AMPANG – Jiran kepada pengamal perubatan tradisional yang diberkas kerana menyebabkan kematian seorang wanita di Pandan Perdana di sini pada Rabu lalu tidak tahu suspek merupakan bomoh.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Chung, 48, berkata, dia hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas melihat sepasukan polis datang ke rumah suspek dan memberkasnya pada malam Rabu.
“Sejak berjiran dengannya, saya tidak tahu dia seorang bomoh, malah dengan siapa dia tinggal pun tidak tahu. Kebanyakan penduduk di sini melakukan hal sendiri.
“Selepas dia ditahan, saya ada bertanya perkara itu kepada jiran-jiran, namun mereka juga tidak mengenali wanita tersebut (suspek).
“Tiada papan tanda yang menunjukkan dia menawarkan perubatan tradisional sepertimana yang dibuat tabib atau bomoh lain selain tiada ramai orang yang datang membuat rawatan di rumahnya,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Chung yang tinggal di kawasan itu sejak dua tahun lalu memberitahu, suspek disyaki tinggal di kawasan perumahan itu ketika Covid-19 melanda negara ini.
“Saya dimaklumkan dia tinggal di tempat lain sebelum ini dan hanya sesekali datang ke rumah tersebut, namun tidak pasti betul atau tidak,” ujarnya.
Seorang lagi jiran dikenali sebagai Meng, 50, berkata, dia juga tidak mengenali wanita itu kerana rata-rata penduduk di sini tidak bercampur dan melakukan hal masing-masing.
Tinjauan Kosmo! di rumah teres dua tingkat yang didiami suspek mendapati tiada sebarang papan tanda digantung yang menunjukkan dia menawarkan rawatan tradisional.
Kosmo! semalam melaporkan seorang wanita maut ketika mendapatkan rawatan dengan suspek yang berusia 52 tahun. Mangsa berusia 41 tahun dipercayai mengalami histeria sejak lapan tahun lalu dan pernah mendapatkan rawatan psikiatri di hospital.
Ketika proses rawatan itu, suspek dikatakan duduk di atas tubuh mangsa sambil memukul badan. Mangsa dipercayai datang ke rumah suspek bersama ibunya untuk mendapatkan rawatan sejak seminggu lalu.
Mangsa ditemui terbaring dan tidak sedarkan diri di ruang tamu sebelum disahkan mati oleh pegawai perubatan.














