daniel bersama enam orang peserta terdiri daripada tiga penyanyi senior dan tiga junior.

Kapten membimbing peserta bawah kendalian dengan format pertandingan bertemakan ‘playlist’ Anugerah Juara Lagu (AJL) yang diberikan nafas baharu.

Trofi naib johan Terpaling Juara dibawa pulang peserta Aqmal Ramdan, 25, bawah kapten Naim Daniel yang menyampaikan lagu Sampai Syurga dan Di Amaran Mama dengan hadiah kemenangan RM50,000.

KeSERASIAN Rahmad bersama Hael Husaini membuktikan artis lama dan baharu tetap boleh saling memberikan tunjuk ajar asalkan ada persefahaman dan hormat menghormati.

Sementara penyanyi Hazami yang mempertaruhkan lagu Luluh dan Joget Angan Tak Sudah bersama Akim Ahmad berpuas hati di tempat ketiga dan membawa pulang hadiah kemenangan RM30,000.

Peserta junior bawah kapten Hael, Shaz pula memenangi tempat keempat dengan lagu persembahan Hati dan Gelisah Mimpi.

Bersyukur atas kemenangan pada malam tersebut, Rahmad, 53, melihat penglibatannya dalam Terpaling Juara sebagai satu bentuk cabaran buat dirinya.

“Saya sebenarnya seorang yang suka menyahut cabaran. Saya pernah bertanding dalam program realiti terbitan saluran televisyen lain. Tetapi kali ini saya bertanding lagi.

“Misi dan hasrat saya sentiasa untuk menyahut cabaran dan lihat potensi diri, adakah mampu bersaing dengan artis muda masa kini. Saya buka ruang cabar diri supaya tak tertinggal jauh,” katanya.

RAHSIA Rahmad masih mampu bertanding dalam program realiti adalah sentiasa bergaul dengan ramai orang dan tidak meninggi diri.

Tanda aras, media sosial

Akui penyanyi yang terkenal dengan lagu Bayangan Gurauan itu, mungkin ada rakan seangkatan berasa takut untuk menyertai pertandingan tetapi tidak baginya. Dia melihat semua ini sebagai satu bonus untuk menambat hati peminat.

“Itu bukan satu masalah sebab lagu-lagu orang lama sudah ada dalam hati peminat. Pertandingan bukan untuk menjatuhkan.

“Kalau tak paksa diri, kita akan selesa di takuk sama. Macam saya, dah selesa dengan genre rock. Jadi saya bertanding untuk cabar diri bawa genre berbeza,” ujarnya.

Pernah menyertai program realiti lain tetapi rezekinya hanya mampu berpuas hati di tempat keempat.

PESERTA junior kendalian Hael Husaini, Shaz berpuas hati dengan persembahan pada malam final biarpun hanya memenangi tempat keempat.

Menganggap kemenangan dalam Terpaling Juara berjaya mengubat kekecewaan lampau, Rahmad pada masa sama melihat gelaran juara sebagai penanda aras baharu untuk karier nyanyiannya.

Mengulas tentang penjurian pada malam final, penyanyi Datuk Hattan berkata, undian media sosial daripada peminat banyak membantu kerana pemarkahan antara kesemua empat finalis tidak banyak perbezaan.

“Pemarkahan tidak jauh beza sebab semua persembahan finalis sangat baik, cuma banyak dibantu undian peminat. Pesanan saya, artis kena aktif dalam media sosial sebab undian peminat banyak membantu,” ujarnya ringkas.

PENYANYI junior bawah kapten Naim Daniel, Aqmal Ramdan memiliki potensi besar dalam industri, namun ujarnya, buat masa ini dia mahu relaks seketika sebelum memikirkan perancangan seterusnya.

Rokok, jaga diri

Melewati usia 50-an, penyanyi itu masih bertenaga dan berjaya melunaskan persembahan lagu bernada tinggi, Di Penjara Janji tanpa cela.

Bertanya tentang amalan gaya hidup menjaga kesihatan diri, Rahmad secara telus memberitahu, dia bukanlah seorang yang gemar bersenam di pusat gimnasium melainkan hanya melakukan senaman ringan seperti joging.

“Sentiasa ada senaman ringan, joging semampu mungkin. Saya tak pergi gimnasium. Makan pun tak jaga tapi saya jaga dari sudut itu,” katanya.

RAHMAD tidak pernah ke gimnasium sebaliknya hanya joging sebagai senaman wajibnya dalam menjaga kesihatan.

Bonus untuk mengekalkan kesihatan diri, penyanyi itu bukan seorang perokok biarpun mengakui zaman bersama kumpulan, dia banyak bergaul dengan perokok bahkan ada yang mengambil bahan terlarang.

“Saya tak merokok. Bagaimana cara mengelak diri daripada terpengaruh sekeliling adalah cara berfikir. Dalam kelompok yang pernah saya gauli, jangan kata rokok, orang terjebak dengan anasir lebih dari itu pun ada.

“Saya memang bercampur dengan mereka tetapi satu prinsip saya, apa yang mereka buat, itu mereka punya pasal. Diri kita sendiri, orang tak boleh pengaruh. Saya suka positifkan diri,” kongsinya.

ATAS: Kata Hazami, biarpun ada peminat terkilan dengan kemenangannya di tempat ketiga, dia tetap bersyukur kerana itu semua rezeki yang sudah ditetapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN