fbpx
HARUN LAT bersama karya-karya lukisannya dalam pelbagai medium termasuk mural yang terpamer di Muzium Istana Kesultanan Melaka.–RASUL AZLI SAMAD

Keringat pelukis bahan sejarah berbalas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARUN LAT. Itulah nama karyawan yang menyumbang keringat menterjemahkan lipatan sejarah ke dalam karya-karya lukisan khususnya garis masa penubuhan negeri Melaka dan Sarawak.

Seni tangannya yang dipamerkan di muzium adalah sebuah mesin masa yang membawa generasi pada hari ini kembali ke zaman Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 dan babak-babak kedatangan James Brooke ke Sarawak pada tahun 1839.

Menurut anak kelahiran Kedah berusia 77 tahun itu, segalanya bermula selepas dia menyertai pasukan tentera pada tahun 1995 di Sarawak. Bakatnya mula diketengahkan dalam majlis-majlis rasmi menerusi tata hias program termasuk lakaran serta seni tulisan.

“Pada tahun 1974, ketika masih dalam tentera, saya telah dimaklumkan bahawa pasukan polis Sarawak memerlukan khidmat seorang pelukis lakaran dengan kemahiran baik untuk menghebahkan mesej berkenaan komunis yang berleluasa pada waktu itu.

“Akhirnya saya diminta untuk membantu pasukan pertahanan itu bagi menyediakan lakaran hutan, wajah suspek dan paling utama menghasilkan komik mengenai komunis bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

“Saya kemudian bersara daripada pasukan tentera pada tahun 1976 dan meneruskan perkhidmatan dengan pasukan polis sebagai pelukis komik komunis,” katanya kepada Panorama.

Harun turut menunjukkan sekeping Surat Kepujian kepada penulis yang isinya menyatakan kebijaksanaan Harun bertugas di Bahagian Saraf, Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis (IPK) Sarawak sejak 1974.


SALAH satu lukisan gambaran suasana semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka berdasarkan imaginasi Harun.

“Hasil daripada karya lukisan anda yang bermutu dan menarik telah berjaya membantu menghapuskan beberapa orang anasir komunis dan dapat memulih mereka kembali ke pangkuan masyarakat,” kata surat itu yang ditandatangani Tan Sri Yuen Yuet Leng yang ketika itu merupakan Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Harun memberitahu, dia meneruskan peranan itu selama 10 tahun sebelum membuat keputusan untuk membuka wisma seni sendiri, Harun Lat Art Centre di Wisma Seberkas di Sarawak pada 1984.

Katanya, dia kemudian kerap mengunjungi Muzium Sarawak dan mendapati tidak ada satu pun sejarah diterjemahkan ke dalam karya lukisan, sebaliknya hanya penceritaan melalui teks semata-mata.

Pada tahun 1975, Harun telah menghasilkan karya sejarah pertamanya bertajuk Rentap di Bukit Sadok diikuti beberapa buah lagi karya termasuk kejadian Rosli Dhobi menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember 1949.

“Saya memang lahir di Kedah tetapi Sarawak yang melahirkan saya sebagai artis (pelukis). Saya asah bakat saya di kuarters syarikat air Sarawak dengan bergurukan seorang anak perantauan Kedah juga, Hamid Ahmad.

“Dia kenakan yuran RM35 sebulan untuk saya pelajari cara menggunakan cat atau media berwarna di atas kanvas kerana sebelum itu saya hanya pandai membuat lakaran hitam putih.

“Saya kemudian berlatih di rumah sehinggalah berjaya menghasilkan karya-karya berwarna untuk tatapan di Muzium Sarawak,” katanya.

BUKAN sahaja gambaran suasana kesultanan, Harun juga melukis gambaran hukum kanun Melaka.

Kemudian, sekitar tahun 1981, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang ketika itu merupakan Ketua Menteri Melaka telah datang ke Muzium Sarawak dan terpikat dengan hasil seninya. Pada tahun 1989, beliau memintanya datang ke Melaka bagi membincangkan projek menghasilkan 10 buah karya berkisarkan sejarah Kesultanan Melayu Melaka.

Sehingga kini, Harun masih menyimpan surat tawaran lukisan tersebut dan antara butiran bertarikh 1 September 1989 itu adalah persetujuan pembayaran setiap lukisan dengan harga RM2,500 dan syarat-syarat yang mesti dipenuhi termasuklah karya itu perlu dibuat serta disiapkan di Melaka.

Pada 1990, Harun membawa isteri dan lima anaknya berpindah ke Melaka bagi menyiapkan karya tersebut dengan dibantu bekas Pengarah Muzium Melaka ketika itu Abdul Jalil Othman.

“Setiausaha Lembaga Muzium Melaka ketika itu, Datuk Khamis Abas juga telah menyediakan teks sejarah dan semua karya tersebut berjaya disiapkan dalam tempoh 10 minggu menggunakan daya imaginasi saya berdasarkan hikayat berkenaan.

“Dia (Khamis) selesai baca teks, saya terus dapat bayangan lakaran, saya nampak suasana perkampungan dahulu kala dan pakaian masyarakat ketika itu,” katanya.

Jelasnya, proses menyiapkan lukisan berwarna itu bagaimanapun bukanlah mudah, malah dua hasil imaginasinya turut ditolak dan perlu digantikan dengan gambaran dekat melibatkan sebuah pertempuran di Istana Melaka.

HARUN menunjukkan surat-surat lama antaranya surat tawaran menghasilkan lukisan untuk muzium Melaka.

Selain sejarah kepahlawanan Kesultanan Melayu Melaka, beliau turut melakarkan siri hukum kanun Melaka. Antaranya hukuman kepada pesalah yang hendak mencuri akan diconteng mukanya dengan kapur, arang dan kunyit lalu dinaikkan di atas kerbau dan dibawa mengelilingi kampung. Mereka yang telah mencuri pula akan dipotong tangannya.

Sementara itu, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Dr. Mohd Nasruddin Rahman berkata, sehingga kini terdapat lebih 70 karya Harun dipamerkan di dua buah muzium di negeri ini.

“Harun juga telah menghasilkan karya mengenai Hang Jebat, Hang Tuah dan Tun Kudu bagi bahagian pameran diorama.

“Setakat ini, kita telah mempamerkan sebanyak 70 buah lukisan yang dilukis sepenuhnya oleh beliau yang dipamerkan di Muzium Istana dan di Alor Gajah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN