Program Kempen Jom Balik Kampung (KJBK) anjuran Tourism Malaysia Wilayah Selatan di Melaka baru-baru ini bertujuan menyemarakkan kembali industri inap desa tempatan yang lesu selepas pandemik Covid-19 selain memberi bimbingan kepada para pengusaha agar lebih kreatif dalam penyediaan pakej.
Tujuan utama KJBK adalah untuk membantu mempromosikan inap desa selain meningkatkan kualiti pakej yang ditawarkan kepada pelawat
——————————————————————————————————————————
PERJALANAN dengan van sejauh 80 kilometer dari Presint 5, Putrajaya menuju ke Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah, Melaka seakan tidak terasa jauhnya bagi Nur Farhana Syahirah Mohd. Azhar.
Ini kerana gadis berusia 26 tahun itu sudah tidak sabar-sabar lagi untuk merasai pengalaman yang bakal ditempuhnya di kampung tersebut termasuk peluang menyertai aktiviti menelusuri sungai bagi menjelajah tempat-tempat menarik di sekitar Sungai Linggi.
Penjelajahan Nur Farhana Syahirah di kampung itu bermula di Jeti Kampung Paya Lebar dengan menaiki bot fiber sebelum dibawa menuju ke tempat pembuatan arang dikenali sebagai Sabak Arang dan pusat pembiakan lokan, Taman Lokan.
Sebelum beransur pulang ke jeti, gadis dari Shah Alam, Selangor itu dibawa pula melihat keindahan flora dan fauna yang terdapat di sekitar Sungai Linggi seperti udang galah, buaya serta pokok paya bakau.
Selesai penjelajahan, Nur Farhana Syahirah dibawa makan tengah hari berupa lauk-pauk kampung. Menariknya, dia berpeluang menjamu selera secara bersila beramai-ramai.

PARA pengunjung Kampung Paya Lebar berpeluang untuk menelusuri Sungai Linggi.
Pada sebelah petang pula, dia dibawa melawat produk industri kecil dan sederhana (IKS) di sekitar kampung tersebut seperti pembuatan parang dan keris, kuih kelapa serta kuih bangkit.
Usai petang, gadis berkaca mata itu dibawa bermalam di inap desa berupa rumah Melaka lama yang diperbuat dari kayu di kampung tersebut.
“Ini kali pertama saya datang ke Kampung Paya Lebar. Ia satu pengalaman yang cukup menarik apabila berpeluang menjelajah pelbagai tarikan menarik di sini.
“Salah satu aktiviti menarik di sini adalah meneroka Sungai Linggi. Momen paling tidak boleh dilupakan adalah ketika melihat buaya besar hidup secara liar di sungai ini,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Nur Farhana Syahirah merupakan salah seorang daripada lapan wakil media dari Lembah Klang yang berpeluang menyertai program Kempen Jom Balik Kampung (KJBK) anjuran Tourism Malaysia Wilayah Selatan baru-baru ini.
Program itu diadakan bertujuan meninjau keunikan yang terdapat di inap-inap desa di negeri Melaka antaranya Kampung Paya Lebar, Ayer Limau dan Seri Tanjung.
Nur Farhana Syahirah yang berpengalaman selama tiga tahun dalam dunia kewartawanan memaklumkan, program KJBK telah membuka matanya tentang keseronokan tinggal di inap desa.
“Ramai fikir tinggal di inap desa sama saja seperti berada di kampung sendiri. Hakikatnya, ia berbeza sama sekali kerana setiap kampung ada tarikan dan aktivitinya tersendiri.
Pengalaman ini sangat menyeronokkan,” tuturnya.
Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Muhammad Nasir Pahmi memaklumkan, program tersebut merupakan kesinambungan daripada KJBK Cuti-Cuti Malaysia-Homestay Johor pada akhir tahun lalu.
Jelasnya, tujuan utama KJBK adalah untuk membantu mempromosikan inap desa selain meningkatkan kualiti pakej yang ditawarkan kepada pelawat.

