PONTIAN – Tindakan menaikkan harga lembu bagi tujuan korban pada tahun ini bukanlah semata-mata untuk meraih keuntungan, tetapi bagi mengimbangi kos yang telah dilaburkan golongan penternak.
Malah, rata-rata penternak turut memberi jaminan bahawa kualiti lembu korban yang dijual tahun ini adalah yang terbaik.
Seorang penternak, Abd. Samad Samiran, 49, berkata, pada tahun ini harga seekor lembu bagi tujuan ibadah korban dijual mencecah RM6,500 hingga RM7,000 seekor, berbanding RM4,500 hingga RM5,000 pada tahun lalu.
Katanya, bersesuaian dengan harga setinggi RM6,500 seekor, dia memberikan jaminan bahawa setiap seekor lembu yang dijual itu mampu mengeluarkan 100 kilogram daging lembu kepada pembeli.
“Memandangkan tiada pembelian lembu dari luar pada tahun ini, tempahan yang saya telah diterima setakat ini 11 ekor lembu sahaja dan menjangka hanya sekitar 20 hingga 25 ekor menjelang Hari Raya Aidiladha nanti,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Abd. Samad, dia berharap pembeli secara individu dan berkelompok dapat memahami situasi ketika ini, terutama mengenai harga lembu korban.
Seorang penternak di Shah Alam, Selangor, Mohd. Razali Umis, 62 berkata, kenaikan itu tidak dapat dielakkan kerana beberapa faktor.
“Tahun ini, kami (penternak) tiga kali berdepan kenaikan dedak yang memberi impak kepada kos ternakan yang mahal.
“Selain itu, kos berkenaan termasuk ubat-ubatan dan penyakit lembu yang sekali gus menyebabkan harga terpaksa dinaikkan tahun ini,” katanya.















