TANGAN kanan Qawiatul Atiqah Jaffri memegang sebuah litter box atau kotak pembuangan najis kucing, manakala tangan kirinya pula digunakan untuk membuang pasir-pasir kucing yang melekat pada bekas tersebut.
Selepas dibersihkan, wanita berusia 31 tahun itu yang lebih mesra disapa sebagai Atiqah mencuci kotak najis kucing itu dengan menggunakan sabun sebelum ia dikeringkan.
Usai betul-betul kering, dia kemudian meletakkan pasir bersih dan baharu ke dalam bekas tersebut, sebelum memasukkannya semula ke dalam sebuah sangkar kucing milik tiga ekor kucing comel pelanggannya.
“Macam inilah rutin harian saya sejak beberapa tahun lalu iaitu membersihkan sangkar dan bekas pembuangan najis kucing,” katanya kepada K2.
Kedengaran agak menghairan, tetapi begitulah tugasan Atiqah dan suaminya yang merupakan dua orang usahawan perniagaan berbentuk perkhidmatan berkaitan kucing.
Menerusi perniagaan Amani Cats World, pasangan suami isteri itu membersihkan sangkar kucing termasuk bekas najis selain memberikan khidmat dandanan, hotel kucing, penghantaran kucing dari mana-mana negeri di
Semenanjung dan juga khidmat menemani si manja untuk sebarang urusan di klinik veterinar.
Menurut Atiqah, dia sudah menawarkan khidmat tersebut sejak tahun 2018, namun pada mulanya dilakukan secara sambilan memandangkan ketika itu dia mempunyai kerja tetap.

Bagaimanapun, selepas suaminya, Ahmad Faizal Azman, 36, mulai kerap jatuh sakit secara tiba-tiba, wanita itu mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memilih kerjaya yang membolehkannya mengurus waktu sendiri.
“Suami menghidap sakit sendi tulang belakang dan baru-baru ini, dia kerap jatuh sakit secara tiba-tiba dan ia membuatkan saya menjadi bimbang.
“Jadi, kami berdua pun memutuskan untuk melakukan khidmat dandanan kucing yang sudah dimulakan sejak 2018 itu sebagai kerjaya sepenuh masa,” ujarnya yang turut dibantu dua staf.
Menariknya, khidmat membersihkan najis kucing yang mula ditawarkan sejak pandemik Covid-19 itu boleh dikatakan suatu yang jarang diusahakan pihak lain.
Cinta dan minat mendalam terhadap haiwan itu menjadikan Atiqah sanggup datang ke rumah pelanggannya sehingga ke lewat malam bagi memberikan servis berkaitan kucing.
Malah, baru-baru ini juga, Atiqah selesai tugas mendandan kucing di rumah seorang pelanggan sehingga pukul 2 pagi.
“Waktu operasi sebenar adalah dari 11 pagi sehingga 8 malam. Pada asalnya, kami diminta mendandan dan membersihkan najis lapan ekor kucing sahaja, namun jumlah kucing kemudian bertambah menjadi 15 ekor menyebabkan saya terpaksa bekerja sehingga pukul 2 pagi.
“Namun, saya tidak kisah dan tidak mengeluh memandangkan saya cukup sayangkan kucing dan sudah terbiasa melakukan kerja-kerja itu,” katanya.

Hari Atiqah biasanya panjang dengan dia akan mengunjungi sekurang-kurangnya tiga buah rumah sehari bagi urusan pembersihan najis.
Malah, dia dan suami yang obses dengan kucing tidak langsung menganggap pekerjaan itu sebagai sesuatu yang melelahkan memandangkan mereka berasa puas dapat memberikan perkhidmatan berkaitan haiwan comel itu.
“Biasalah, adakalanya tugas pembersihan bekas najis kucing mudah memandangkan pemilik kucing menggunakan pasir kucing yang menjadikan bekas itu bersih.
“Namun, adakalanya ia jadi mencabar apabila pemilik tidak menggunakan pasir untuk kucing, menyebabkan najis melekat pada ‘litter box’. Pun begitu, saya tidak kisah dan tetap memberikan perkhidmatan seperti biasa,” ujarnya berterus terang.
Atiqah yang menetap di Gombak, Selangor membuat perkhidmatan tersebut dari rumah ke rumah pada harga antara RM30 sehingga RM450 mengikut servis. Atiqah lazimnya akan mengenakan caj petrol mengikut kawasan, manakala caj pembersihan najis kucing pula ditetapkan pada kadar RM50 bagi tiga ‘litter box’.
“Sekiranya pelanggan mahu menambah jumlah bekas najis kucing, caj dikenakan adalah RM10 bagi setiap satu. Jika kerja-kerja pembersihan itu agak sukar seperti terlalu kotor atau sebagainya, caj yang dikenakan masih sama, tiada caj tambahan,” ujarnya.

Sehingga kini, tempahan paling jauh yang pernah diterimanya adalah dari Banting, Selangor.
Biarpun bukan bekerja dalam bidang yang glamor, Atiqah bersyukur rezekinya melimpah ruah dan apa yang lebih penting dia mempunyai kebebasan mengurus waktu sendiri.
“Apabila berniaga sendiri, saya tidak terikat dengan apa-apa peraturan dan boleh berada bersama suami sekiranya dia memerlukan apa-apa,” katanya.
Selain itu, pekerjaan tersebut turut memberikannya pendapatan yang lumayan memandangkan kerap menerima pelbagai tempahan daripada pelanggannya.
Atiqah bahkan sudah melebarkan sayap dengan membuka sebuah lagi cawangan yang menyediakan khidmat sama di Shah Alam yang kini diuruskan oleh adiknya.
Bagi seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Adam, dia amat menyukai servis ditawarkan pasangan itu dan menganggap ia amat memudahkan individu sibuk sepertinya.
“Saya dan isteri masing-masing sibuk bekerja dan adakalanya tiada masa untuk membersihkan sangkar kucing.
“Perkhidmatan bersifat dari rumah ke rumah ini amat memudahkan golongan seperti saya kerana saya tidak perlu ke mana-mana, cuma perlu menunggu mereka datang ke rumah untuk kerja-kerja pengurusan kucing,” kongsinya.















