SEJAK sekian lama, usaha memerangi pengalahgunaan dan pengedaran dadah di negara ini sentiasa mendapat perhatian pihak kerajaan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ia menggugat keselamatan negara, selain merugikan sumber tenaga muda yang menjadi penagih.
Namun, sehingga kini negara masih bergelut dengan masalah tersebut terutamanya dengan pengenalan dadah sintetik yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Untuk itu, kolum Wawancara minggu ini membawakan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang membicarakan
cabaran dan hala tuju dalam menangani masalah dadah di Malaysia sejak dilantik ke jawatan itu pada 3 Januari lalu.
—————————————————————————————————————————————————————————
ISU dadah di negara ini tidak pernah menunjukkan tanda berkurangan. Saban tahun bilangan yang ditahan dan jumlah rampasan dadah makin bertambah, sekali gus menjadi cabaran besar buat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai salah satu agensi penguat kuasa berkaitan dadah di negara ini.
Selain itu, isu mengenai cadangan untuk membolehkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan turut dibangkitkan baru-baru ini.
Pengarang Berita Kosmo!, Atikah Mohd. Dali dan Wartawan Eksekutif Kosmo!, Mohd. Yunus Yakkub menemu bual Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengenai cabaran dan hala tuju dalam menangani masalah dadah di Malaysia sejak dilantik ke jawatan itu pada 3 Januari lalu.
KOSMO AHAD!: Selepas lima bulan menerajui JSJN, bagaimana Datuk melihat situasi dadah di Malaysia setakat ini?
AYOB KHAN: Situasi dadah di negara ini serius tetapi masih terkawal. Jika dilihat jumlahnya amat membimbangkan.
Jumlah penagih dadah bagi 2021 iaitu seramai 129,604 merupakan satu jumlah yang besar.
Daripada jumlah ini, lima peratus atau 6,480 orang merupakan penagih baharu.
Sebanyak 25 peratus atau 32,401 orang mengikuti program pemulihan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Kerajaan memperuntukkan RM45 bagi seorang individu untuk memulihkan penagih dadah bersamaan RM1.4 juta sehari atau RM532 juta setahun.
United Nations Office On Drugs and Crime (UNODC) menganggarkan, seorang penagih dikesan, terdapat tujuh lagi tidak dapat dikesan.
Maka tidak mustahil jumlah penagih dadah di Malaysia menghampiri sejuta orang iaitu 907,222 pada 2021.
Mengikut UNODC, bagi lapan keluarga ada seorang penagih dan dianggarkan pada 10 tahun lagi, dua penagih bagi setiap lapan keluarga. Ini membimbangkan.
Kebanyakan yang ditahan adalah belia berusia antara 18 hingga 30 tahun. Jika tidak diatasi, kita akan meninggalkan negara kepada generasi penagih dadah.
Jika dilihat, Datuk banyak memfokuskan kawasan Felda, flat, perkampungan nelayan dan sempadan negara. Apa strategi Datuk dalam hal ini?
Saya mahukan operasi yang ada impak bukannya berkala. Ops Tapis Khas yang dianjurkan pada setiap bulan ada sasaran yang dikenal pasti, bukannya serkap jarang.
Kita terima aduan mengenai peningkatan kes dadah di Felda yang mana kawasannya luas.
Bagi membendung kegiatan ini, JSJN akan bekerjasama dengan AADK dan Majlis Belia Felda bagi melancarkan operasi bersasar.
Misi kita adalah untuk menangkap tokan dadah kerana mereka merupakan perantara bagi bos sindiket dan juga penagih.
Kita juga perlu memperketatkan sempadan kerana dadah yang masuk 95 peratus melalui sempadan negara di Utara Semenanjung sepanjang 662 kilometer (km) dari Bukit Putih, Perlis sehingga ke Pengkalan Kubor, Kelantan.

Dadah masih menjadi musuh nombor satu negara sejak 1983. Mengapa ia masih sukar untuk ditangani?
Tiada satu negara dalam dunia dapat menghapuskan dadah 100 peratus. Namun JSJN akan memastikan aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penagihan dapat dikurangkan.
Urus niaga dadah ini melibatkan keuntungan besar. Di Malaysia, sekilogram syabu bernilai RM36,000, tetapi jika diseludup ke negara jiran harganya meningkat kepada RM100,000. Jadi (untung besar) itu yang menjadi daya tarikan, selain penggunaannya dalam bidang perubatan dan kedudukan Malaysia yang strategik.
Kedudukan Malaysia di tengah-tengah. Dadah akan masuk dari kawasan segi tiga emas (Thailand, Laos dan Myanmar) ke negara ini sebagai lokasi transit, selain kegunaan dalaman.
Adakah Datuk melihat undang-undang dadah sedia ada lemah?
