AKTIVITI sukan memanah kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi bagi umat Islam kerana sukan memanah merupakan sukan yang dicintai Rasulullah SAW.
Rasulullah bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Bazzar dan Thabarani: “Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.”
Dimainkan secara moden dan tradisional, memanah secara tradisional juga mempunyai keistimewaan tersendiri dan dilihat mempunyai kelompok peminatnya terutama yang meminati elemen kemelayuan. Malah, kini dapat dilihat kewujudan pusat-pusat memanah tradisional yang tumbuh bak cendawan selepas hujan sama ada studio memanah secara ‘indoor’ mahupun ‘outdoor’ di setiap pelosok negeri.
Memanah tradisional lazimnya dikaitkan dengan aktiviti luar bangunan atau ‘outdoor’ yang dimainkan di padang sasar yang luas atau bersama sukan berkuda.
Baru-baru ini, sebuah pusat tahfiz yang dikenali sebagai pusat tahfiz sukan pertama Malaysia, Pusat Kecemerlangan As-Syafie (PAKSY) di Kepala Batas, Pulau Pinang telah menganjurkan pertandingan memanah tradisional PAKSY ‘Indoor Challenge’.
Kira-kira 400 peserta dari seluruh Malaysia menyertai pertandingan terbuka memanah tradisional yang berlangsung dekat Lubok Meriam, Kepala Batas.
Tambah menarik, ramai peserta sama ada lelaki atau perempuan dewasa dan kanak-kanak turut hadir dengan memakai pakaian tradisional misalnya berbaju Melayu, bertanjak atau berbaju kurung.

SETIAP panahan yang dilakukan peserta dinilai untuk pemberian mata.
Menurut pengasas pusat tahfiz PAKSY, Abdullah Khairi Haroon, 53, objektif pertandingan tersebut adalah untuk mempromosi sukan sunnah dalam kalangan masyarakat yang amat dituntut dalam Islam selain ingin mengeratkan ukhuwah sesama saudara Muslim menerusi sukan.
“Kalau sebelum ini kita lihat sukan memanah tradisional kurang dikomersialkan di mana-mana platform, namun kini ia mula mendapat tempat di hati masyarakat yang mana ibu bapa khususnya mula menghantar anak-anak untuk mengikuti latihan memanah tradisional di kelab-kelab memanah yang berdaftar,” ujarnya.
Jelas Abdullah Khairi lagi, selaku pusat tahfiz sukan pertama yang seumpamanya di Malaysia, PAKSY dilengkapi fasiliti gelanggang memanah ‘indoor’ yang dilengkapi penghawa dingin selain kolam renang, gelanggang futsal, gelanggang badminton, tempat latihan berkuda selain turut memberi fokus kepada kelas mengaji al-Quran.
“Penerimaan atau sambutan dalam kalangan ibu bapa yang memberi pendedahan kepada anak-anak mengenai sukan memanah tradisional seawal usia adalah sangat memberangsangkan.
“Malah, pada setiap tahun PAKSY menganjurkan pertandingan memanah tradisional terbuka kepada semua peringkat iaitu kategori lelaki dan wanita dewasa, remaja dan juga cilik…
Alhamdulillah penyertaan peserta untuk saban tahun kian meningkat.
“Selain itu, pada setiap hari, PAKSY tidak putus-putus menerima tempahan daripada orang ramai untuk mengadakan latihan memanah yang dilakukan secara ‘indoor’,” katanya kepada Panorama.
Abdullah Khairi yang juga merupakan penceramah bebas berkata, antara kebaikan memanah ialah dapat menjadikan seseorang individu lebih fokus dari segi mental.
“Sukan memanah tradisional ini memerlukan kemahiran yang tinggi kerana ia banyak melibatkan penggunaan minda dan mata hati. Malah, jika kemahiran itu diasah seawal usia lima tahun amatlah digalakkan.
“Hal ini kerana ia mampu memenuhi ruang masa kanak-kanak itu sendiri untuk melakukan perkara yang positif dari segi fizikal dan mental seterusnya dapat menghindarkan diri daripada perkara sia-sia contohnya bermain gajet,” katanya lagi.

ABDULLAH KHAIRI (tengah) merupakan pengasas PAKSY.
Ibu kepada dua orang cahaya mata, Anisah Mat Noor, 44 berkata perbezaan sukan memanah tradisional dan moden (recurve) adalah dari segi alat bantuan memanah sambil menyifatkan aktiviti memanah tradisional lebih mencabar dan menyeronokkan.
“Untuk alat memanah moden, pemanah memerlukan alat bantuan seperti teropong, tempat meletak anak panah, alat imbangan busur serta alatan lain sebagai bantuan untuk melepaskan anak panah dengan lebih lancar.
“Berbanding alat memanah tradisional pula, pemanah hanya mempunyai busur, selebihnya adalah bergantung kepada teknik serta ketepatan mata hati sebelum melepaskan anak panah.
“Di situlah cabaran sebenar wujud kerana pemanah perlu membuat pengiraan tepat dengan menggunakan mata hati dalam memastikan anak panah kena pada sasarannya tanpa alat bantuan lain.
“Ia lebih kepada mendidik hati untuk lebih berserah kepada Allah serta reda dalam menerima sebarang kemungkinan,” katanya.
Sementara itu, bekas juara Yala Thailand Archery Open (Male): Archery In The Garden 2019
(YTAC Open 2019) Megat Fauzan Abdul Rahman, 37, berkata, aktiviti memanah tradisional ‘indoor’ dilihat sebagai langkah baik untuk pendatang baharu yang berjinak-jinak dalam sukan sunnah itu.
“‘Indoor’ dilihat sebagai satu pendekatan selesa untuk pemanah baharu bagi memulakan pembelajaran panahan kerana ia tidak terdedah kepada masalah angin mahupun cuaca,” katanya
Dia yang juga pemilik dan pelopor SupraX Enterprise berkata, latihan memanah secara ‘indoor’ lebih menitikberatkan teknikal memanah berbanding teknik sasaran (aiming).

PARA wanita yang menyertai pertandingan ini lengkap memakai pakaian tradisional.
“Memanah secara ‘indoor’ dilihat lebih kepada ‘shooting form’ di mana ia menitikberatkan teknikal badan iaitu bagi membiasakan postur badan pemanah itu sendiri ketika memanah,” katanya yang berkecimpung sukan memanah tradisional sejak tahun 2016.
Megat Fauzan yang sering menjuarai kejohanan memanah peringkat tempatan mahupun antarabangsa berkata, bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam sukan sunnah itu hendaklah mengetahui dahulu matlamat diri sebelum bergiat serius selain tidak menjadikannya sebagai lesen untuk bermain senjata semata-mata.
“Perkara paling utama untuk belajar memanah adalah seseorang individu itu hendaklah perbetulkan niat terlebih dahulu dan berguru dengan betul, kerana kita tidak mahu sukan kecintaan Rasulullah ini disalahgunakan pihak tertentu untuk kepentingan menyimpang sehingga ia dipandang serong oleh masyarakat.
“Malah, dengan mengamalkan sukan sunnah ini kita berharap agar mendapat syafaat baginda di akhirat kelak, selain sentiasa menjaga adab sepanjang melibatkan diri dalam sukan ini,” katanya lagi.














