KETIKA di sekolah rendah, Azim (bukan nama sebenar) terkenal sebagai seorang murid yang baik serta
mempunyai pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Meskipun meraih keputusan cemerlang, namun dia memilih untuk melanjutkan pelajaran di sekolah
menengah biasa di Sungai Petani, Kedah berbanding ke asrama penuh.
Azim yang kini berusia 30-an berkata, faktor utama dia tidak melanjutkan pelajaran ke asrama
penuh adalah kerana tidak mahu berjauhan dengan kedua-dua ibu bapanya.
“Kalau ikutkan keputusan UPSR dahulu, saya memang layak masuk sekolah asrama penuh. Tapi saya tolak sebab tidak pernah berjauhan dengan keluarga dan enggan berdikari.
“Disebabkan itu, saya masuk ke sekolah menengah harian biasa berhampiran rumah. Lagi pula, ramai
kawan-kawan saya bersekolah di situ,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Tiga tahun pertama persekolahan segala berjalan lancar, malah Azim juga berjaya memperoleh keputusan memberangsangkan dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah.
Bagaimanapun, segalanya berubah apabila Azim berjaya memperoleh lesen dan mempunyai motosikal
sendiri selepas dihadiahkan bapanya sempena hari lahir.
“Kalau di Kedah, motosikal menjadi satu kemestian buat kami. Ia bagi memudahkan saya bergerak
terutamanya berulang-alik dari rumah ke sekolah,” ujarnya.
Rentetan itu, Azim mula bercampur dengan rakan-rakan lain yang mempunyai motosikal serta
menghabiskan masa lapang di sebuah bengkel kecil milik seorang pemuda bernama Sham.
Ujarnya, bengkel tersebut menawarkan perkhidmatan membaiki motosikal serta terkenal sebagai
penjual barang spare part asli pada harga murah dalam kalangan pelajar.
“Lepas memiliki motosikal, saya selalu habiskan masa melepak di bengkel bersama rakan-rakan.
“Selalunya, saya habiskan masa borak-borak sambil betulkan apa yang patut pada motosikal.
“Bengkel ini memang terkenal sebagai penjual barang alat ganti murah, terutamanya untuk motosikal
Honda EX5 dan Yamaha RX-Z. Sham tawarkan harga dua kali lebih murah berbanding bengkel lain.
“Saya juga ada beli beberapa alat ganti untuk dipasang pada motosikal Honda EX5 seperti ekzos serta beberapa komponen penting pada bahagian enjin bagi menambah kelajuan,” katanya.

bengkel motosikal milik Sham. – GAMBAR HIASAN
Pada satu hari, Azim mula berasa tidak sedap hati apabila terlihat dua buah motosikal EX5 baharu tanpa
nombor pendaftaran disimpan dalam bengkel tersebut.
Dia cuba bertanyakan kepada Sham bagi mendapatkan kepastian mengenai status kedua-dua motosikal
berkenaan. Sham hanya membisu seribu bahasa.
“Saya berasa pelik kenapa motosikal baharu dihantar ke bengkel. Sebab itu saya tanya Sham mengenai kedua-dua motosikal berkenaan, tetapi dia diam sahaja,” ceritanya.
Kebetulan hari itu, Azim memilih untuk lepak sehingga lewat malam di bengkel memandangkan kedua-dua ibu bapanya tiada di rumah.
Ternyata nasib tidak menyebelahi Azim apabila bengkel itu diserbu polis. Cerita Azim, sewaktu serbuan,
dia membantu Sham membuka enjin salah sebuah motosikal EX5 berkenaan, sedangkan rakan-rakan
lain telah pulang ke rumah.
“Saya dan Sham ditahan sebelum dibawa ke balai polis. Kami dituduh terlibat dalam sindiket mencuri
motosikal. Polis beritahu, kedua-dua motosikal EX5 dalam bengkel adalah barang curi.
“Hasil pemeriksaan polis juga mendapati, motosikal saya menggunakan alat ganti daripada
kenderaan yang dicuri. Ini menguatkan lagi dakwaan saya terlibat sama dalam perkara itu,” ujarnya.
Rentetan itu, Azim didapati bersalah dan bersubahat dengan Sham.
Memandangkan dia masih dibawah umur, Azim telah menjalani hukuman di salah sebuah sekolah juvana milik Jabatan Penjara.
Lebih dua tahun menghabiskan masa di situ, Azim akhirnya dibebaskan selepas menamatkan Sijil
Pelajaran Malaysia dengan keputusan agak cemerlang.
“Kejadian itu menyedarkan saya pentingnya memilih kawan. Jika berkawan dengan orang baik, maka
baiklah kita, begitulah sebaliknya. Masa depan saya gelap disebabkan tersalah pilih kawan,” ujarnya.














