Peristiwa bertemu dua makhluk misteri hampir 40 tahun lalu kekal dalam ingatan pesara pegawai keselamatan sebuah syarikat industri minyak dan gas di negara ini.
Kejadian misteri yang berlaku pada tahun 1970-an itu menjadikan lelaki berbadan sasa yang kini berusia 60-an itu sentiasa yakin dan berani dalam menjalankan tugasannya.
Menurut Zaidi Aziz, peristiwa seram itu berlaku semasa dia di tingkatan 4.
“Ketika itu musim durian, saya akan tidur di pondok buluh yang dibina di kawasan dusun terletak 30 meter dari rumah keluarga.
“Ia bagi memastikan durian yang luruh tidak dicuri orang,” katanya ketika ditemui di Banting, Selangor baru-baru ini.
Ceritanya, pada malam kejadian menyeramkan itu, cuaca sangat sejuk dan langit gelap tanpa bintang.
Katanya, dia terjaga kira-kira pukul 3 pagi selepas terasa kakinya dipegang sesuatu.
“Apabila membuka mata, saya lihat dua makhluk menyeramkan setinggi enam kaki bermata merah bercahaya berada betul-betul di depan mata.
“Makhluk berambut panjang itu memegang pergelangan kaki kanan dan kiri saya. Saya panik kerana inilah pertama kali mengalami situasi seram seperti itu,” katanya.
Ujarnya, makhluk itu kemudian berkata dengan suara garau ingin menjadi pendampingnya.
“Oleh kerana ketakutan, saya menggangguk bagi memastikan pegangan kuat makhluk tersebut di kaki terlerai.
“Pada masa sama, peluh jantan mula memercik dari tubuh,” katanya.
Selepas itu, kedua-dua makhluk misteri bermata merah itu hilang.
Tanpa berlengah lagi, Zaidi terus bangun dan berlaki sepantas kilat menuju ke rumahnya kerana terlalu takut.
“Saya masuk ke rumah dan terus berselubung dalam selimut kerana ketakutan yang amat sangat. Emak pun pelik melihat gelagat saya.
“Keesokannya, saya menceritakan segala peristiwa tersebut kepada ibu bapa saya. Mereka hanya ketawa seolah-olah mengetahui sesuatu yang saya tidak tahu,” katanya.
Ibunya memberitahu, apa yang ditemuinya itu makhluk ‘puaka’ yang ditugaskan menjaga kebun bagi mengelakkan kecurian dan khianat, dipercayai milik generasi terdahulu.
Jelas ibunya lagi, bapa atau datuknya tidak pernah melakukan perkara khurafat tersebut.

KEBUN durian pasti memberikan kenangan pahit manis kepada sesetengah orang.– GAMBAR HIASAN
Mungkin sepasang makhluk misteri itu adalah jelmaan jin atau syaitan yang berkeliaran di kawasan hutan bersebelahan dusun durian milik mereka.
Sejak peristiwa seram tersebut, kehidupan Zaidi mula berubah.
Katanya, ke mana sahaja dia pergi, dia berasakan seolah-olah ada mata yang memerhati, terutamanya semasa keluar pada waktu malam.
Sejak itu juga, dusun durian kira-kira 1.2 hektar itu tidak lagi dijaganya pada waktu malam disebabkan trauma dengan kejadian seram berkenaan.
“Biarlah buah durian tersebut luruh sendiri pada awal pagi.
“Tidak sanggup saya bertemu lagi dengan sepasang makhluk misteri bermata merah dan berpakaian serba hitam labuh itu,” katanya lagi.
Gangguan makhluk yang dialaminya itu beransur-ansur hilang selepas itu.
Namun selepas dia mendirikan rumah tangga, ia kembali muncul dan mengganggu semula keharmonian hidupnya.
Ujar Zaidi, isterinya pernah ternampak kelibat makhluk misteri berkenaan di rumah sewa semasa mereka tinggal di Terengganu
20 tahun selepas peristiwa menegakkan bulu roma itu.
Kemungkinan besar katanya, makhluk misteri bermata merah itu mendampingi dirinya.
Ini kerana, menganggap anggukannya semasa peristiwa di pondok di dusun durian tempoh hari disalah erti sebagai persetujuan untuk menjadi ‘tuan’.
“Semasa bertugas sebagai pegawai keselamatan, berlaku peristiwa pelik yang mana dari jarak jauh, kawan-kawan sekerja melihat saya menaiki kereta dengan kapasiti penumpang penuh.
“Sedangkan saya memandu seorang diri pada malam itu. Saya tidak pasti adakah makhluk tersebut yang menumpang atau sebaliknya.
“Apa yang pasti, sejak saya bertemu makhluk tersebut, pelbagai peristiwa pelik telah saya dan keluarga alami.
“Saya cuma bimbang keluarga diganggu, sedangkan saya tidak mahu membela makhluk halus tersebut kerana ia bertentangan dengan agama,” ujarnya.