Undang-undang dadah dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu diperkemas mengikut situasi dan trend pengedaran masa kini yang semakin rumit dan kompleks.
Misalnya SOSMA, sebelum ini polis boleh menahan sehingga 28 hari. Di bawah Kanun Tatacara Jenayah, tempoh reman yang dibenarkan adalah sehari hingga 14 hari melalui dua kali permohonan.
Jumlah reman singkat ini menyukarkan polis untuk menyiasat sindiket dadah.
Ini sekali gus menjejaskan operasi dan siasatan JSJN dalam mengendalikan aktiviti dadah melibatkan sindiket besar.
Walaupun SOSMA dikatakan mencabul hak asasi manusia, namun bagi saya, hak itu perlu diimbangi dengan soal keselamatan negara.
Ada yang mendakwa PDRM pilih bulu apabila melibatkan anggota polis dalam kes dadah. Apa komen Datuk dalam perkara ini?
Kita perlu tegas, kalau tidak, isu ini tidak habis. Musuh dalaman lagi berbahaya, mereka bersekongkol jadi tali barut sindiket dalam menggagalkan operasi polis.
Sudah banyak yang kita tangkap, tuduh, tahan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK), buang kerja pun ada.
Semasa di Johor (sebagai ketua polis negeri), Inspektor yang juga ketua bahagian siasatan jenayah narkotik daerah turut dikenakan tindakan di bawah LLPK.
Bagi saya, tiada istilah jerung atau bilis. Penjawat awam, penyanyi atau anak jutawan adalah sama.
Sebagai agensi penguat kuasa, kita akan tangkap, buka kertas siasatan dan hantar kepada pejabat Peguam Negara (untuk pendakwaan). Jangan meletakkan kesemua kesalahan di bahu polis semata-mata.
Apakah cabaran PDRM dalam menangani isu dadah?
Kalau dahulu tokan perlu bawa dadah, sekarang boleh tempah secara dalam talian atau hantar guna kurier, eksport/import melalui pelabuhan dengan isytihar barangan lain.
Sindiket sentiasa mencari jalan, mereka gunakan bahan kimia yang tidak dijadual dalam Akta Racun 1952 untuk menghasilkan dadah sintetik.
Ini menjadi cabaran kepada JSJN untuk kawal kerana ada (bahan kimia) digunakan untuk tujuan sah, tetapi disalah guna.
Ramai yang meletakkan harapan tinggi kepada Datuk dalam menangani kes dadah. Apa pandangan Datuk?
Saya menjalankan tugas mengikut undang-undang dan tiada elemen campur tangan.
Saya mendapat sokongan daripada pucuk pimpinan PDRM dan Kementerian Dalam Negeri.
Dadah bukan isu kecil tetapi melibatkan masalah sosial, ekonomi dan politik. Bagi mengurangkan masalah dadah, kita cadangkan penagih berulang dituduh bawah Seksyen 39C ADB.
Mereka berada di penjara sekurang-kurangnya lima tahun. Satu tempoh lama untuk mengasingkan mereka dengan masyarakat agar tidak terjebak najis dadah.

Baru-baru ini, ramai yang bincang penggunaan ganja dalam perubatan. Boleh Datuk ulas mengenainya?
Mengikut undang-undang, memiliki dan menggunakan ganja satu kesalahan, kita akan tangkap, siasat dan tuduh di mahkamah.
Selagi undang-undang tidak dipinda, ia kekal menjadi satu kesalahan.
Dalam konteks ganja, di bawah Seksyen 6B(1) ADB, menanam pokok ganja adalah salah dan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan, manakala Seksyen 6B pula memberi pengecualian kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk memberi mana-mana penjawat awam menanam ganja untuk kajian, penyelidikan dan cubaan bagi tujuan perubatan.
Kalau ada masalah kesihatan, dapatkan rawatan di hospital bukan dengan cara menanam pokok ganja dan tentukan sendiri berapa banyak kuantiti yang diambil. Jika begitu semua orang akan tanam ganja.
Peringatan Datuk untuk masyarakat dalam hal melibatkan dadah?
Tiada yang baik dalam konteks penyalahgunaan dadah, sebaliknya merugikan individu, keluarga dan masa depan.
Paling menyedihkan, 76 peratus yang terjebak dadah adalah Melayu dan kebanyakannya belia.
Tiada amaran lagi, tindakan tegas menanti. Saya tidak ambil peduli orang kritik, selagi ikut prosedur dan undang-undang serta ada matlamat untuk dicapai.
Yang penting kita ikhlas, tujuannya bagi memastikan masyarakat bebas dadah walaupun tak banyak. Insya-Allah ia dapat diatasi.














