Biasa kita mendengar terjamahan sebuah hadis Nabi s.a.w riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
“Ketahuilah dalam jasad ada seketul daging, apabila baik maka baiklah jasad, apabila rosak maka rosaklah jasad. Ketahuilah ia adalah hati!”
Adakah yang dimaksudkan dalam hadis itu jantung, bukannya hati?
Jawapan:
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim itu, Nabi s.a.w tidak pernah menyebut ‘hati’, sebaliknya menyebut al-qalb iaitu jantung.
Adapun hati dalam bahasa Arab disebut kabid. Namun, dalam bahasa Melayu jantung selalu diterjemah sebagai hati. Sedangkan bahasa Inggeris menterjemah dengan betul iaitu heart yang bermaksud jantung.
Orang Melayu menterjemahkan you are in my heart sebagai ‘awak dalam hatiku’, padahal hati dalam bahasa Inggeris liver. Namun heart attack tetap diterjemah sebagai serangan jantung, tidak pula serangan hati.
Mungkin kerana ia berkaitan sakit, jika salah terjemah buruk padahnya. Jangan sampai doktor yang sepatutnya membedah jantung, membedah hati. Orang boleh derma bahagian hati dan terus hidup, namun tidak mungkin boleh derma jantung dan terus hidup.
Al-Quran dan Sunnah menggunakan perkataan qalb (jantung) atau qulub (jantung-jantung) sebagai kata jamak atau plural untuk qalb. Sejak dahulu perkataan qalb difahami oleh orang Arab sebagai organ yang tergantung dalam tubuh manusia.
Dalam kamus rujukan bahasa Arab yang terpenting, iaitu Lisan al-‘Arab, pengarang Ibn Manzur (meninggal 711H) menyatakan: Al-Qalb: segumpal daging dari fuad (jantung) yang tergantung dengan urat besar tempat ia bergantung,” (Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab 1/687, Beirut: Dar al-Fikr).
Disebabkan perkembangan ilmu perubatan, maka dalam kamus Arab moden takrifan lebih terperinci. Dalam al-Mu’jam al-Wasit disebut: “Al-Qalb ialah organ berotot dalaman yang menerima darah daripada salur darah dan mengepam ke arteri,” (al-Mu’jam al-Wasit, 2/753). Ini sama dengan maksud jantung dalam Kamus Dewan Bahasa: “Organ berotot mengepam darah ke seluruh badan,” (Kamus Dewan Bahasa Edisi Ke-3, 519).
Jelas, qalb atau kata jamaknya qulub yang digunakan oleh orang Arab, demikian digunakan oleh al-Quran dan Hadis tidak merujuk kepada hati, tetapi merujuk kepada jantung.
Ketidakjelasan dalam memberikan maksud qalbu atau heart menyebabkan Kamus Dewan Bahasa memberikan maksud perkataan hati yang pelbagai.
Disebut dalam Kamus Dewan: “Hati: 1. Organ dalam badan berwarna perang kemerah-merahan di dalam perut di bahagian sebelah kanan. 2. Jantung. 3. batin (tempat perasaan, pengertian),” (ibid, 445).
Sementara itu, dalam satu artikel diterbitkan oleh Jurnal Bahasa DBP (Jilid 5, Bilangan 4, 2005) Imran Ho Abdullah dan Norsimah Mat Awal cuba memberikan maksud hati secara konsep dan metafora dalam bahasa Melayu. Artikel mereka itu berjudul Pengkonsepsian dan Pemetaforaan Hati.
Namun saya melihat, justifikasi bahasa di sudut konsep dan metafora yang cuba diberikan dan juga kepelbagaian maksud hati sehingga diterjemahkan salah satunya sebagai jantung, tetap mengelirukan bagi memahami maksud asal qalb dalam al-Quran dan Hadis.
Bahkan penyataan hati bermaksud jantung dalam bahasa Melayu boleh mengelirukan kerana kedua-duanya organ berbeza. Apatah lagi, kajian saintifik moden membezakan peranan kedua-dua organ itu.
Jika boleh diterima, salah satu pengertian hati disebutkan oleh Kamus Dewan sebagai batin atau tempat perasaan. Ini hampir ada persamaan dengan maksud akal (al-‘Aql) yang sebut juga sebagai salah satu maksud qalb dalam Lisan al-‘Arab (m.s 687).
Maka perkataan qulub atau qalb dalam nas-nas Islam lebih tepat diterjemahkan sebagai jantung, atau jika hendak digunakan juga perkataan hati mungkin boleh disebut ‘jantung hati’.
Sebahagian penulis suka menggunakan perkataan kalbu seperti ungkapan dalam ‘dalam kalbuku ini’.
Perkataan kalbu dianggap sebagai ungkapan qalb dalam yang dimelayukan. Ya, mungkin boleh, tetapi bagi yang mengetahui bahasa Arab agak keberatan sebab kalb iaitu dengan huruf ‘kaf’ (kalb atau kalbun) dalam Bahasa Arab bermaksud anjing. Jika huruf ‘qaf (qalb atau qalbun) barulah bermaksud jantung.














