CUACA panas yang melanda negara ketika ini menyebabkan keadaan merimaskan dan tidak selesa.
Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca panas yang dialami sekarang dijangka berlarutan hingga pertengahan Disember depan yang mengakibatkan keadaan panas dan kering.
Penggunaan penghawa dingin sudah semestinya menjadi pilihan bagi menyejukkan ruang kediaman, namun penggunaan elektrik yang tinggi pastinya membuatkan bil melambung.
Justeru minggu ini, Horizon kongsikan beberapa penyelesaian alternatif mesra alam yang boleh dilakukan untuk menyejukkan ruang kediaman tanpa penggunaan pendingin hawa.
1. Mentol LED kurang haba
Semua peralatan elektrik termasuk mentol lampu menghasilkan haba dan ini menyumbang kepada peningkatan suhu bilik.
Berbanding mentol pijar tradisional, mentol lampu diod pemancar cahaya (LED) menggunakan tenaga dan haba yang kurang. Ia juga memberikan penggunaan tenaga lebih cekap.
Oleh itu, jika anda ingin menyejukkan suhu bilik, peralihan kecil seperti pertukaran kepada mentol LED dapat membantu, selain mampu menjimatkan bil elektrik.
2. Hiasan air
Pemasangan hiasan air seperti kolam ikan di dalam rumah menjadi semakin popular.
Ini kerana, ia bukan sahaja bertindak sebagai sistem penyejukan semula jadi cekap tenaga untuk ruang kediaman, malah mewujudkan suasana menenangkan dengan bunyi aliran air.
Di samping itu, air juga menambah kelembapan pada ruang kediaman, meningkatkan kualiti udara sambil menyejukkan udara di sekitar kawasan kediaman.

3. Lap kipas siling dengan kerap
Habuk yang melekat pada kipas siling merupakan faktor utama yang menyebabkan putarannya perlahan, sekali gus menjadikan ruang kediaman anda terasa panas.
Sebaiknya, bersihkan kipas siling dengan kerap bagi mengelakkan pengumpulan habuk yang seterusnya membantu kediaman anda semakin sejuk.

4. Gunakan filem gelap pada tingkap
Penggunaan filem gelap atau tint pada tingkap kediaman berupaya untuk menghalang kemasukan cahaya matahari secara langsung ke dalam ruang kediaman.
Ia boleh mengurangkan haba daripada cahaya matahari, namun pada masa sama mengekalkan cahaya semula jadi bagi memastikan kediaman kekal terang.
Pilih filem yang mampu melindungi daripada sinaran ultra ungu (UV) bagi menjadikan ruang kediaman kekal sejuk.

TINGKAP gelap memantulkan haba, sekali gus menjadikan ruang rumah lebih sejuk.
5. Pasang bidai, langsir
Penggunaan langsir gelap merupakan cara paling berkesan untuk menghalang cahaya matahari daripada masuk ke dalam ruang kediaman dan memanaskan ruang tersebut.
Justeru, sebelum keluar atau meninggalkan rumah, pastikan anda menutup semua tingkap menggunakan langsir supaya ruang kediaman lebih sejuk.













