USAHA mempertemukan wajah empat figura terkenal untuk berkongsi dan menghiasi bingkai sempena Hari Malaysia tahun ini ternyata bukan suatu perkara mudah. Masa dan komitmen terhadap tugasan hakiki menjadi kekangan utama.
Namun atas kebersatuan jiwa sempena meraikan satu hari kebesaran negara, semuanya terlestari jua.
Kali ini, HibGlam membawa dan merungkai ideologi bintang muda, Hawa Rizwana yang meledak dalam dunia penyiaran bergandingan dengan Sean Le, aktor berbangsa Tionghua yang mampu mencairkan hati ramai wanita di luar sana.
Tidak ketinggalan, aktres handalan Sangeeta Krishnasamy yang penuh visi tentang asimilasi budaya pelbagai kaum dalam sinema dan Amir Masdi, si vokalis pujaan Sepi Sekuntum Mawar Merah versi lelaki disertakan bersama.
Tidak kenal rapat tapi atas nama anak Malaysia, kemesraan yang tercetus membuktikan hanya dengan satu kecintaan (seni), atau apa sahaja kebersamaan, kita boleh saja mencipta keharmonian tanpa batasan latar budaya, agama mahupun kaum.

Hawa mahukan variasi
Personaliti televisyen jelita, Hawa Rizwana, sesungguhnya bersyukur lahir dan tinggal di tengah-tengah masyarakat majmuk dengan keunikan dan kepelbagaian bangsa.
Kata wanita berusia 27 tahun itu, sejak kecil dia sudah terbiasa bergaul dengan kepelbagaian bangsa kerana tinggal di kawasan kejiranan yang dikelilingi kaum berbeza.
“Sejak kecil saya sudah terbiasa bergaul dengan pelbagai bangsa. Bahkan jiran saya sewaktu kecil juga merupakan keluarga berbangsa Cina dan saya berkawan rapat dengan dua orang anak mereka.
“Apabila dewasa, saya tidak memilih kawan. Saya mahukan kepelbagaian dalam pergaulan seharian,” katanya.

Kata pengacara program Wanita Hari Ini itu lagi, dia berasa sangat teruja apabila dapat bergaul dengan kaum berbeza, walaupun norma sebegitu sepatutnya sudah menjadi perkara biasa di Malaysia.
“Secara tidak langsung kita boleh belajar tentang keunikan budaya dalam sesuatu kaum berbeza.
“Kita juga boleh berkongsi perkara baik tentang Islam kepada bangsa lain untuk menunjukkan keindahan agama (Islam) sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, masyarakat hari ini tidak boleh lari daripada sikap ‘toksik’ yang masih wujud dalam segelintir masyarakat lebih-lebih lagi dalam arus perkembangan media sosial hari ini.
Ujarnya, cabaran utama kehidupan masyarakat hari ini adalah melalui media sosial apabila masih wujud penyebaran unsur negatif yang mampu menjejaskan perpaduan.
Justeru, Hawa berpendapat masyarakat seharusnya perlu mengubah minda mereka untuk memupuk keharmonian masyarakat yang berbilang kaum.
“Kita perlu menepis stereotaip memburuk-burukkan sesuatu bangsa supaya dapat membina perpaduan kaum.
“Untuk menjadi bangsa Malaysia, kita tidak boleh menilai masyarakat sebagai satu kaum,” jelasnya.

Muzik satu penyatuan – Amir Masdi
Bagi penyanyi berwajah Oriental, Amir Masdi pula berpandangan kemajuan sesebuah negara itu mampu dicapai jika rakyatnya bersatu padu.
Amir atau nama lengkapnya Amir Syazwan Masdi, melihat perpecahan dalam masyarakat boleh menjadi antara punca yang merencatkan kemajuan sesebuah negara.
“Saya rasa kemajuan sesebuah negara itu mampu dicapai jika rakyatnya bersatu, bukan masyarakat yang hidup berpecah belah.
“Namun saya sangat berbangga dengan rakyat Malaysia apabila masyarakat di negara ini semakin bersatu sejak dunia dilanda pandemik Covid-19,” kata Amir.
Ujar penyanyi berumur 25 tahun itu, sejak negara dilanda Covid-19, masyarakat di Malaysia semakin bersatu tanpa mengira bangsa dan agama.
“Sejak pandemik lalu, saya dapat merasai rakyat Malaysia tidak lagi malu atau segan untuk membantu sesama sendiri tanpa mengira kaum dan agama.
“Ini barulah betul-betul sebuah negara Malaysia yang hidup secara harmoni dan aman damai,” jelasnya.
Sebagai penyanyi, Amir juga berpendapat bahawa muzik sendiri mampu menyatupadukan masyarakat kerana bersifat ‘universal’.
“Melodi dan lirik sebuah lagu itu memainkan peranan besar. Namun ramai yang tidak sedar bahawa muzik itu boleh memberikan semangat merasai hubungan antara satu sama lain,” katanya.
Sebagai langkah permulaan, Amir sedang dalam proses untuk belajar menyanyikan lagu-lagu berbahasa Cina dan Tamil untuk memberi kelebihan kepadanya sebagai penyanyi tempatan.
Kata Amir, sebagai penyanyi dia perlu mempelbagaikan kemampuan bahasa selain daripada bahasa Melayu dan Inggeris.
“Saya tinggal di sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum. Jadi tidak salah jika saya mampu menyanyikan lagu berbahasa Mandarin dan Tamil untuk memikat telinga pendengar masyarakat Cina dan India,” katanya.

Buang jurang bangsa – Sean Lee
Membina tapak sebagai pelakon dan pengacara hampir sedekad lalu, pemilik nama penuh Sean Lee Jia Ern sangat berbangga jika karier yang diceburi mampu membenihkan semangat kecintaan dan penyatuan emosi penonton terhadap negara.
Tidak menafikan realiti, aktor berusia 28 tahun itu bagaimanapun mengakui masih terdapat sentimen jurang perkauman dalam dunia hiburan.
“Industri kita sebenarnya masih dipecahkan mengikut bangsa iaitu Melayu, Cina, India dan bangsa lain. Seperti wujud beberapa ‘negara’ dalam industri kita.
“Mungkin ramai yang sedar perkara ini tetapi tidak bersuara.
“Daripada kita sibuk dengan isu remeh, lebih baik berusaha membuang jurang perkauman,” tuturnya.
Sebagai pejuang seni, pelakon yang mesra disapa sebagai Sean turut berhasrat menghasilkan sebuah karya yang menekankan perpaduan.
Naskhah sebegitu jarang terhasil, jika ada pun sekadar projek khas sempena Hari Kebangsaan.
“Kita rindukan sitkom atau program yang mengetengahkan pelakon dan cerita pelbagai bangsa.
“Menghasilkan sebuah karya ‘Malaysia’ tidak sukar pun. Jangan sesekali mencipta atau meletakkan limitasi.
“Sebenarnya bidang seni merupakan antara medium terbaik dalam mendidik anak bangsa mengenai hal ini selain sektor pendidikan dan sukan,” ujarnya.
Turut berkongsi perihal kerjaya, pengacara MBuzz itu bakal terlibat dalam sebuah projek bersama produksi Korea Selatan Oktober ini.
“Tidak boleh berkongsi banyak kerana projek ini belum bermula. Walaupun hanya watak cameo, peluang ini tidak akan sesekali saya sia-siakan.
“Dalam masa sama, inilah detik untuk saya melihat cara kerja produksi luar negara, sekali gus membawa nama sebagai anak Malaysia ke sana,” jelasnya yang bakal menerbitkan sebuah telefilem sendiri tidak lama lagi.

Tidak istilah anak tiri, rasisme – Sangeeta
AKTRES wanita berketurunan India, Sangeeta Krishnasamy pula tidak pernah berasa terasing atau dianaktirikan kerana perbezaan agama dan kaum.
Bintang filem Juang itu bersyukur kerana tidak pernah melalui episod paling tidak disenanginya itu sepanjang mula bergelar anak seni sejak tahun 2009.
“Sejak bergelar pelakon lebih satu dekad lalu, saya bersyukur kerana tak pernah lagi rasa diketepikan terutama sepanjang aktif dalam dunia perfileman Melayu.
“Penerimaan kaum sesama penggiat industri sangat baik. Tiada unsur rasisme,” katanya.
Antara yang menarik perhatian tentang anak kelahiran Kuala Lumpur itu ialah kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu.
Katanya, dia langsung tidak kekok untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan kerana dibesarkan dengan persekitaran pelbagai budaya dan agama.
“Saya dihantar ke sekolah kebangsaan dan kawan baik juga orang Melayu. Tidak kekok langsung dan sangat bersyukur.
“Boleh bertutur dalam pelbagai bahasa sebenarnya boleh membuka banyak peluang kepada diri sendiri. Filem Tamil, Inggeris dan Melayu, semua saya terima kerana kelebihan bahasa ini.

“Jangan berhenti untuk belajar bahasa lain, tidak kiralah bahasa Korea atau Perancis sekali pun,” ujarnya.
Meluahkan pandangan untuk menjadikan industri seni sebagai platform terbaik penyatuan ‘keluarga Malaysia’, bintang yang mula dikenali menerusi filem Adiwiraku itu mahu setiap karyawan menonjolkan cara kehidupan setiap kaum dengan lebih teliti dalam setiap filem mahupun drama.
Baginya, corak kehidupan sesebuah kaum dan budaya di Malaysia selalunya tidak ditonjolkan dengan tepat dan sekadar secara permukaan sahaja.
Tutur aktres berusia 36 tahun itu, ramai penggiat seni yang memandang remeh tentang unsur budaya dalam naskhah seni.
“Kita sering dihidangkan dengan paparan budaya klise dan tidak teliti atau tiada kajian lebih halus bahawa dalam setiap kaum, cara mereka meraikan sesuatu sebenarnya sangat berbeza.
“Masyarakat India sendiri pelbagai kaum, seperti Telugu, Malayalam dan Punjabi.
“Amalan mereka berbeza tetapi kita hanya memaparkan sesuatu yang dicedok dari Bollywood,” katanya.
Tambah bintang yang mencipta menerusi filem Tamil itu, penerapan nilai budaya yang kurang teliti dalam karya seni membuatkan golongan muda tidak dapat mempelajarinya dengan baik.
“Perlu sedar, penonton kita kebanyakan golongan muda. Sebaik-baiknya gunakan platform seni untuk pendedahan bukan sekadar mencedok sahaja,” ujarnya panjang lebar.

Penata gaya: DEAN ISHAK (@dean.ishak)














