“WANG emas aku curi dari gua penuh emas. Ia perlu disimpan rapi supaya tidak dicuri pencuri.”
Itulah bait-bait kata yang keluar daripada mulut Sasterawan Negara ke-15, Datuk Rahman Shaari apabila diminta mengulas mengenai sumber ilhamnya menghasilkan karya hebat.
Bagi Rahman, 73, ilham merupakan benda berharga yang datang dengan sendirinya tanpa sebarang paksaan dan ia haruslah dicatatkan di dalam buku supaya tidak hilang daripada ingatan.
Katanya, ilham yang hadir perlu dikumpulkan sebelum disunting bagi menghasilkan sebuah sajak atau puisi yang bukan sahaja sedap, malah mempunyai makna mendalam.
Perkara tersebut dibuktikan menerusi penghasilan sajak hebat beliau bertajuk Giliran yang berjaya memenangi Hadiah Karya Sastera Malaysia bagi kategori puisi pada tahun 1976.
“Ilham hadir tidak mengira waktu dan tempat. Misalnya, karya saya bertajuk Giliran ditulis hasil pengalaman tinggal rumah setinggan di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur sekitar tahun 70-an.
“Waktu itu, saya lihat orang ramai tanpa mengira usia dan jantina terpaksa berbaris panjang untuk mengambil air bersih dari pili tunggal yang terdapat di situ.
“Bait kata yang melayakkan karya saya diangkat sebagai pemenang ialah: ”Bergilir mengambil air halal di tanah haram”.
Ia bermaksud, air itu halal tetapi tempat itu haram diduduki,” kata penyair terkemuka tanah air itu ketika ditemu bual K2.

Hasil kemenangan karya Giliran, Rahman tidak lagi menoleh ke belakang dalam menghasilkan sajak-sajak hebat sehingga berjaya meraih anugerah di dalam mahupun luar negara.
Antara sajak mengagumkan nukilan Rahman adalah Hamparan Kuning pada 1976, Kesan Kunjungan (1982), Serpihan Diri (1987), Selamat Pagi Fajar (1989), Melati dan Bahang (1994) dan terbaharu Penunggang Kenyataan (2015).
Selain itu, Rahman aktif menulis buku apabila berjaya menghasilkan lebih 60 buku yang terdiri daripada kumpulan cerpen, novel, drama, puisi dan kritikan sastera.
Antara naskhah dihasilkannya termasuk Permata Puisi, Semoga Molek, Mufarakah, Bimbingan Istilah Sastera, Lukisan Zaman, Cengkaman, Erti Kedewasaan Hasrat dan Kumpulan Puisi: Penunggang Kenyataan.
Menerusi karya-karyanya juga beliau berjaya memenangi hadiah pertama Sayembara Esei/Kritikan Sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1977 serta Hadiah Sastera Malaysia bagi kategori puisi pada tahun 1982 dan 1986.
Beliau bahkan pernah meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada 2003; Anugerah Penyair Gabungan Persatuan Penulis Nasional 2013 dan Hadiah Penulisan Esei Utusan Melayu dalam bidang pantun pada tahun 2014.
Rahman juga berjaya mendapat pengiktirafan dari luar negara apabila menerima anugerah sastera berprestij Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) daripada Puteri Thailand, Sirivannavari Nariratana.
Kejayaan berkenaan meletakkan Presiden Persatuan Penyair Malaysia itu sebaris dengan nama-nama besar penulis sastera negara yang pernah memenangi anugerah sama seperti Usman Awang, A.Samad Said dan Kemala.

BUKU Kumpulan Puisi: Penunggang Kenyataan merupakan antara karya terbaharu nukilan Rahman.
Selepas lebih lima dekad menghasilkan karya-karya sastera hebat, segala usaha dilakukan Rahman akhirnya dihargai apabila beliau diangkat sebagai Sasterawan Negara ke-15 baru-baru ini.
Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin pada Jun lalu ketika sidang media di Kementerian Pendidikan.
Pemilihan anak kelahiran Kampung Gial, Mata Ayer, Perlis itu dibuat selepas panel sembilan pakar menilai 12 calon sasterawan tempatan yang menyumbang kepada dunia sastera dan akademik.
Pemilihan tokoh itu berdasarkan kepada sumbangan beliau melalui karya dan pemikiran, sumbangan terhadap pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu, kepemimpinan dalam persatuan sastera, impak pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penghargaan dan pengiktirafan yang diterimanya.
“Sebenarnya, saya tidak sangka sama sekali akan mendapat anugerah Sasterawan Negara pada tahun ini. Ia memandangkan calon-calon lain tidak kurang hebatnya terutamanya penulis-penulis muda,” katanya.
Menariknya, Rahman merupakan seorang ‘hafiz’ puisi apabila berjaya menghafal sebanyak 340 puisi dari dalam dan luar negara.
Dia mula menghafal karya-karya puisi sejak berusia 17 tahun dan sehingga sekarang masih mampu mengingatnya termasuk puisi-puisi panjang dari Indonesia.
Mengimbau kembali perjalanan sastera, bapa kepada lima cahaya mata dan 14 cucu itu berkata, segalanya bermula sejak zaman kanak-kanak iaitu ketika dia berusia 11 tahun.
Bagaimanapun, minatnya itu agak terbantut memandangkan terpaksa meneruskan pengajian dalam aliran sains sewaktu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tingkatan enam rendah.
Ketika menuntut di tingkat enam, Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Cheras, Kuala Lumpur, Rahman mengambil keputusan drastik menukar aliran pembelajarannya kepada sastera.
“Sebenarnya, saya memang minat sastera sejak kecil disebabkan pengaruh nenek yang gemar berpantun. Ketika tingkatan lima, saya juga terlibat dengan seni persembahan drama.
“Pada masa sama, saya gemar membaca bahan-bahan sastera ilmiah seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Mastika dan Utusan Zaman. Ini mendorong saya untuk menukar aliran daripada sains ke sastera meskipun dihalang pengetua sekolah.
“Ternyata keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) saya kurang cemerlang dan hanya berjaya melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris pada tahun 1970,” katanya.
Selepas menamatkan diploma, beliau meneruskan pengajian ijazah sarjana muda di Institut Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu (IBKKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama empat tahun.

Tamat sahaja pengajian, Rahman pulang ke Perlis selama dua tahun untuk berkhidmat sebagai guru. Menjelang tahun 1980, beliau mula bertugas di Pusat Perkembangan Kurikulum KPM di ibu kota.
“Meskipun sibuk belajar dan berkhidmat sebagai guru. Namun, saya tetap meneruskan minat dalam bidang sastera. Saya meluangkan masa sekitar tiga jam sehari untuk menulis, namun masa membaca agak tidak menentu,” katanya yang menjadikan Usman Awang, Baha Zain dan Latiff Mohidin sebagai idola.
Tiga tahun di KPM, khidmat beliau ditagih pula oleh UKM sebagai tutor selama lima tahun sebelum beralih angin ke Universiti Malaya pada tahun 1988 sehingga bersara pada tahun 2003.
Antara sumbangan besarnya pada dunia pendidikan adalah mempelopori Teori Anjakan Makna serta memperkenalkan teknik
persembahan puisi artistik dalam mendeklamasi puisi.
“Teori Anjakan Makna ini berkisar mengenai kepelbagaian makna. Misalnya, berjalan ia tidak terhad kepada berjalan kaki sahaja. Berjalan juga merujuk kepada perjalanan.
“Persembahan puisi artistik pula, teknik deklamasi sajak secara teratur. Contohnya, pelajar pertama deklamasi tajuk sebelum merdeka, pelajar kedua, perlu deklamasi sajak tajuk kemerdekaan dan kemudiannya selepas merdeka,” jelas Rahman.
Berbicara mengenai minat masyarakat terhadap sastera, lelaki berkaca mata itu berkata, sejak dari dahulu ia tidak pernah kuat disebabkan faktor perkembangan sosial terutama dengan kehadiran internet.

Jelasnya, minat masyarakat terutama golongan anak muda terhadap sastera boleh dipupuk menerusi kaedah pembelajaran yang baik di peringkat sekolah mahupun institusi pengajian tinggi.
“Cetusan minat itu hadir dalam pelbagai aspek. Macam saya, minat sastera sebab lihat nenek berpantun. Waktu itu, ramai juga orang yang dengar tetapi mereka tidak pun jadi pengkarya.
“Mungkin menerusi pendidikan sastera di sekolah, kita mampu melahirkan pengkarya.
“Sekarang ini, sudah banyak badan kerajaan dan korporat mengundang saya mengajar tulis sajak. Ia bagi membentuk pemikiran yang baik dan tajam,” katanya lagi.














