MELAKA – Seramai 175 pelancong dari Indonesia tiba di pelabuhan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, hari ini selepas dua tahun pintu sempadan maritim itu ditutup akibat pandemik Covid-19.
Suasana di balai ketibaan turut bertukar meriah dengan pelbagai ragam termasuk penyatuan ahli keluarga yang telah terpisah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua lalu dan kedatangan pelancong kesihatan.
Salah seorang pelawat, Masrika Sukeme, 44, memberitahu, dia dan suami Siyatno Harun, 54, datang ke ICQS dari Kampung Melayu Subang, Selangor bagi menjemput anak sulungnya.
Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya, Syafiq Aditya Ababil, 22, adalah pada 2019 dan terpisah selepas negara melaksanakan PKP pada tahun berikutnya.
“Saya sangat teruja, malah saya dan suami bersama-sama dua lagi anak kami bertolak seawal pukul 6 pagi dari Selangor untuk ke sini, menjemput anak sulung yang dari Pekan Dumai.
“Kali terakhir berjumpa dengannya pada 2019, selepas tu kami hanya berhubung menerusi WhatsApp dan apabila dapat tahu pintu sempadan ini akan dibuka kami terus membeli tiket feri untuk anak,”katanya ketika ditemui di balai ketibaan ICQS di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE.














