PETALING JAYA – Sikap peniaga yang masih belum bersedia untuk menurunkan harga makanan membuatkan pelanggan berbelah bahagi untuk menikmati juadah di luar kerana perlu berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi rumah tangga masing-masing.
Di Shah Alam, seorang pelanggan, Ahmad Nazeem Rahim, 37, mengakui penetapan gaji minimum RM1,500 antara faktor kenaikan harga makanan itu.
“Namun, peniaga seharusnya memikirkan situasi pengguna yang kini berdepan kekangan perbelanjaan akibat ketidakstabilan ekonomi.
“Rakyat kini perlu lebih berjimat dengan hanya memasak di rumah berbanding makan di kedai,” katanya.
Di Temerloh, seorang pekerja swasta, Noraini Abdullah, 35, berkata, harga seketul ayam dijual sehingga RM4.50.
“Bahan mentah tak stabil menyebabkan belanja makan tengah hari pun tak menentu. Harga ayam memang tidak pernah turun begitu juga harga ikan dan sayur, nasi pun sudah RM2, jadi memang kos hidup pada masa ini agak tinggi,” katanya.
Di Kajang, suri rumah, Noraishah Hamzah, 64, berkata, dia turut terasa dari segi peningkatan harga makanan di kedai.
“Ada tempat menawarkan harga murah dan berpatutan selain ada juga meletakkan harga mahal. Apa pun ia bergantung kepada jenis makanan diambil pelanggan,” ujarnya.
Berbeza pula dengan pesara polis, Abdullah Ulin, 65, apabila mengatakan dia tidak peka dengan harga makanan di kedai makan sekali gus beranggapan ia tidak memberi kesan kepadanya sewaktu membayar.
“Saya jenis yang tidak berkira mahal atau murah makanan tersebut. Kalau hendak makan, kita bayar sahaja,” katanya.
Di Sungai Petani, seorang pelanggan, Md. Noor Salim, 55, berkata, dia hanya memilih kedai yang biasa dikunjungi.
“Memang harga makanan agak tinggi sejak musim perayaan lalu dan didapati ramai peniaga tidak menurunkan harga walaupun ada barangan mentah mudah didapati dengan harga murah.
“Pihak berkuasa perlu membuat pemantauan tanda harga di kedai-kedai makan kerana banyak yang tidak meletakkan tanda harga bagi mengelak pelanggan tertipu,” katanya.
Menurut Md. Noor, pemerhatiannya mendapati, nasi ayam masih lagi dijual pada harga RM6.50 sepinggan berbanding RM5 sebelum ini.
“Begitu juga pelbagai jenis minuman yang mengalami kenaikan antara 20 sen hingga 30 sen segelas,” katanya.














