fbpx
SUFIAN SUHAIMI

Sufian Suhaimi nak sangat kahwin, janda pun okey

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SOPAN dan malu-malu. Itu antara perwatakan paling tepat menggambarkan sifat penyanyi bertubuh kecil itu sebaik sahaja tiba di depan muka pintu pejabat Media Mulia di Quattro West, Petaling Jaya, Selangor.

Dalam kerendahan diri, sekali sekala terpamer juga sikap ‘gila-gila’ penyanyi berwajah ‘baby face’ itu ketika diusik jurusolek, Vee Muhamad sewaktu wajahnya disolek dengan tema ‘badboy’.

Sufian nampak cukup teruja, lebih-lebih lagi dia sendiri mengakui tidak pernah dibayangi dengan imej ‘lelaki jahat’ dan mahu mencubanya.

Sambil-sambil wajahnya dioles solekan, dia diajak berbual dan tanpa berbasa-basi terus menanyakan status sebenarnya dirinya. Semuanya gara-gara beberapa kali tular dalam TikTok mengadakan dirinya sudah pun mempunyai teman istimewa.

SUFIAN memberitahu, sifat yang tidak berapa gemar bergaul dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah menjadi faktor dia sukar menemui jodoh yang dicari.

Seakan sudah boleh mengagak soalan cepumas yang ditujukan kepadanya, penyanyi berusia 30 tahun itu bersungguh-sungguh menegaskan statusnya masih kosong tanpa kehadiran wanita bernama kekasih yang berjaya menakluk hatinya ketika ini.

“Jujur saya memang solo. Tak ada sesiapa pun dalam hati saya sebagai teman wanita. Tapi kalau ikutkan hati, tipulah kalau saya tak ada keinginan untuk berpasangan. Cuma belum ada jodoh lagi,” katanya.

Status janda

Dedah pelantun lagu Terakhir itu, dia mengakui ada dalam kalangan peminat wanita yang terbuka menawarkan diri menjadi teman hidupnya, namun Sufian menganggap ajakan itu mungkin sekadar gurauan.

“Memang ada peminat yang ajak bercinta. Tapi mereka mungkin sekadar main-main. Saya tidaklah terlalu memilih. Asalkan biar sedap mata memandang dan memahami.

“Saya bukan mahu berkahwin dengan anak raja pun,” selorohnya.

Jelas penyanyi berbintang zodiak Taurus itu, dia juga tidak menolak seandainya dipertemukan jodoh dengan wanita berstatus janda atau lebih tua berbanding usianya.

Kata Sufian, dia memang sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga sekali gus mengakhiri status bujang secepat mungkin.

SELEPAS episod luka putus tunang bersama pelakon Elfira Loy, Sufian menjalin hubungan cinta dengan seorang wanita selama tiga tahun, namun akhirnya tetap kecundang.

“Kalau ada sekarang (jodoh), sekarang juga saya mahu berkahwin. Sebab saya memang sudah bersedia untuk menjadi suami. Seminggu bercinta, kemudian terus berkahwin pun tak apa.

“Saya pun okey sahaja kalau dipertemukan jodoh dengan wanita berstatus janda. Soal umur tidak menjadi masalah. Tapi secara peribadi, kalau boleh janganlah terlalu tua sangat,” jelasnya.

Bukan kerana terdesak, namun Sufian juga mahu memenuhi pertanyaan ibu bapanya apabila sudah mula bertanyakan soal jodoh.

Ketenangan

Bahkan, kedua-dua orang tuanya juga sudah menawarkan diri mencari calon isteri untuk Sufian jika dia tidak mempunyai masa berbuat demikian.

“Ibu bapa sudah mula bertanya tentang teman wanita sehinggakan mereka sendiri menawarkan diri untuk carikan saya pasangan.

“Tetapi saya menolak sebab itu bukan cara saya. Kalau ada (jodoh), ada lah,” katanya.

PENYANYI kelahiran Mersing, Johor ini tidak meletakkan kriteria spesifik pada wanita yang bakal menjadi suri hatinya, namun biarlah sedap mata memandang.

Ketika berpeluang menunaikan umrah pada penghujung tahun lalu, Sufian berkata, antara doa yang dipohon kepada Allah SWT ketika berada di hadapan Kaabah adalah keinginannya agar dipertemukan jodoh dengan segera.

Meskipun sehingga kini apa yang diminta masih belum ditunaikan, penyanyi itu tetap bersyukur apabila ada doa-doa lain yang telah ‘dijawab’ Tuhan dan dimakbulkan.

“Banyak juga doa-doa saya yang telah ‘dijawab’ oleh Allah ketika menunaikan umrah di Mekah.

“Antara yang saya minta adalah supaya diberikan ketenangan jiwa. Bagi saya, walaupun kita memiliki segala-galanya, tapi kalau jiwa tidak tenang pun tak berguna juga.

“Alhamdulillah, balik dari umrah, saya rasa perasaan yang setenang-tenangnya seperti doa yang saya minta,” katanya.

Genre berbeza

Menyentuh sedikit perihal kerjaya, penyanyi yang juga aktif bergelar pelakon itu tidak sabar tampil dengan buah tangan terkini bawah pengurusan syarikat rakaman baharu, Rusa Music.

Kali terakhir Sufian mengeluarkan single sekitar setahun lalu menerusi lagu Ternyata Aku bersama Aries Music.

Masih mengekalkan genre balada untuk lagu baharu kelak, Sufian tidak takut jika dilabel peminat sebagai penyanyi tidak versatil kerana tahu kekuatan sendiri dalam muzik.

SELAIN menyanyi, Sufian juga semakin aktif dalam bidang lakonan dan mengakui seronok bekerja di hadapan kamera sebagai seorang pelakon.

“Saya masih mengekalkan muzik balada dalam karya kerana itu juga merupakan permintaan peminat.

“Tapi pada masa sama saya juga tidak teragak-agak untuk tampil dengan kelainan apabila bakal berkolaborasi dengan seorang penyanyi rap menerusi sebuah projek istimewa nanti,” katanya.

Dalam pada itu akui Sufian, dia tidak boleh tertumpu terhadap satu genre semata-mata kerana perlu juga mengikuti trend dan kehendak pendengar hari ini.

“Pendengar muzik sukakan sesuatu yang unik. Jika saya tampil dengan perbezaan. Saya rasa itu adalah satu strategi bagus untuk meletakkan lagu saya bersaing dengan karya-karya lain pada hari ini.

“Saya pun tidaklah mendengar lagu balada sahaja. Cuma saya tidak pernah keluarkan sesuatu yang baharu untuk peminat,” tutupnya menamatkan bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN