fbpx
DIDIKLAH anak-anak untuk berkawan dengan semua orang tanpa mengira kedudukan sosio ekonomi mereka. – GAMBAR HIASAN

Didik anak jangan bezakan rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh Dr. Mohd. Nazri Abdul Rahman

Setelah hampir dua tahun sesi persekolahan dijalankan secara online, kanak-kanak hari ini berpeluang menjalani kembali sesi persekolahan secara fizikal. Pelbagai ragam dan gelagat anak-anak yang dikongsikan di media sosial dan tidak kurang juga dengan isu-isu ditularkan ibu bapa mahupun guru melibatkan anak-anak.

Sebelum ini, viral di media sosial mengenai anak yang tidak mahu ke sekolah kerana berasa rendah diri disebabkan rakan sekolah mengejek dan menghinanya kerana tidak mampu memiliki beg berjenama.

Malah ada rasa jauh hati kerana rakan tak mahu berkawan sebab tidak cantik atau berkulit hitam dan gemuk. Situasi ini pastinya memberi impak khususnya terhadap emosi anak-anak.

Apa dibimbangi, akibat pengaruh rakan sebaya ini melemahkan sistem badan anak-anak, malahan mendorongnya bertindak ke arah negatif seperti buli, gaduh, agresif atau pendiam.

Tindak balas ini pasti mendatangkan kesan jangka panjang jika tidak ditangani sebaiknya.
Bagaimana ibu bapa boleh mendidik anak-anak untuk berkawan di sekolah?

Dalam hal ini, ibu bapa perlu memahami anak-anak baik dari segi perwatakan, mahupun minat dan kelebihan.

Dalam memahami anak-anak, ibu bapa juga perlu mengenali setiap kawan terbaik mereka yang selalu diceritakan.
Ini kerana, pengaruh rakan sebaya sangat mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.

Kewujudan tekanan rakan sebaya sememangnya berlaku dalam kalangan kanak-kanak, khususnya apabila mereka mula berkawan dan bersosial.

Maka, peranan ibu bapa sangat diperlukan dalam tempoh perkembangan ini kerana mereka dapat membentuk tingkah laku anak-anak dengan berkesan.

Seterusnya, kenali anak-anak. Melaluinya, ibu bapa dapat mengawal tinglah laku negatif dan mengembangkan potensi mereka.

Kadangkala, ibu bapa terlepas pandang anak itu sendiri mempunyai sifat dominan dan berupaya mempengaruhi rakan sebaya untuk menyertai kumpulannya.

Apa dikhuatiri, anak-anak ini berupaya melakukan tindakan di luar kawalan semata-mata, tidak ingin kehilangan kawan atau memastikan bahawa dia sentiasa mempunyai pengaruh dalam kalangan rakan-rakan.

Tidak dapat dinafikan, pengaruh media sosial dan iklan banyak mempengaruhi kehendak dan kemahuan anak-anak.

Didik anak-anak agar mempunyai keberanian untuk menyatakan tidak pada sebarang bentuk tekanan dan desakan khususnya melibatkan rakan sebaya.

Menerusi didikan ini, mereka bukan sahaja dapat dibentuk imej diri, tetapi juga dibentuk perwatakan dan keperibadian tegas dan berkeyakinan.

Sebagai ibu bapa, berkomunikasi dengan anak-anak dengan berkesan. Seharusnya, ibu bapa dapat mengenali tingkah laku mereka.


ANAK-ANAK perlu diberi pendedahan bahawa kawan yang baik akan sentiasa bersama di masa susah atau senang.– GAMBAR HIASAN

Ini kerana, corak asuhan ibu bapa turut memberi pola komunikasi anak-anak dengan rakan-rakan.

Kadangkala, tingkah laku anak-anak yang membezakan kawan mengikut ciri fizikal ataupun kemampuan untuk memilih sesuatu barangan berpunca daripada tindak-tanduk ibu bapa itu sendiri.

Merekalah yang memperkenalkan semua benda-benda ini tanpa menjelaskan kepada si anak tentang nilai dan kualiti barangan tersebut.

Oleh itu, sebagai ibu bapa, didiklah anak-anak untuk berkawan dengan semua orang. Berkomunikasi dengan baik dan jelas, berikan maklumat yang jelas tentang fungsi, kepentingan dan kegunaan barangan itu berbanding sesuatu jenama.

Berkomunikasilah dengan anak-anak kerana ia mampu membentuk peribadi.

Jelaskan kepada anak-anak ‘erti kawan’ sebenar. Kita tidak mahu mereka anggap kawan lebih mustahak berbanding keluarga.

Fahamkan mereka berkawan tidak semestinya tentang kebendaan.

Berkawan seadanya tanpa mengira status sosio ekonomi dan berkawankan di kala susah dan senang. Maklumkan kepada anak-anak bahawa kawan boleh dengan sesiapa sahaja.

Kawan yang baik sentiasa bersama kita pada bila-bila masa dan dalam situasi yang mencabar.

Penolakan atau penerimaan anak-anak terhadap rakan sebaya perlu disertakan dengan penerimaan dan kasih sayang ibu bapa.

Jangan terus melenting dengan anak-anak, sebaliknya dengar terlebih dahulu apa yang diceritakan mereka.

Ibu bapa memainkan peranan utama dalam menerapkan nilai budi perkerti dalam diri anak-anak. Maka, didiklah anak-anak untuk menghargai kawan-kawan dan menghargai apa yang mereka miliki.

Ringkasnya dalam mendidik anak-anak digital hari ini, komunikasi dengan penuh kasih sayang mampu menyelesaikan pelbagai isu dan cabaran, khususnya adab berkawan.
——————————————————————————————————————————————————————–
Dr. Mohd. Nazri Abdul Rahman ialah pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN