fbpx
BRONT PALARAE

Popular di Indonesia, Bront Palarae rancang berhijrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMA aktor hebat kelahiran Alor Setar, Kedah ini agak sunyi seketika dari radar dunia hiburan sejak beberapa tahun kebelakangan.

Terakhir namanya disebut-sebut dan memuncak ketika filem seram Pengabdi Setan lakonannya menghantui pawagam di seluruh Malaysia sekitar lima tahun lalu.

Hampir separuh dekad berlalu pergi begitu sahaja, nama Bront Palarae seakan-akan turut ikut larut dalam gelombang populariti yang pernah menyalutinya.

Tidak menafikan situasi tersebut memang berlaku kepadanya, namun Bront juga tidak mengiyakan andai ramai yang menebak ‘kehilangannya’ bukan disebabkan tidak menerima sebarang naskhah lakonan.

Berpeluang bertentang mata bersama pemilik empunya nama sebenar Nasrul Suhaimin Saifuddin itu baru-baru ini, Bront menyifatkan dia tetap ada dan langsung tidak ‘kabur’ ke mana-mana.

PELAKON Lelaki Terbaik Anugerah Skrin ke-14 ini menyifatkan rezeki dan kerjaya lakonannya lebih menyinar di negara seberang sejak terlibat dalam naskhah Pengabdi Setan lima tahun lalu.

“Kalau ikutkan saya tidak ke mana pun dan ada sahaja di sini. Cuma bila pandemik melanda dua tahun lalu, semua kerja-kerja penggambaran di Indonesia turut terkesan.

“Jadi itu yang menyebabkan kami anak-anak seni dan semua kru yang bekerja tidak dapat melakukan kerja-kerja penggambaran sehingga terpaksa ‘menyepi’ sebentar disebabkan virus,” katanya selaku introduksi kepada Pose.

Meneruskan perbualan, Bront yang kini berusia 43 tahun bersyukur, akhirnya kerja-kerja seni yang banyak tertangguh dapat diteruskan seperti sediakala dan hasilnya, naskhah terkini lakonannya Pengabdi Setan 2 juga sudah menerpa di skrin lebar negara ini.

Lebihkan Indonesia

Meneruskan perbualan, hero yang pernah meroket namanya menerusi naskhah Ombak Rindu sekitar 11 tahun lalu itu sekali lagi menadah tangan tanda syukur keberadaannya dalam industri seni masih diterima ramai.

Tidak setakat popular di tanah seberang sebagai aktor berkaliber, bakatnya masih lagi berbisa dan disegani di tanah air sendiri.

Kata aktor berkaliber itu, tiada isu mengenai keselesaan apatah lagi dilayan bagai anak raja selepas melebarkan sayap ke Indonesia.

“Tidak timbul soal dianaktirikan di sini. Mungkin projek filem yang saya buat di Malaysia, impaknya tidak sebesar filem luar yang saya lakonkan di sana.

“Pada saya, sama sahaja sama ada berkarya di negara sendiri mahupun tempat orang. Cuma mungkin ketika ini rezeki dan tawaran banyak datang dari Indonesia.

“Apa yang boleh saya katakan, kerjasama dan hubungan tidak kira dengan penggiat industri seni mahupun pengamal media tempatan masih sama seperti dahulu dan tak pernah berubah,” katanya.

BRONT berkata, tidak pernah timbul soal dirinya dianaktirikan di negara kelahiran sendiri lebih-lebih lagi ketika namanya kini sedang mekar di tanah seberang.

Jelasnya lagi, mungkin orang melihat namanya begitu mudah naik apabila bekerja di tempat orang. Hakikatnya, usaha untuk mengukir nama bukanlah semudah yang difikirkan.

Ujar Bront, semuanya berlaku secara kebetulan kerana rezekinya sudah tertulis di situ hingga ke detik ini.

“Jujur sebenarnya tidaklah mudah seperti disangka. Kalau sebelum ini waktu awal-awal aktif berlakon di Malaysia lagi, saya memang mengejar watak sebagai keutamaan.

“Tetapi kini, watak jatuh jadi nombor dua kerana penceritaan atau jalan cerita dalam sesuatu naskhah itu lebih penting,” ujarnya.

Berhijrah

Dek populariti menggunung di negara seberang, ada juga mulut-mulut mengatakan bahawa Bront selayaknya terus berhijrah agar dapat menumpukan 100 peratus kariernya.

Dia sendiri memang pernah terfikir, namun ujar Bront, mungkin perkara tersebut tidak akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Pindah ke sana mungkin ada, tapi tengok dan bergantung dengan jadual kerja. Bila kekerapan bekerja itu lebih banyak di sana, agak tidak logik untuk saya berada di sini.

“Tak logik untuk keluarga, pendidikan anak-anak dan pihak produksi di sana. Apa pun, nak pindah dan hijrah itu tidak akan berlaku sekarang atau dalam keadaan kelam-kabut,” tuturnya.

PERIHAL penghijrahan ke Indonesia, Bront tidak menolak andai rezekinya banyak berpihak di sana, namun tidak akan berbuat demikian dalam kadar segera.

Menguatkan jawapan tersebut adalah disebabkan terdapat sebuah projek filem di Malaysia yang sedang dipertimbangkan dan memerlukan khidmatnya hingga pertengahan tahun hadapan jika sudah dipersetujui.

‘Itu bukan saya’

Seperkara lagi yang dikesan, Bront jarang sekali mempamerkan kebahagiaan bersama isi keluarganya dalam media sosial.

Menjadi kebiasaan bagi lain-lain selebriti yang gemar berkongsi foto atau video bersama insan tersayang, Bront bagaimanapun bukan begitu.

Dilihat seakan-akan terlalu berahsia dan takut andai identiti keluarganya diketahui umum, aktor tinggi lampai itu sekali lagi menafikan perkara tersebut dengan hujah tersendiri.

MEMILIH untuk tidak berkongsi apa-apa mengenai keluarga atau cerita peribadi dalam media sosial, Bront mengakui itu memang caranya sejak awal bergelar pelakon lagi.

“Cerita mengenai kehidupan peribadi dalam media sosial tak mungkin akan terjadi dan itu bukanlah saya.

“Sebagai individu yang bekerja di hadapan kamera, saya lebih faham dan berdaya tahan untuk berdepan tohmahan serta kecaman manusia berbanding keluarga.

“Saya kena fikir tentang keluarga. Ibu bapa kita mungkin lebih faham sebab anak dia sudah 20 tahun dalam industri seni. Tetapi yang lain-lain bagaimana?

“Mudah kata, belum tentu mereka dapat menerima impak dan tempias populariti. Jadi lebih baik, perkara-perkara peribadi itu terus saya simpan rapi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN