ALOR SETAR – Sindiket kini semakin rakus menyeleweng minyak petrol dan diesel semata-mata untuk mengaut keuntungan ketika kerajaan terus berusaha mengawal dan memberi subsidi bahan api itu bagi meringankan beban rakyat.
Tidak hanya menyeleweng, malah pengkhianat negara ini turut bersekongkol dengan stesen-stesen minyak bagi menyeludup bahan api itu ke negara jiran menggunakan pelbagai taktik.
Antara modus operandi sindiket ini adalah menggunakan lori tangki berkapasiti besar bagi memuatkan lebih banyak bahan api dari stesen minyak.
Selain itu, lori bersaiz satu atau tiga tan berkanvas turut digunakan dengan dilengkapi tangki simpanan yang telah diubah suai sehingga 3,000 liter.
Semua modus operandi itu didedahkan Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam yang mengakui sindiket berkenaan semakin licik bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Katanya, siasatan turut mendapati sindiket ini akan menggunakan saluran paip bawah tanah yang disambung terus ke kawasan stesen minyak dari lokasi lain berhampiran untuk memudahkan pemindahan minyak ke kenderaan dilakukan.
“Dalam kes yang kita bongkar pada awal tahun ini, sebanyak 64,000 liter diesel telah dirampas,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, sindiket juga dikesan membuat pembelian bahan api bersubsidi di stesen-stesen minyak berhampiran pada jarak radius 10 kilometer.
“Modus operandi lain ialah dengan mengisi tong-tong dengan petrol dan diesel sebelum memuatkannya ke dalam kereta atau van. Ahli sindiket akan berulang-alik dari stesen minyak ke stor haram untuk pemindahan bahan api tersebut,” ujarnya.
Difahamkan, minyak berkenaan diseleweng bertujuan untuk diseludup ke negara jiran atau dijual kepada pihak industri dalam negara.
Jelasnya, kes rampasan terbaharu yang dilakukan pihaknya berlaku di Klang, Selangor melibatkan sebuah lori mengangkut batu bata dan pasir.
“Lori tersebut telah diubah suai dengan mempunyai tangki simpanan berkapasiti anggaran 10,000 liter yang mana tangki ditimbus dengan timbunan pasir dan batu bata.
“Semasa tangkapan dilakukan, terdapat sejumlah 5,000 liter diesel ditemui,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, stor-stor haram dikendalikan sindiket pula biasanya terletak di kawasan terpencil seperti kebun kelapa sawit dengan ditutupi pagar zink yang tinggi.
“Terdapat juga stor-stor yang lokasinya berada di sekitar kawasan kampung.
“Stor-stor haram yang dibina berhampiran sempadan negara pula adalah bagi memudahkan aktiviti penyelewengan atau penyeludupan dilakukan dengan lebih pantas bagi mengelak tindakan pihak berkuasa,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, kegiatan penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi itu semakin rancak selepas kerajaan mengumumkan negara memasuki fasa peralihan ke endemik dan pembukaan semula pintu sempadan negara bermula 1 April lalu.
“Kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM30 bilion setahun bagi mengekalkan harga petrol RON95 pada paras RM 2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter di mana harga runcit paling rendah berbanding harga runcit bahan api terbabit di negara luar.
“Ia terutama dengan negara bersempadan seperti Indonesia (RM4.98 seliter), Thailand (RM5.99 seliter) dan Singapura (RM9.29 seliter) bagi petrol.
“Hal ini menyebabkan kegiatan penyelewengan petrol RON95 dan minyak diesel bersubsidi kembali aktif kerana kegiatan haram ini boleh mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda kepada penjenayah yang melakukan penyelewengan ini,” jelasnya.














