PONTIAN – Polis menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak enjin terpakai selepas menahan lima individu termasuk tiga warganegara asing dalam serbuan yang dijalankan di sebuah kilang di Kampung Jeram Batu, Pekan Nanas di sini kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Johor, Senior Asisten Komisioner Jalaludin Hamid berkata, serbuan yang dijalankan pada pukul 5.30 petang itu turut menyaksikan pihaknya merampas sejumlah 128,000 liter minyak enjin terpakai bernilai RM230,400.
Menurut beliau, kesemua yang ditahan berusia antara 26 hingga 49 tahun, termasuk pemilik kilang yang merupakan orang tempatan berusia 48 tahun.
“Modus operandi digunakan sindiket ini adalah membeli minyak enjin terpakai pada harga 30 sen seliter daripada kilang-kilang kecil dan bengkel sebelum ianya diproses dan dijual semula pada harga RM1.80 seliter.
“Minyak enjin terpakai yang diproses secara haram ini tidak sesuai digunakan untuk enjin kenderaan sebaliknya boleh digunakan oleh mesin dan jentera di kilang.
“Sindiket ini dipercayai menjual minyak terpakai berkenaan kepada pihak industri bagi pasaran sekitar Johor dan juga di Kuala Lumpur serta Pelabuhan Klang. Mereka juga dipercayai telah beroperasi selama lebih dari enam bulan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di premis berkenaan, di sini hari ini.
Tambah beliau, dalam serbuan itu juga, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan dan jentera digunakan sindiket berkenaan termasuklah 12 lori tangki; 134 tong IBC; 420 tong drum; 11 pam penyedut minyak; 67 tong asid sulfurik dan lain-lain dengan nilai keseluruhan RM7.3 juta.
“Kilang ini berdaftar namun ianya tidak mendapat kelulusan atau lesen sah untuk memproses barangan berjadual seperti minyak enjin terpakai, itu salah di sisi undang-undang.
“Sementara itu, dua warganegara tempatan yang ditahan telah dibebaskan dengan jamin manakala tiga warganegara asing terdiri daripada dua warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia ditahan reman selama 14 hari bermula tarikh tangkapan.
“Siasatan dibuat mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau atau tersenarai dalam orang dikehendaki polis,” ujarnya.
Menurut Jalaludin lagi, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 34(B)(1)(A) dan Seksyen 19(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
“Pihak polis akan terus menjalankan operasi dan penguatkuasaan bagi memastikan kegiatan penyelewengan dan ketirisan minyak pelbagai jenis dapat dikekang daripada terus berleluasa, sehubungan itu orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE