MANCHESTER – Proses pembinaan semula Manchester United kini bermula selepas mereka mengesahkan berjaya mendapatkan pemain baharu pertama, Tyrell Malacia pada jendela perpindahan kali ini.
Pemain pertahanan kiri yang tiba dari Feyenoord itu menjadi pemain pertama dibeli United di bawah kendalian Erik Ten Hag dengan nilai perpindahan berjumlah £14.6 juta (RM77.30 juta).
Kehadiran Malacia bukan sahaja melegakan peminat United, sebaliknya bekas penggempur sensasi United, Robin Van Persie turut mengucapkan tahniah kepada pemain berkenaan.
“Hi Tyrell, saya mahu mengucapkan tahniah kerana telah melengkapkan perpindahan ke Manchester United. Ini adalah detik yang besar dalam kerjaya anda.
“Anda telah membuktikan bahawa anda memiliki keyakinan, bakat dan kerja keras setiap hari. Saya melihatnya sendiri secara dekat dan ia adalah mimpi yang menjadi nyata.
“Kepada peminat United, anda bukan sahaja berjaya mendapatkan pemain pertahanan yang dilimpahi bakat, tetapi dia adalah seorang individu yang sangat fantastik.
“Tolong layaninya dengan baik, berikan dia sokongan ketika saat yang baik ataupun sukar. Dia akan memberikan segalanya untuk anda,” kata Van Persie.
Pemain berusia 22 tahun itu menghabiskan masa selama dua hari untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum melengkapkan perpindahan dengan kontrak selama empat tahun.
“Manchester United dengan bangga mengesahkan bahawa Tyrell Malacia menyertai kelab ini selepas menandatangani kontrak sehingga Jun 2026 dengan pilihan lanjutan kontrak selama setahun lagi,” kata kenyataan dari United. – AGENSI














