PHILADELPHIA – Pakar kesihatan terkemuka memaklumkan bahawa impian masyarakat dunia untuk mewujudkan imuniti kelompok Covid-19 tidak akan menjadi kenyataan, lapor stesen penyiaran ABC, semalam.
Pada awal pandemik, saintis dan pakar kesihatan awam bersandar pada pengalaman mereka dengan virus lain untuk membuat ramalan tentang Covid-19 dengan harapan penularan dapat dihentikan selepas program vaksinasi mencapai tahap tertentu.
Namun selepas dua tahun berlalu dan walaupun selepas pengenalan vaksin yang sangat berkesan, saintis kini menyedari Covid-19 tidak mungkin hilang sepenuhnya.
Meskipun imuniti kelompok melalui vaksinasi meluas boleh menjadi strategi berjaya untuk virus tertentu seperti cacar dan polio, saintis tidak lagi menganggap alternatif sama akan berkesan dengan wabak korona.
Kekebalan imuniti kelompok merujuk kepada situasi di mana virus tidak boleh merebak kerana ia terus ‘bertembung’ dengan sistem antibodi yang berdaya tahan terhadapnya.
Bagaimanapun, imuniti kelompok bergantung pada beberapa andaian iaitu yang pertama, individu yang ‘kebal’ virus secara semula jadi dan kedua, individu diberi vaksin serta tidak boleh menyebarkan virus.
Sepanjang pandemik ini berlanjutan, dua hal tersebut tidak berlaku dengan Covid-19 sekali gus menyimpulkan bahawa sasaran imuniti kelompok tidak lagi realistik.
Ini kerana kekebalan vaksin berkurangan dengan cepat, individu yang telah diimunisasi penuh masih boleh menyebarkan virus dan mutasi Covid-19 yang terlalu cepat hingga menyukarkan saintis meramal situasi masa hadapan.
“Apabila anda mendapat vaksin, ia mendorong dua jenis tindak balas imun.
“Satu tindak balas adalah untuk membina antibodi yang mampu bertahan tiga hingga enam bulan. Antibodi ini boleh melindungi badan walaupun dari penyakit ringan,” kata Pengarah Pusat Pendidikan Vaksin di Hospital Kanak-kanak Philadelphia, Dr Paul Offit.
Virus yang menyebabkan Covid-19 mempunyai tempoh inkubasi yang singkat. Kebanyakan individu yang dijangkiti menjadi berjangkit dalam beberapa hari pertama, tempoh yang terlalu singkat sebelum sel memori diaktifkan untuk membina antibodi.
Oleh kerana sel memori akhirnya bertindak kira-kira dua minggu, jangkitan biasanya tidak akan berkembang melebihi penyakit ringan.
Namun pada masa itu, ramai orang sudah pun menularkan virus kepada kelompok lain.
“Semua vaksin masih memberikan perlindungan yang teguh terhadap penyakit yang teruk.
“Sayangnya, tiada satu pun daripada vaksin akan memberikan hasil yang sangat baik dalam mencegah jangkitan,” kata ahli virologi Sekolah Perubatan Harvard, Dr. Dan Barouch. – Agensi