SHAH ALAM – Keinginan untuk menduduki rumah sewa yang lebih selesa mendorong ramai pelajar universiti berlumba-lumba mencari kediaman sesuai sehingga mendorong mereka menjadi mangsa penipuan.
Lebih malang lagi apabila ada tiga pelajar yang terperangkap dengan sindiket sama pada hari yang sama, menyebabkan mereka kerugian ratusan ringgit yang dibayar sebagai deposit.
Seorang pelajar tahun dua dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dikenali Liyana, 21, yang berkongsi pengalamannya berkata, dia menjadi mangsa selepas tertarik dengan iklan rumah jenis apartmen dilengkapi perabot yang boleh disewa pada kadar RM800.
Katanya, kejadian itu berlaku pada 29 September lalu selepas dia menghubungi seorang individu menerusi aplikasi WhatsApp.
“Dia (scammer) menghantar gambar rumah dan menyatakan boleh melihat kediaman tersebut pada hari sama iaitu 29 September lalu.
“Bagaimanapun, sebelum melihatnya saya harus membayar deposit RM200 untuk ‘lock’ tempahan memandangkan ramai pelajar universiti lain turut berminat dengan rumah yang sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut Liyana, semakan nombor akaun dilakukan menerusi aplikasi Semak Mule yang disediakan pihak polis dan mendapati nombor akaun itu tidak tersenarai antara akaun scammer menyebabkan dia tekad membuat pembayaran sebanyak RM200.
Ujar pelajar berasal dari Klang itu, dia kemudianya telah pergi ke apartmen tersebut yang terletak di Puncak Alam, namun merasakan ditipu selepas ‘tersadai’ selama setengah jam selain gagal menghubungi individu yang menawarkan rumah tersebut.
“Bagi mendapatkan kepastian, saya kemudiannya melakukan carian nombor telefon di aplikasi Google dan Twitter sebelum terkejut ia adalah nombor scammer.
“Duit pemberian ibu hangus begitu sahaja. Memang terkejut walaupun telah berjaga-jaga dengan melakukan semakan di Semak Mule,” ujarnya.
Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali Julia, 21, berkata, dia turut kerugian RM200 selepas terperangkap dengan modus operandi sama.
“Scammer itu menyakinkan saya dengan berkongsi lokasi rumah. Memandangkan jarak yang jauh, saya sukar untuk membuat semakan secara bersemuka terhadap rumah tersebut.
“Difahamkan, kira-kira 4,000 pelajar di UiTM Puncak Alam tidak mendapat kolej. Jadi apa pilihan ada selain mendapatkan rumah sewa dengan segera pada kadar murah,” katanya yang berasal dari Tawau, Sabah.
Bercerita lanjut, Julia mengakui hilang semangat untuk belajar apabila ditipu terutama apabila wang tersebut adalah wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Saya bukan dari keluarga senang kerana ayah saya berusia 73 tahun dan tidak lagi bekerja, manakala ibu saya telah meninggal dunia sejak 2019,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi pelajar UiTM Puncak Alam dikenali Neem, 22, memaklumkan, telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kuala Lipis pada 28 September lalu selepas dia bersama lima lagi rakan sekuliahnya yang menetap di Johor ditipu sehingga kerugian RM1,430.
“Scammer yang menipu saya telah menyamar sebagai pelajar UiTM yang mencari rakan rumah bagi rumah teres.
“Saya difahamkan ramai pelajar dari universiti kami menjadi mangsa. Niat kami hanya mahu mencari rumah untuk sambung belajar dan berharap pihak pengurusan lebih peka dalam mengatasi isu ini,” katanya.














