RASA prihatin terhadap masyarakat Islam mendorong para pendidik yang bernaung di bawah Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menabur bakti di bumi Kemboja baru-baru ini.
Presiden iGuru, Mohd. Azizee Hasan berkata, bakti berkenaan merupakan simbolik solidariti dan kemanusiaan umat Islam Malaysia untuk membantu saudara seagama di Kemboja.
Menurutnya, iGuru telah mengadakan ziarah ke Kemboja sempena Hari Raya Aidiladha bagi melaksanakan ibadah korban dan mengadakan projek pembangunan pendidikan di sana.
“Kemiskinan dan kesempitan hidup umat Islam di Kemboja mendorong kita ke sana. Program Ziarah Mahabbah iGuru ini melibatkan kerjasama antara iGuru dan Yayasan Abrar Kemboja untuk membantu projek dana pendidikan di Sekolah Islam Senjunrem di Wilayah Tbong Khmum.
“Kerjasama strategik ini tidak terhenti kepada pengumpulan dana sahaja tetapi juga perkongsian ilmu dan kemahiran dalam bidang pedagogi dan latihan keguruan,” katanya kepada K2.
Ujar Mohd. Azizee lagi, sempena ziarah berkenaan juga, satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani antara pihak iGuru dan Yayasan Abrar Kemboja untuk tujuan pendanaan pendidikan dan latihan guru-guru di sana.
Menurutnya, rata-rata murid yang belajar di lokasi berkenaan adalah daripada keluarga miskin dan memerlukan sokongan pendidikan agar mereka tidak terus ketinggalan serta tercicir.
Ujar Mohd. Azizee, setakat ini jumlah murid di sekolah berkenaan khusus buat peringkat sekolah rendah adalah seramai 150 orang.
“Rata-ratanya, keluarga mereka bergantung kepada hasil pertanian dan perikanan. Atas sebab kemiskinan itu, ramai yang berhenti sekolah dan menumpukan kepada pencarian rezeki,” katanya.
Oleh itu, tambahnya, masyarakat di sana memerlukan sokongan kewangan bagi memberi peluang belajar serta penyediaan kos gaji guru yang mengajar.

“Pihak iGuru akan berusaha untuk menampung sebahagian gaji guru, memberikan latihan perguruan serta mengumpul dana untuk meningkatkan fasiliti di sekolah berkenaan.
“Justeru, majlis pecah tanah projek pembangunan pendidikan di Sekolah Islam Semjunrem telah disempurnakan oleh wakil rakyat Wilayah Tbong Khmum, Ustaz Yusof Mahmod.
“Pihak iGuru telah menyumbang dana RM20,000 untuk fasa awal projek pembangunan pendidikan di sekolah tersebut melibatkan kos binaaan infrastruktur dan kos operasi sekolah,” katanya.
Selain itu, menurut Mohd Azizee, sasaran atau matlamat sekolah berkenaan adalah agar muridnya dapat menguasai al-Quran dengan baik, penekanan ibadah yang betul di samping mampu membaca serta menulis bahasa kebangsaan mereka.
“Pada masa sama, murid-murid ini juga boleh menguasai bahasa Inggeris. Ini memberikan mereka peluang meneruskan pendidikan ke sekolah milik kerajaan,” ujarnya.
Terangnya, dana yang disumbangkan oleh iGuru adalah sumbangan serta amanah rakyat Malaysia untuk membantu umat Islam Kemboja. Pengurusan dana tersebut akan disalurkan kepada Yayasan Abrar Kemboja sebagai pemegang amanah bagi projek pembangunan pendidikan di sana.
Dalam pada itu, Mohd Azizee berkata, selain menandatangani MOU, ziarah mahabbah iGuru ini turut melaksanakan ibadah korban di Kemboja.

“Sembelihan sebanyak 55 ekor lembu korban dan tiga ekor lembu akikah telah dilaksanakan pada hari raya pertama.
“Daging-daging korban diagihkan kepada lebih 53 buah kampung umat Islam melalui Yayasan Abrar Kemboja untuk manfaat asnaf di sana,” katanya.
Tambahnya, pengagihan berkenaan juga mengambil masa yang agak lama berikutan wakil-wakil kampung terpaksa mengambil masa 10 hingga 12 jam perjalanan ke Kampung Senjunrem bagi menyantuni golongan asnaf di perkampungan di sana.
“Projek korban iGuru ke kemboja ini telah memasuki tahun keenam dan akan diteruskan lagi bagi membantu saudara sesama Islam kita,” katanya.
















