KLANG – Seorang lelaki menyesal tak sudah apabila hadiah telefon bimbit yang diberikan kepada isterinya menjadi punca mereka bercerai selepas wanita itu kemaruk bercinta dengan suami orang yang dikenali menerusi permainan video Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG).
Mengimbau semula kejadian itu, Harman (bukan nama sebenar), 35, memberitahu, hadiah itu diberikan sempena ulang tahun kelahiran bekas isterinya ketika wanita itu sedang hamil anak sulung mereka.
Katanya, pada mulanya bekas isterinya sekadar suka-suka bermain PUBG untuk mengisi masa lapang sebelum wanita yang dikahwininya sejak tiga tahun lalu berubah dan mula mengabaikan hal rumah tangga.
“Saya belikan dia telefon baharu kerana yang lama telah rosak sekali gus dapat menggembirakan hatinya. Pada mulanya kelihatan baik tetapi dia berubah ketika berpantang selepas melahirkan anak sulung.
“Dia terjebak dengan permainan PUBG dan mengaku pada mulanya hanya suka-suka membuatkan saya tidak menghalangnya, namun pada masa sama dia masih menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu,” katanya yang bekerja di sektor swasta.
Menurut Harman, selepas tamat berpantang dan bekerja semula, ketagihan isterinya bermain PUBG semakin menjadi-jadi.
Tambahnya, lama-kelamaan perubahan sikap isteri semakin jelas apabila tidak lagi menguruskan hal rumah tangga, manakala layanan kepadanya juga tidak lagi mesra seperti di awal pernikahan mereka.
“Ketika anak berusia dua tahun, dia kerap mengadu bekas isteri banyak habiskan masa berkurung dalam bilik melayan permainan PUBG terutama ketika hari dia tak bekerja.
“Anak kerap menangis dan mengadu lapar. Pernah juga berlaku lampin anak pun dia tak tukar dari pagi sampai malam,” katanya.
Ujar Harman, apa yang membuatkan hatinya retak seribu apabila hubungan bekas isterinya dengan suami orang yang dikenali dalam aplikasi permainan tersebut terbongkar.
Katanya, lebih mengecewakan apabila wanita itu meminta cerai dan enggan mengambil peduli keperluan anak sulung mereka.
“Dia jadi sebegitu kerana mendakwa saya kurang beri perhatian kepadanya hingga menyebabkan dia sunyi dan terabai. Mungkin saya ada buat silap dan terlalu sibuk dengan kerja hingga kurang memberi perhatian kepadanya,” katanya.
Menurut Harman, dia cuba mempertahankan rumah tangga yang dibina dengan memberi peluang kepada bekas isterinya untuk berubah selain tidak bermesra selama setahun walaupun tinggal sebumbung.
“Namun dia tetap memilih untuk berpisah atas alasan sudah tiada lagi perasaan cinta kepada saya. Kami kemudian berpisah secara baik.
“Dia menyerahkan hak penjagaan anak tunggal kepada saya. Kini anak sudah berusia enam tahun dan kami bahagia hidup berdua tanpa kehadiran seorang wanita bergelar ibu dan isteri,” kata duda itu. -KOSMO! ONLINE














