MULA dibuka pada tahun lalu, Muzium Kota Larangan Peninggalan Budaya (Forbidden City Cultural Relics Museum) yang terletak di bandar Chongqing, China dibina sebagai tanda memperingati peristiwa peperangan antara China dan Jepun serta Perang Dunia Kedua.
Di muzium tersebut, tersimpan 3,694 kota peninggalan budaya yang dipindahkan dari Muzium Istana Bejing ke Chongqing untuk disimpan.
Pun begitu, muzium yang berkeluasan lebih 2,787 meter persegi itu terpaksa ditutup berikutan bahagian bumbungnya runtuh disebabkan bencana gelombang haba melampau yang melanda China pada masa ini.
Dalam satu kenyataan, pihak muzium menyatakan, gelombang haba telah menyebabkan jubin tergelincir dari bumbung dan mengakibatkan satu daripada lapan bangunan di tapak warisan itu runtuh.
“Kami sudah mula membaiki struktur dan memeriksa tapak.
“Kami juga ingin mengingatkan semua orang supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap gelombang haba. Elakkan pendedahan berlebihan di bawah terik matahari,” kata jurucakap muzium.
Begitulah antara gambaran dahsyat cuaca panas melampau yang kini melanda China.
Baru-baru ini dilaporkan, puluhan bandar di China berada dalam cuaca panas melampau sehingga menyebabkan bumbung bangunan dan jalan raya mencair menggelembung, memaksa penduduknya berteduh di tempat perlindungan bawah tanah.

Sebanyak 68 bandar termasuk Chongqing dan Shanghai, mengeluarkan amaran merah, tertinggi dalam sistem amaran gelombang haba tiga peringkat dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius.
Shanghai jarang berdepan cuaca panas. Sejak penyimpanan rekod suhu bermula tahun 1873, kawasan itu hanya mempunyai 15 hari dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius.
Ketika rakyat China kembali bergelut dengan pandemik Covid-19, kini China terpaksa berhadapan dengan fenomena gelombang haba.
Seorang petugas kesihatan, Wang Min dari Hangzhou yang mengendalikan ujian saringan penyakit itu berkata:
“Memakai pakaian pelindung seluruh badan, saya berasa sangat terseksa dalam cuaca yang begitu panas. Mujur ada penduduk yang baik menyediakan kami ketulan ais untuk dipegang atau diletakkan pada tubuh kami.”
Menurut satu kajian yang diterbitkan pada 2020 di negara itu, mereka yang berumur 65 tahun ke atas menghadapi risiko 10.4 peratus lebih tinggi untuk mati semasa gelombang haba. Akibatnya, beberapa bandar di China memberi amaran tentang bahaya suhu tinggi terutamanya kepada warga emas.
Pusat Iklim Kebangsaan menganggarkan, lebih 900 juta daripada 1.4 billion penduduk China terjejas dengan gelombang haba tersebut.
Ia telah membawa suhu lebih daripada 40 darjah Celsius ke sebahagian besar negara, dengan rekod tertinggi dicatatkan di beberapa bandar yang mempunyai ramai penduduk seperti Chongqing dan Shanghai.
Malah pihak berkuasa negara itu telah mengeluarkan amaran kecemasan apabila beberapa wilayah dan berpuluh bandar mengalami kenaikan suhu yang tinggi.
Bandar di selatan wilayah Jiangxi pula sebahagian jalannya melengkung sekurang-kurangnya 15 sentimeter akibat panas.

Di taman hidupan liar di Shanghai, lapan tan ais digunakan sehari oleh kakitangannya bagi memastikan haiwan di situ kekal sejuk.
Seorang penduduk, Zhu Daren berkata, gelombang haba tiba lebih awal pada tahun ini.
“Walaupun baru bulan Julai, saya dapat merasai cuaca panas sudah berada di tahap yang tinggi.
“Kami perlu menghidupkan pendingin hawa apabila pulang ke rumah dan memakai krim pelindung matahari apabila keluar,” katanya.
Seorang penduduk, Wang Ying, 35, pula memberitahu, cuaca begitu panas terik sehingga dia tidak sanggup keluar walaupun ke balkoni rumah.
Agensi Meteorologi Kebangsaan China berkata, amaran itu dikeluarkan apabila peningkatan suhu dijangka berlaku lagi.
Malah cuaca ekstrem yang melanda negara itu juga telah meragut satu nyawa dan menyebabkan 24 yang lain dimasukkan di hospital.
“Kita bukan hanya berhadapan dengan gelombang haba, malah cuaca ekstrem yang berlaku di China turut menyebabkan banjir di beberapa kawasan.
“Peristiwa gelombang haba dan iklim ekstrem di negara ini semakin kerap, parah dan meluas,” jelas agensi tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Iklim Negara, Xiao Chan berkata, gelombang haba dan fenomena La Nina telah menyumbang kepada peningkatan suhu yang tidak normal dan hujan yang melampau di negara itu.
“Apabila atmosfera Bumi menjadi lebih panas, ia mengekalkan lebih banyak wap air yang mengakibatkan hujan lebat.
“Sementara itu, La Nina merujuk kepada penyejukan suhu permukaan secara besar-besaran di tengah dan timur Lautan Pasifik yang menyebabkan banjir besar di selatan China,” katanya.
Selaras dengan kenyataan Xiao, seorang penyelidik di Institut Fizik Atmosfera Akademi Sains China, Wang Gengchen turut menyebut bahawa perubahan iklim sebagai salah satu punca di sebalik cuaca ekstrem tersebut,
Menurutnya, kejadian gelombang haba di utara China dan banjir besar di selatan China, malah berlaku satu hingga dua bulan lebih awal daripada biasa.
Sementara itu, gelombang haba yang melanda seluruh China juga mendorong pelancong untuk mencari destinasi yang lebih sejuk pada musim panas ini.
Menurut laporan Tongcheng Travel, trafik carian dalam talian untuk kata kunci heat escape meningkat sebanyak 127 peratus minggu ke minggu.
Seorang wanita bernama Wu dari bandar selatan Guangzhou berkata, dia telah menghabiskan masa hampir seminggu di kawasan pergunungan wilayah barat daya Guizhou, yang terkenal dengan air terjunnya.
“Ramai orang memilih Guizhou sebagai destinasi perjalanan musim panas mereka tahun ini.
“Ini kerana, tempat lain sangat panas ketika ini dan situasi Covid-19 di Guizhou tidak begitu teruk sekarang,” katanya.

Bukan sahaja China yang bergelut dengan cuaca panas ekstrem, negara-negara Eropah dan juga Amerika Syarikat (AS) juga dilanda gelombang haba tersebut.
Di AS, kawasan barat daya dan tengah negara itu mengalami suhu yang melampau sehingga 42.2 darjah Celsius di bandar Waco, Texas.
Selain itu, kawasan di Colorado, Oklahoma dan Arkansas juga mencatatkan suhu yang tinggi.
Sementara itu, di Eropah, Sepanyol pada masa kini dilanda gelombang haba kedua pada musim panas.
Suhu di beberapa bahagian selatan dan barat daya negara itu dijangka mencapai atau melebihi 44 darjah Celsius.
Jurucakap pejabat meteorologi negeri Aemet, Ruben del Campo berkata, gelombang haba yang bermula pada Sabtu lalu memuncak antara Selasa dan Khamis, tetapi boleh berlanjutan sehingga hujung minggu akan datang.
“Ini akan menjadi gelombang haba kuat, suhu pada hari-hari paling panas boleh mencapai atau melebihi 44 darjah Celsius, terutamanya di lembah Guardiana dan Guadalquivir dan bandar-bandar seperti Cordoba atau Badajoz,” katanya.