PENGALAMAN makan sambil bersila beramai-ramai amat mengujakan.
“Menerusi penyertaan media dalam program KJBK, kami berharap pakej-pakej menarik yang ditawarkan di ketiga-tiga inap desa ini dapat disebarluaskan kepada masyarakat tempatan dan pelawat asing.
“Ia merupakan sebahagian daripada usaha kami bagi menyemarakkan kembali industri inap desa tempatan yang kelihatan agak suram selepas terhenti lama ekoran pandemik Covid-19 sebelum ini,” ujarnya.
Sepanjang program tiga hari dua malam itu, para wakil media bukan saja berpeluang tinggal di ketiga-tiga inap desa tersebut, malah merasai keunikan makanan tempatan.
Mereka juga dibawa melawat ke tempat-tempat tarikan pelancong selain melihat pembuatan produk IKS yang terdapat di sekitar inap-inap desa terbabit.
“Antara produk IKS adalah seperti anyaman rotan, pembuatan kuih apam gebu gebas, tapai, demo masakan masak lemak cili padi, tanjak dan pembuatan parang.
“Mereka juga berpeluang menjelajah tempat-tempat menarik di sekitar daerah Masjid Tanah selain didedahkan dengan kesenian dan kebudayaan tempatan seperti tarian lilin serta dondang sayang.
“Pada akhir program, kami mengadakan sesi dialog antara wakil media dan pihak Tourism bersama penggiat inap desa dalam usaha menambah baik pakej dan tarikan baharu yang boleh diketengahkan,” jelasnya.
Menurut Muhammad Nasir, pihaknya juga menganjurkan bengkel antara pengusaha inap desa tempatan bersama wakil Bahagian Pembangunan Pakej dari Ibu Pejabat Tourism Malaysia bagi mempelbagaikan pakej sedia ada.
Terangnya, para pengusaha diberi tunjuk ajar berhubung teknik menghasilkan pakej berkualiti yang mampu menarik perhatian pelancong dan usahasama yang boleh dilakukan bersama agensi pelancongan tempatan.

PENGUNJUNG inap desa Ayer Limau berpeluang mengikuti proses pembuatan tapai.
“Kami mahu pengusaha inap desa kembali bersedia dengan menawarkan pakej terbaik kepada pelawat. Kami dapati pakej-pakej ditawarkan oleh pengusaha inap desa ketika ini tidak selaras terutamanya dari aspek harga.
“Menerusi bengkel ini, kami berharap pengusaha inap desa lebih kreatif dalam penyediaan pakej. Mereka juga didedahkan dengan inisiatif ditawarkan oleh Tourism Malaysia bagi membantu membangunkan pakej inap desa,” jelasnya.
Untuk makluman, jumlah inap desa yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Tempatan di wilayah selatan adalah sebanyak 35 dengan Melaka (9), manakala Johor (26).
Dalam pada itu, Pengerusi Inap Desa Kampung Paya Lebar, Syed Mohd. Fauzi Syed Abdullah berkata, pihaknya sangat teruja menjadi salah satu destinasi persinggahan bagi program KJBK kali ini.
Jelasnya, program KJBK diharap dapat membantu menaikkan kembali semangat 10 orang para peserta inap desa di kampung tersebut selepas sempadan negeri dan negara dibuka.

“Sebelum ini, jumlah kedatangan pelawat ke kampung kami cukup tinggi termasuk dari luar negara seperti Jepun, Korea Selatan, Yemen dan England. Selepas Covid-19, kami tidak terima sebarang pelawat.
“Justeru, program KJBK diharap dapat membantu mengembalikan semangat peserta inap desa kami sekali gus membantu meningkatkan pendapatan mereka yang kebanyakan terdiri daripada para nelayan,” terangnya.
Syed Mohd. Fauzi memaklumkan, pihaknya akan bertindak segera terhadap pandangan-pandangan yang diberikan oleh wakil Tourism Malaysia dan wakil media sepanjang program KJBK sebelum menerima kedatangan pelawat luar.















