PADANG BESAR – Tindakan Thailand membenarkan penanaman dan penggunaan ganja akan mewujudkan golongan pelancong menghisap kanabis secara suka-suka dengan tujuan untuk merasai khayal dengan bebas tanpa ditangkap pihak berkuasa.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, situasi itu akan mendorong pelancong terutamanya bagpackers Malaysia yang bukan penagih untuk menghisap ganja ketika bergaul atau social smoker.
Katanya, golongan ini bukannya penagih dadah tegar seperti merokok tetapi mengambilnya melalui produk-produk ganja yang juga memberikan kesan khayal.
“Terdapat kemungkinan pelancong tidak mengetahui bahawa produk makanan yang mereka ambil itu mengandungi ganja.
“Pelancong dinasihatkan supaya melakukan ujian saringan air kencing menggunakan ‘test strip’ sebelum pulang ke Malaysia,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Surina, jika didapati positif, mereka boleh ditahan, disiasat dan didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Perlu ingat bahawa kandungan Delta-9-tetrahydrocannabinol atau THC iaitu kandungan dadah dalam ganja boleh berada dalam badan kita lebih seminggu atau sebulan,” ujarnya.
Beliau berkata, jika ada yang sengaja mengambil dadah ganja atau apa-apa produk ganja yang menyebabkan khayal, mereka akan didapati bersalah di bawah akta yang sama.
“Membawa masuk produk berasaskan ganja juga salah dan akan dituduh memiliki dadah atau mengedar dadah jika dalam kuantiti yang besar,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kata Surina, harga dadah ganja di Thailand pada masa ini adalah sekitar RM400 hingga RM500 sekilogram ekoran berbanding Malaysia iaitu antara RM2,200 hingga RM2,500 sekilogram.














