fbpx

Kastam rampas 50 kenderaan import bernilai RM11.36 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Sabri (depan) bersama kereta jenis Mustang GT yang dirampas pihaknya, hari ini./ FOTO ZULFADHLI ZAKI

KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 50 buah kenderaan termasuk sembilan motosikal berkuasa tinggi tidak mempunyai permit import (AP) di sekitar Pelabuhan Klang, di sini, baru-baru ini.

Rampasan bernilai RM11.36 juta termasuk cukai itu dilakukan menerusi Ops Bearing hasil kerjasama Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuala Lumpur, Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bermula 15 Ogos lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad berkata, operasi dijalankan bagi mengesan mana-mana pihak dan individu yang mengelak pembayaran cukai import.

Katanya, ini berikutan duti bagi kenderaan import adalah tinggi dan mendatangkan kerugian kepada negara.

“Sebanyak 45 kenderaan import dikesan dan dirampas di zon bebas Pelabuhan Klang ini manakala selebihnya lima lagi dirampas di sekitar daerah ini.

“Antara dirampas termasuk kereta jenis Mustang GT, Ford GT40, Mini Cooper Clubman, KTM Adventure 1,290, Honda CB1,100 dan Harley Davidson XL1,200X,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Kastam di sini, hari ini.

Mohammad Sabri menjelaskan kenderaan dan motosikal import itu dibawa daripada pelbagai negara antaranya Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom serta Sweeden.

“Siasatan awal mendapati ada kenderaan import ini dibawa masuk oleh para pelajar antarabangsa yang baru mendaftar di institut pengajian tinggi awam.

“Mereka tidak tahu bahawa ia menjadi kesalahan sekiranya membawa kereta import tanpa mempunyai permit import terdahulu. Namun, kita tidak berkompromi dengan alasan tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1957 kerana cubaan mengimport barangan tidak berkastam -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI