fbpx
ABAS menunjukkan album hasil kerja ukirannya yang dibuat untuk Istana Shah Alam, Selangor ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kelubi, Pasir Puteh baru-baru ini.

Rezeki mewah pengukir kayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

UKIRAN kayu merupakan seni rupa tradisi Melayu yang diwarisi sejak lebih 500 tahun lalu.

Di Semenanjung Malaysia, kekayaan seni ukiran kayu orang Melayu paling ketara dapat dilihat pada istana, muzium dan rumah tradisional terutama di Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan.

Di Kelantan, masih terdapat ramai pengukir kayu yang mendapat pendidikan formal dan tidak formal mewarisi seni ukuran yang masih mampu bertahan dalam modenisasi zaman.

Di Pasir Puteh, Kelantan, dua pengukir yang berbeza latar belakang pendidikan masih mempertahankan seni warisan itu dan sentiasa membuka peluang kepada anak muda untuk mempelajarinya.

Pengukir hebat yang banyak menghasilkan ukiran kayu di seluruh Malaysia, Dr. Abas Abdullah, 75, adalah pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan seni halus dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 2007.

Abas telah berjaya membuka bengkel di sebelah rumahnya di Kampung Kelubi, Pasir Puteh untuk kerja-kerja mengukir selain bertujuan melatih tenaga pelapis baharu yang akan mewarisi seni berkenaan.

“Minat yang saya mula asah ketika bertugas sebagai guru subjek Geografi di Sekolah Menengah Dato’ Ismail, Gong Kedak akhirnya menjadi realiti. Dilantik pula sebagai panel penasihat Universiti Industri di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada tahun 2008, saya juga berjaya melatih beratus orang pengukir muda serta pelajar yang menjalankan latihan industri.

“Masih mendidik pada masa itu, namun saya beralih bidang kerana semua tumpuan difokuskan kepada ilmu pengukiran, mengenal jenis kayu dan amali ukiran,” katanya ketika ditemui Panorama di kediamannya yang penuh ukiran hasil tangannya sendiri baru-baru ini.

Tambah Abas, hampir keseluruhan mimbar masjid ukiran kayu cengal seluruh Kelantan dihasilkan di bengkelnya dengan projek pertama ketika itu ialah mimbar Masjid At-Taqwa Cherang Ruku di Semerak.

“Hasil kerja saya juga termasuklah meja ukiran meletak cokmar di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) serta kerusi berukir untuk kegunaan Canselor yang banyak diterima tempahan,” katanya.

Jelas Abas, projek terbesarnya ialah pembinaan replika mimbar Masjid Teluk Belanga di Singapura pada tahun 1991 yang ditempah oleh Sultan Johor dengan mengambil masa hampir sembilan bulan untuk disiapkan.

“Tahun sebelumnya pula, saya menyiapkan kemasan dinding khat untuk Masjid Taman Tun Dr. Ismail bernilai hampir RM30,000 pada tahun 1990, selain menyiapkan mimbar Masjid Negeri Sembilan dengan harga RM40,000 ketika itu,” katanya.


PERALATAN yang digunakan untuk membuat ukiran kayu.

Menurutnya, pada tahun 2002, dia juga telah mereka bentuk dan membuat 44 buah kerusi diraja serta 12 buah meja santapan diraja bermotif ukiran Melayu di Banquet Hall Istana Shah Alam, Selangor.

“Pada tahun 2003, saya dan pengukir lain telah mereka cipta dan membina Panca Persada bersempena upacara pertabalan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almahrum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj pada 8 Mac 2003.

Abas menjelaskan, dua prinsip asas dalam ukiran Melayu ialah ukiran tebuk tembus dan ukiran timbul. Jelasnya, kayu cengal pula adalah pilihan utama untuk diukir kerana faktor ketahanan strukturnya dan sifatnya yang halus senang dibentuk.

Beliau berkata, pengukir lebih gemar menonjolkan elemen tumbuhan seperti pokok ketumbit, bunga cempaka, bunga Cina, daun pengasuh dan motif-motif yang melambangkan kehidupan orang zaman dahulu.

Satu keunikan tentang kemahiran Abas ialah kekemasannya dalam menyadur emas tulen pada ukiran kayu sehingga menarik minat pihak istana agar beliau menyadur semula warna keemasan pada ukiran yang perlu dicantikkan semula.

“Saya dapatkan kepingan nipis emas asli itu dari kota Bangkok, Thailand selepas mengkaji dan menyelidik ketahanan barangan hiasan yang bersadur di negara berkenaan.

“Dalam meniti usia senja ini, saya mengambil keputusan menutup bengkel ukiran yang pernah gah di bawah Etika Unggul dan AJ Kraf Sdn. Bhd. yang lengkap dengan mesin kayu dan peralatan untuk membina sebuah pusat tahfiz wanita berkonsepkan dekorasi seni Masjid Nabawi, Madinah yang kini dalam proses 80 peratus siap,” katanya.

Berbeza dengan seorang lagi penggiat seni ukiran kayu, Rosman Talib, 57, dari Kampung Raja Dagang Semerak di Pasir Puteh yang tidak memiliki pendidikan formal ukiran kayu, sebaliknya daripada pengalaman dan pembelajaran daripada tukang-tukang ukir.

ROSMAN telah menyiapkan sebuah congkak kayu gergasi dengan ukiran yang cukup halus dan menakjubkan.

Rosman juga tidak kurang hebat apabila hasil ukiran kayunya berupa sepasang keris disimpan Ratu England. Hasil tangannya itu dihadiahkan kepada Ratu England oleh kerajaan Malaysia ketika menghadiri sidang Komanwel di Kuala Lumpur pada suatu ketika dahulu.

Berasal dari Melaka, Rosman memulakan langkah dalam industri seni ukir di sebuah pusat kraf tangan di Temerloh, Pahang selama lebih setahun sebelum bekerja sebagai tukang ukir di Kelantan Woods Craft pada awal 1980-an.

Pengalaman bekerja selama 10 tahun di syarikat itu mengajarnya erti kedewasaan dalam dunia seni ukiran kayu.

Rosman berkata, hasil pengamatan dan berguru dengan tukang ukir mahir membekalkan ilmu buat dirinya sehingga seni ukiran kayu menjadi satu kerjaya untuk menyara keluarga sehingga sekarang.

Menurutnya, penghasilan hulu keris berbentuk kepala singa dan burung antara yang paling popular ditempah oleh penggemar keris berhulu kayu teras yang dihasilkannya.

“Bukan sekadar hulu keris, malah mencakupi sarung keris, ukiran dinding selain saya juga pernah menyediakan keris diraja serta ukiran dinding untuk istana.

KEMAHIRAN Abas dalam menyadur emas pada ukiran kayu juga menarik perhatian pihak istana.

“Saya juga percaya bahawa hasil kerja secara manual tanpa mesin dan menggunakan kaedah lama buatan tangan adalah lebih bernilai.

“Buatan tangan akan dianggap eksklusif apabila disertai ukiran halus yang paling susah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Raja Dagang Semerak baru-baru ini.

Rosman yang lebih dikenali sebagai Abe Man Tukang Ukir berkata, ketelitian memahat dan mengukir adalah kerja yang cukup rumit dan bahan pahatan yang keras pula memerlukan masa sebulan untuk menyiapkannya.

“Dari dahulu hingga sekarang, kerja ukiran saya hanya menggunakan kudrat tangan dan bantuan pelbagai jenis pahat, tukul dan wali (pisau mengukir). Sebahagian perkakasan ini juga saya hasilkan sendiri,” katanya.

Rosman berkata, antara kayu yang sering menjadi pilihan ramai untuk dijadikan hulu keris ialah kayu kemuning lada, kemuning emas, kemuning tahi ayam dan kemuning kenaung yang tumbuh meliar di Bari, Terengganu dan juga di Gua Musang.

Rosman berkata, tempahan hulu keris agak merosot sepanjang pandemik Covid-19, lalu menimbulkan idea kepadanya untuk menghasilkan karya ukiran congkak gergasi bermotifkan kepala burung untuk koleksi peribadi diperbuat daripada batang kayu nangka tua yang tumbang di belakang rumahnya.

“Hampir 90 peratus siap dan kalau ada ‘jodoh’ serta rezeki, saya mungkin jual karya itu dengan harga RM40,000,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN