fbpx
AKSI berbahaya Karmila sewaktu menunggang motosikal di dalam ‘tong setan’ di satu karnival malam di Bogor, Indonesia baru-baru ini.– AFP

Populariti joki wanita tong setan, Karmila Purba ‘mendunia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MOTOSIKAL yang ditunggang Karmila Purba meluncur laju ketika membuat pusingan di dalam sebuah tong silinder yang diletakkan di karnival-karnival malam (funfair) di sekitar Indonesia.

Sejak lapan tahun lalu, itu merupakan rutin harian Karmila hampir setiap malam. Beraksi di dalam tong silinder kayu yang dipanggil devil’s barrel, tong stand atau ‘tong setan’ oleh masyarakat Indonesia, gadis berusia 23 tahun ini sering kali berjaya memukau penonton-penonton di karnival tersebut.

Menunggang sambil matanya tajam memerhatikan gelagat penonton-penonton yang melambai-lambai tangan sambil menghulurkan tip berupa wang-wang kertas, gadis ini dengan pantas memecut laju motosikal bagi mengumpul wang-wang tersebut.

Karmila melakukannya berulang-ulang sehinggalah dia tamat beraksi di dalam ‘tong setan’ itu. Biarpun aksi kerjayanya sebagai joki motosikal di ‘tong setan’ itu boleh ditonton hampir setiap malam, namun pengunjung dilihat seakan tidak pernah jemu bersorak.

DALAM terhibur, para penonton kelihatan bimbang ketika melihat aksi berbahaya Karmila di dalam ‘tong setan’ sewaktu aksi joki motosikal.

Mereka memberikan tepukan gemuruh sebagai tanda kagum setiap kali gadis ini menamatkan persembahannya di dalam tong setan yang turut digelar Wall of Death. Lantaran itu, tidak hairanlah jika gadis dari Pematang Siantar, Sumatera Utara ini menerima gelaran Puteri Dinding Kematian.

“Mereka seakan tidak percaya seorang gadis boleh melakukan sesuatu yang ekstrem seperti itu. Saya bangga kerana mampu melatih perempuan untuk berkecimpung dalam bidang ini.

“Karmila merupakan joki wanita pertama di Sumatera yang menyertai persembahan dalam ‘tong setan’ ketika berusia 15 tahun,” kata jurulatihnya, Tora Palevi.

Menurut Palevi lagi, penglibatan golongan wanita dengan persembahan ekstrem sememangnya sungguh asing dan jarang berlaku. Bagaimanapun semua itu berubah selepas Karmila mula mempeloporinya seterusnya mempopularkan kegiatan itu dalam kalangan gadis-gadis di sana.

Biarpun semakin ramai wanita menyertai ‘tong setan’, namun menurut Palevi, masih belum ada gadis yang mampu melakukannya sehebat Karmila. Tambahan pula, gadis itu telah diangkat sebagai bintang aksi karnival biarpun pada waktu itu dirinya baru setahun jagung berjinak-jinak di dalam persembahan ekstrem tersebut.

Tong itu sememangnya kedengaran asing bagi masyarakat luar kecuali di negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand. Corak pertunjukannya yang unik dan berbahaya juga tidak pernah dilihat dimainkan di negara-negara Barat.

Persembahan ‘tong setan’ merupakan salah satu seni pertunjukan yang mana individu akan menunggang motosikal berputar-putar di dalam tong besar bersudut antara 90 hingga 180 darjah.

Sejak beberapa dekad lalu, ‘tong setan’ menjadi tarikan utama di pesta-pesta di Indonesia terutama di luar bandar yang tidak banyak akses hiburan.

Karmila kini popular dan menjadi perhatian dunia.

Biasanya, sukan ini dimainkan di karnival malam oleh golongan lelaki. Pun begitu, siapa sangka gadis bertubuh genit ini berjaya menjadikan ‘tong setan’ terkenal sehingga ke luar negara.

Baru-baru ini, populariti Karmila melonjak apabila banyak agensi berita antarabangsa yang mula menyiarkan kisah tentang dirinya.

“Saya menyertai sukan ini selepas pertama kali melihat orang berputar di dalam tong tersebut. Saya begitu tertarik bagaimana motor boleh berpusing-pusing di dalam sebuah silinder dan tertanya-tanya apakah rahsianya. Dari situlah saya nekad untuk menyertainya.

“Ramai yang bertanya mengapa saya melakukan aktiviti berbahaya seperti ini memandangkan saya merupakan seorang gadis dan aksi tersebut lebih sesuai untuk lelaki.

“Biarpun terlalu banyak kritikan yang diterima sejak kali pertama menceburkan diri, namun lama kelamaan mereka sendiri mengakui kehebatan aksi saya dan memberikan nama samaran Puteri Dinding Kematian,” ujarnya kepada AFP.

Mempunyai alasan yang tersendiri, menurut Karmila lagi, penglibatannya dalam pertunjukan itu adalah bagi menampung kehidupan hariannya selain membantu ibu bapanya.

Berasal daripada keluarga susah, gadis ini dahulunya mencari rezeki dengan menjadi ‘hantu’ di sebuah rumah hantu di karnival malam di Sumatera dengan pendapatan yang tidak seberapa. Sebaik melihat persembahan ‘tong setan’ mampu mendatangkan habuan yang lumayan lapan tahun lalu, gadis ini terus menyertainya tanpa berfikir panjang.

KARMILA (kiri) menjadikan aksinya di dalam ‘tong setan’ sebagai sumber pendapatan yang dapat mengeluarkan dirinya daripada kemiskinan.

Katanya, dia mampu menjana lebih 6 juta rupiah (RM1,826) sebulan. Jika rezeki menyebelahi dirinya, Karmila mampu memperoleh sehingga 400,000 rupiah (RM121) pada satu hari yang baik.

Ditawarkan dengan upah yang agak besar, gadis ini bagaimanapun tidak terkecuali berdepan cabaran. Lebih-lebih lagi persembahan yang disertainya itu sungguh ekstrem dan mencabar sehingga menuntut kekuatan mental dan fizikal.

“Saya bercita-cita menjadi ahli muzik terkenal. Tetapi disebabkan masalah kewangan, saya terpaksa melupakan hasrat tersebut dan berhenti sekolah lebih awal daripada yang sepatutnya.

“Biarpun tidak dapat bergelar ahli muzik terkenal, namun saya berbangga dengan pekerjaan yang dilakukan kini telah membawa saya keluar daripada masalah kemiskinan,” kongsinya.

Menjadi joki perempuan tong setan mempunyai daya tarikan tersendiri. Tidak memerlukan waktu lama untuk bertapak dalam industri tersebut, kini Karmila dikenali hampir di kesemua lokasi karnival malam sejak di awal penglibatannya.

Sehingga ke satu tahap, dia telah diundang untuk membuat persembahan di Thailand.

“Memang ada rasa takut setiap kali mahu beraksi tetapi ia berbalik kepada diri kita sendiri bagaimana kita mengatasinya. Saya perlu menenangkan diri daripada perasaan gemuruh dan pening kerana laluan di dalam tong setan itu sungguh bercelaru. Bukan sahaja perlu tahan diri daripada rasa pening, saya juga perlu menjaga keseimbangan badan di atas motosikal terutamanya ketika mahu mengambil tip yang dihulurkan pengunjung.

“Kadangkala sedih rasanya kerana ada yang mempermainkan pemberian wang sedangkan saya bermati-matian bekerja mencari wang. Kadangkala wang yang dihulurkan pula tidaklah sebesar mana,” jelasnya.

Paling menggerunkan Karmila adalah jika tayar motosikalnya pancit kerana ia berisiko untuk membuatkan dirinya jatuh ke bawah tong setan. Lebih-lebih lagi apabila dia tidak mengenakan sebarang topi keledar ketika beraksi kerana itu mampu menghalang penglihatan.

Justeru sudah tentu hal itu mendatangkan kecederaan besar dan paling membimbangkan setiap joki.

Hidup berpindah-pindah dari satu lokasi karnival malam ke lokasi lain demi mencari rezeki, gadis ini bagaimanapun sudah lali dengan kehidupan nomad itu.

Sepanjang bergelar joki ‘tong setan’, Karmila mengaku tidak pernah tinggal di satu tempat. Di mana pasar malam yang menjadikannya joki, di situlah Karmila akan tinggal.

“Inilah risiko yang saya perlu tanggung sebagai seorang joki.

“Bagaimanapun hanya ini yang mampu membantu dan membuatkan ibu bapa saya gembira,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN