Zahasnah tidak dapat menahan sebak ketika memikirkan keselamatan anaknya yang diculik sekumpulan tiga lelaki bersenjata. – ROHANA ISMAIL

Apa dosa anak saya sampai diculik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Luluh hati seorang ibu apabila mengenangkan nasib dan keselamatan anak pe­rempuannya yang dikenali sebagai Azi, 36, yang didakwa kini berada di Thailand selepas menjadi mang­sa culik sekumpulan tiga lelaki di hadapan rumah mereka di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat pada Selasa lalu.

Zahasnah Mohd. Zain, 61, berkata, kejadian menimpa Azi yang bekerja sebagai ejen menjual barang kosmetik itu benar-benar mengejutkan seluruh ahli keluarga memandangkan anak­nya tidak mempunyai sebarang masalah dengan pihak lain.

Katanya, Azi merupakan anak yang baik, malah tidak pernah membuat sebarang perkara yang menyebabkan orang terdekat atau pesaing dalam perniagaannya sakit hati sehingga tercetus perbalahan.

“Saya amat sedih kerana Azi tiada musuh. Kembalikan anak saya kerana Azi merupakan anak yang baik. Saya tidak dapat membayangkan keadaannya semasa ditahan oleh penculik di Thailand ketika ini.

“Sekiranya suami Azi mempunyai masalah dengan orang lain, kenapa perlu libatkan anak saya? Apa salah Azi sampai kena culik? Dia tidak wajar diperlakukan seperti ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu di sini semalam.

Berita berkaitan: Ejen kosmetik diculik lelaki bersenjata di Tumpat

Menurut Zahasnah, sehingga kelmarin, dia dan ahli keluarga­nya tidak menerima sebarang panggilan telefon daripada sesiapa yang meminta wang tebusan untuk membebaskan anaknya.

Katanya, selepas kejadian itu berlaku, dia juga tidak dapat menghubungi atau bertemu de­ngan suami kepada anak perempuannya itu.

“Ada yang memaklumkan suami Azi kini ditahan polis bagi membantu siasatan kes ini. Kami tidak tahu mengenai perkara itu sehinggalah dimaklumkan oleh jiran-jiran.

“Selain itu, ada juga yang mendakwa suami Azi terlibat de­ngan sindiket pengedaran dadah. Saya tidak percaya kerana dia me­rupakan lelaki yang baik, suka bersedekah, malah solat lima waktu pun tidak tinggal. Tidak mungkin dia terlibat de­­ngan pengedaran dadah,” dakwanya.

Berita berkaitan: Suami berselisih faham ahli sindiket dadah punca ejen kosmetik diculik

Menurutnya, apa yang membuatkan keluarganya terkilan adalah mengenai komen-komen netizen di media sosial yang mengatakan Azi curang dengan suaminya sehingga menyebabkan dia diculik dan dibawa ke Thailand.

“Tuduhan itu amat berat ke­rana kami sekeluarga sedang bersedih ketika ini,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Naim Awang, 70, berkata, dia juga amat terkilan apabila tidak sempat menyelamatkan anaknya itu ketika kejadian culik berlaku.

Katanya, dia sempat melihat anaknya itu dibawa lari oleh dua lelaki sebelum anaknya dimasukkan ke dalam kereta jenis Toyota Vios.

Berita berkaitan: Ejen kosmetik dilarikan sekumpulan lelaki di Tumpat

“Saya berlari mengekori dua lelaki itu ke pintu kereta, namun terkejut melihat suspek mengacukan pistol ke arah saya.

“Saya amat terkilan apabila tidak sempat menyelamatkan Azi dan hanya mampu melihat dia dibawa lari,” katanya.

Terdahulu, seorang wanita yang juga ejen produk kosmetik dipercayai diculik sekumpulan lelaki di rumahnya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini pada Selasa lalu.

Mangsa dilarikan tiga lelaki tidak dikenali kira-kira pukul pada 5.10 petang dengan menaiki Toyota Vios.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN