INDIVIDU yang bernama Mikhail Gorbachev bukanlah satu nama asing dalam sejarah kepimpinan dunia terutama bagi penduduk Russia dan negara-negara Eropah.
Malah, beliau adalah bekas pemimpin era Kesatuan Soviet atau Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR) yang disifatkan sebagai salah seorang tokoh berpengaruh abad ke-20.
Gorbachev merupakan pemimpin terakhir yang meninggalkan legasi tersendiri apabila menamatkan empayar Soviet yang sudah berkuasa selama 69 tahun, selain mengakhiri Perang Dingin dengan Amerika Syarikat (AS) selama 44 tahun.
Beliau yang berkuasa dari tahun 1985 hingga 1991 itu dipuji kerana telah menamatkan Perang Dingin tanpa pertumpahan darah.
Setelah tidak lagi terlibat dengan kepimpinan negara, beliau terus menunjukkan jiwa kemanusiaannya apabila mengasaskan Green Cross International, sebuah pertubuhan yang memperjuangkan masa depan alam sekitar berpangkalan di Geneva, Switzerland pada tahun 1993.
Namun begitu, perjalanan hidup tokoh besar ini telah berakhir apabila beliau meninggal dunia di sebuah hospital di Moscow, Russia ketika usia 91 tahun pada 30 Ogos lalu.
“Mikhail Gorbachev telah meninggal dunia petang ini sejak sekian lama sakit,” jelas pihak hospital yang merawatnya.
Beberapa tahun terakhir ini, tahap kesihatannya kian menurun dan beliau beberapa kali keluar masuk ke hospital akibat komplikasi pelbagai penyakit.

Sementara itu, hubungannya dengan Presiden Russia, Vladimir Putin kadangkala agak tidak baik, tetapi pemimpin itu dikatakan tetap mengucap takziah atas kematian Gorbachev.
Rentetan pemergiannya, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Gutteras menyifatkan Gorbachev seorang negarawan yang tiada tolok bandingnya.
“Dunia kini kehilangan pemimpin global yang komited kepada prinsip multilateral dan penyokong keamanan yang tidak kenal erti lelah,” ucapnya.
Menyorot sejarah hidup tokoh besar itu, nama penuhnya ialah Mikhail Sergeyevich Gorbachev yang dilahirkan pada 2 Mac 1931 di wilayah Stavropol di selatan Rusia.
Berkelulusan undang-undang dari Universiti Negeri Moscow pada tahun 1955, beliau kemudian menjadi ahli aktif Parti Komunis.
Gorbachev semasa mudanya adalah salah seorang daripada generasi baharu aktivis parti yang menjadi pengganti kepada tokoh-tokoh yang semakin tua di bahagian atas hierarki Soviet.
Gorbachev kemudian menjadi Setiausaha Agung USSR dan ketua de facto negara itu pada usia 54 tahun. Beliau ketika itu merupakan ahli termuda majlis pemerintah.
Gorbachev yang mengambil alih kuasa pada tahun 1985 terkenal dengan dasar keterbukaannya dan memulihkan hubungan dengan negara-negara Barat.
Namun begitu, beliau tidak dapat menghalang keruntuhan empayarnya pada tahun 1991.

Ketika beliau memegang kuasa antara tahun 1985 hingga 1991, Gorbachev telah membantu memulihkan hubungan AS dan Soviet daripada keadaan tegang dan menamatkan Perang Dingin tanpa pertumpahan darah.
Malah, beliau juga Presiden Soviet terakhir yang menjalinkan perjanjian pengurangan senjata dengan AS dan perkongsian Barat untuk menghapuskan ‘Iron Curtain’ yang telah memisahkan Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Perubahan yang digerakkannya menyaksikannya beliau dihormati di Barat. Pun begitu, pembaharuan yang dilaksanakannya itu telah melemahkan USSR sehingga menyebabkan kesatuan itu runtuh.
Dasar keterbukaannya telah menyebabkan rakyat mengkritik kerajaan Soviet pimpinannya.
Dasar yang dilaksanakannya juga telah mencetuskan sentimen nasionalis di banyak kawasan yang akhirnya membawa kepada keruntuhan Soviet dan tampuk pemerintahannya.
Malah, semasa kepimpinannya juga berlaku kekacauan dalam kalangan pelbagai bangsa yang ada di bawah Kesatuan Soviet. Nyata, ujian paling sukar yang dihadapinya adalah datang dari negara-negara dalam USSR.
Keterbukaan serta unsur demokrasi telah membawa kepada seruan kemerdekaan dan pecahnya USSR bermula di republik Baltik di sebelah utara di mana Latvia, Lithuania dan Estonia membebaskan diri mereka dari Moscow.
Apabila protes prodemokrasi menggegarkan negara-negara blok Soviet di Eropah Timur pada tahun 1989, Gorbachev dilihat mengelak daripada menggunakan kekerasan.
Beliau tidak seperti pemimpin USSR sebelumnya yang telah menghantar kereta kebal untuk menghancurkan pemberontakan di Hungary pada tahun 1956 dan Czechoslovakia pada 1968.
Malah, apabila berlaku demonstrasi besar-besaran oleh rakyat Jerman Timur, mereka yang berada di wilayah Soviet dibenarkan untuk menyeberang dengan bebas ke Barat. Reaksi Gorbachev pada ketika itu bukan seperti reaksi tradisional Soviet terhadap penentangan terang-terangan.

Beliau bahkan mengumumkan bahawa penyatuan semula Jerman adalah urusan dalaman negara itu.
Gorbachev sendiri yang mengumumkan pengunduran pasukan Soviet di Afghanistan sekali gus menamatkan pendudukan berdarah di negara itu.
Tindakannya yang lebih ke arah keamanan telah membolehkan Gorbachev dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1991 kerana peranan utama yang dimainkannya dalam perubahan radikal hubungan antara Timur dengan Barat.
Namun, menjelang Ogos 1991 pengawal lama komunis di Moscow berasa apa yang dilakukannya sudah cukup. Akhirnya mereka melakukan rampasan kuasa dan Gorbachev telah ditangkap semasa bercuti di Laut Hitam.
Boris Yeltsin yang merupakan Presiden pertama Russia merebut peluang ketika itu dengan menamatkan rampasan kuasa dan menangkap penunjuk perasaan sebelum melucutkan Gorbachev daripada hampir semua kuasa politiknya sebagai balasan pembebasannya.
Sejak dari itu, parti komunis Gorbachev sendiri telah diharamkan dan Russia yang moden dibangunkan.
Gorbachev bagaimanapun terus memainkan peranan secara vokal demi Russia dan masyarakat antarabangsa.
Namun, reputasinya di luar negara sentiasa lebih tinggi berbanding di negara sendiri. Buktinya, pada tahun 1996, beliau masuk bertanding jawatan Presiden Russia, namun hanya menerima kurang lima peratus undi.
Pun begitu, bekas pemimpin pembangkang liberal Russia, Grigory Yavlinsky berkata, Gorbachev telah memberi kebebasan kepada ratusan juta orang di Russia dan sekitarnya serta separuh Eropah.
Gorbachev melihat legasi yang diciptanya musnah pada akhir hayatnya, apabila pencerobohan ke atas Ukraine menyebabkan sekatan Barat melanda Moscow, manakala ahli politik di Russia dan Barat mula bercakap tentang Perang Dingin yang baharu.
“Gorbachev telah meninggal secara simbolik dan kebebasan yang diciptanya kini dimusnahkan oleh Putin,” kata Andrei Kolesnikov yang merupakan felo kanan di Carnegie Endowment for International Peace.














