fbpx
Gambar hiasan.

Kelegaan asma dengan inhaler biru adalah palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA telah melalui satu fasa yang menyukarkan semasa berumur dua hingga empat tahun kerana perlu tinggal di hospital ekoran masalah asma.

“Ibu saya menceritakan, ketika kecil saya akan selalu mendapat serangan asma sewaktu menangis,” kongsi selebriti, Dina Nadzir.

Namun, katanya, masalah asma yang dihadapi itu hilang untuk satu tempoh sebelum kembali menyerang Dina apabila usianya menjangkau 30 tahun.

Apabila diserang dengan masalah asma, kongsi Dina, dia berasa seperti dihempap oleh sesuatu yang sangat berat pada bahagian dada sehingga menyukarkannya bernafas.

“Saya juga pernah diserang dengan asma yang teruk sehingga terlupa apa yang harus dilakukan.

“Akhirnya saya terpaksa pergi ke klinik berdekatan dengan rumah saya untuk menggunakan nebuliser dan mendapatkan rawatan,” ceritanya.

ASMA berlaku apabila terjadi radang pada saluran pernafasan yang menyebabkan saluran itu menjadi sempit (kanan) dan mengurangkan oksigen ke dalam paru-paru.

Dina adalah salah seorang penghidap asma di negara ini yang turut dideritai ramai orang. Lebih menakutkan, baru-baru ini, akhbar melaporkan, kira-kira dua juta rakyat negara ini menghidap penyakit asma dengan 90 peratus daripada mereka diklasifikasikan sebagai kes tidak terkawal dan berisiko tinggi untuk mengalami tahap kesihatan yang buruk serta jangka hayat pendek.

Malah, negara ini merekodkan kes maut akibat komplikasi asma sekitar empat angka saban tahun dengan kira-kira 1,700 kes dicatatkan pada 2014.

Lapor akhbar lagi, angka itu mungkin dianggap kecil jika dibandingkan punca kematian lain, namun menurut pakar, kebanyakan kes kematian akibat asma boleh dielak jika penghidap mendapat rawatan awal dan sewajarnya.

Asma (asthma) atau turut dikenali sebagai lelah adalah penyakit respiratori atau saluran pernafasan yang kronik.

Ketika serangan asma, terjadi radang pada saluran pernafasan yang menyebabkan saluran itu menjadi sempit dan kurangnya oksigen ke dalam paru-paru.

DR HELMY HAJA

Doktor pakar paru-paru yang juga merupakan pengasas bersama Asthma Malaysia, Dr. Helmy Haja Mydin memberitahu, kes asma di Malaysia bahkan di dunia sendiri boleh dikatakan semakin meningkat saban tahun.

Menurutnya, hal ini berlaku kerana berlaku peningkatan hal-hal seperti pencemaran udara.

“Ramai yang semakin berusia dan apabila terdedah kepada pencemaran udara ia boleh menyebabkan asma terjadi. Masalah ini berlaku di seluruh dunia.

“Bagaimanapun di Malaysia kita tidak mempunyai data yang mencukupi untuk menentukan jumlah peningkatan itu. Ini kerana kita tidak cukup mendiagnosis pesakit dan kita kekurangan alatan untuk mendiagnosis,” katanya ketika ditemui dalam Persidangan Hari Asma Sedunia 2022 yang jatuh pada 3 Mei lalu.

Peningkatan kes asma di dunia bukanlah satu-satunya isu penting berkait masalah asma masa kini, satu lagi perkara yang sedang giat diperjuangkan oleh para pengamal perubatan adalah supaya para penghidap asma tidak terlalu bergantung kepada alat sedutan atau inhaler pelega berwarna biru yang merujuk kepada Short-Acting Beta2-Agonists (SABA) ketika diserang masalah itu.

Kebergantungan peralatan itu yang memberikan kelegaan sementara akhirnya membuatkan masalah asma tidak dirawat sekali gus menjelaskan mengapa peratusan kes tidak terkawal dan berisiko tinggi mengalami tahap kesihatan yang buruk begitu besar.

Pengerusi Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA), Dr. Sri Wahyu Taher menjelaskan, pesakit asma perlu diberi kesedaran bahawa inhaler berwarna biru yang sering digunakan itu hanya memberi kelegaan sementara.

Terang Dr. Sri Wahyu, sebenarnya inhaler berwarna biru itu tidak merawat punca utama penyakit iaitu keradangan paru-paru.

“Kita dapati ramai pesakit yang cenderung untuk menggunakan inhaler berwarna biru ini apabila mendapat serangan asma dan tidak lagi menggunakan alat sedutan atau ubat lain setelah lega.

“Pesakit harus kurangkan kebergantungan kepada inhaler berwarna biru kerana tidak memberi sebarang faedah kepada paru-paru.

“Apabila pesakit rasa sesak sikit, dia akan mengambil inhaler ini dan terus rasa lega. Masalahnya, keradangan di paru-paru tidak akan dirawat, ubat dalam inhaler ini tidak merawat paru-paru tetapi hanya memberi kelegaan,” ujarnya.

DR. SRI WAHYU berkempen bagi meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa inhaler biru cuma pelega sementara dan tidak merawat.

Tambahnya, kelegaan tersebut adalah bersifat palsu kerana keradangan itu masih terus ada dalam paru-paru pesakit.

Sementara itu, Sri Wahyu berkata, pihaknya sedang menjalankan kempen bagi meningkatkan kesedaran pesakit asma berhubung penggunaan inhaler berwarna biru itu. Ini kerana, alat tersebut tergolong dalam ubat kategori C yang tidak memerlukan preskripsi doktor, jadi ia boleh diperolehi dengan mudah.

Menurutnya, alat sedutan asma sebenarnya terbahagi kepada pelbagai jenis antaranya ubat pelega dan ubat kawalan. Inhaler berwarna biru tergolong dalam ubat pelega semata-mata.

“Sebaliknya, ubat kawalan mengandungi kortikostreoid sedut (ICS) yang akan mengawal keradangan. Kalau kita biarkan paru-paru banyak keradangan, lama-lama keradangan itu menyebabkan parut pada paru-paru.

Disebabkan parut, paru-paru sukar untuk mengembang ketika bernafas.

“Ubat kawalan adalah ubat yang dipreskripsi. Pesakit boleh dapatkan di farmasi cuma apabila pesakit menggunakan ubat kawalan, mereka tidak dapat rasa lega dengan cepat kerana itu bukan fungsi ubat kawalan. Fungsinya adalah untuk mengawal keradangan,” jelasnya.

Tambahnya, itu yang sepatutnya diambil dan alat sedutan yang mengandungi ubat kawalan tersebut datang dalam banyak warna termasuk oren, coklat dan merah.

Dalam panduan oleh Inisiatif Global untuk Asma (GINA), setiap pesakit asma dewasa dan kanak-kanak digalakkan menerima gabungan alat sedut yang mengandungi ICS dan beta-agonis bertindak panjang (LABA) sebagai ubat kawalan bagi mengurangkan risiko asma yang semakin teruk, termasuk pesakit dengan simptom sekali-sekala.

Berdasarkan kajian, risiko asma yang semakin teruk dapat dikurangkan sehingga 60 peratus apabila pesakit menggunakan alat sedutan yang mengandungi ICS dan LABA, berbanding alat sedutan SABA sahaja.

Sementara itu, berbanding penyakit tidak berjangkit (NCD) yang lain, asma mungkin dianggap sebagai suatu penyakit ‘normal’ bagi masyarakat kita.

Namun, ramai yang tidak menyedari akibat daripada hidup dengan asma yang tidak terkawal dan tidak diberikan rawatan secukupnya boleh membawa kepada kategori teruk yang merupakan tahap paling serius.

Asma diklasifikasikan mengikut tiga tahap keterukan iaitu ringan, sederhana dan teruk. Tahap keterukan biasanya dinilai oleh sejauh mana asma pesakit itu boleh dikawal serta jenis dan dos ubat yang diperlukan oleh seseorang pesakit bagi mengawal asma dihadapinya.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Respiratori Hospital Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan, Dr. Mat Zuki Mat Jaeb berkata, tahap kesedaran dalam kalangan orang ramai bahawa asma wujud dalam tiga tahap keterukan yang berbeza masih rendah. Setiap tahap memerlukan pendekatan rawatan yang berbeza.

“Pesakit asma teruk memerlukan perhatian khas kerana mereka lebih cenderung untuk mengalami serangan asma yang lebih kerap,” katanya dalam satu kenyataan.

Di negara-negara Asia, bilangan penghidap asma yang teruk adalah tinggi.

Mat Zuki menjelaskan, pesakit yang menghidap asma teruk bukan sahaja terpaksa berdepan masalah gejala dan gangguan tidur setiap hari, malah keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti harian juga adalah terhad.

“Mereka turut dibebani dengan kebergantungan terhadap ubat yang memberikan kelegaan segera seperti inhaler dan steroid oral (OCS) pada setiap hari dan untuk jangka panjang.

“Rawatan OCS sebenarnya boleh mendatangkan kesan buruk kerana pendedahan jangka panjang terhadap OCS boleh membawa kepada pelbagai risiko kesihatan seperti kencing manis, penyakit tulang rapuh atau osteoporosis, penyakit jantung dan peningkatan berat badan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN