fbpx
BEBERAPA ekor rusa yang diternak Khalid asyik menikmati kulit pisang di Kampung Tenai, Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan.

Ternakan rusa Gemencheh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DARI jauh nampak jinak dan bergerak dalam kumpulannya sendiri, namun sebaik dihampiri, kesemuanya kaku dan hanya merenung ke arah individu yang merapati lalu bersedia untuk melarikan diri.

Jika dikejar pula memang tidak terkejar, tapi jika disua makanan mungkin ada peluang untuk didekatinya.

Itu yang dikongsikan oleh seorang pengusaha ternakan rusa, Khalid Mohd. Diah di Kampung Tenai, Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan tentang haiwan tersebut yang sifat semula jadinya liar.

Menurut Khalid, 54, hendak bezakan jantan dan betina cuma perlu lihat tanduk di kepala. Yang bertanduk itu jantan, yang tidak bertanduk itulah betina.

 

PENTERNAKAN rusa memerlukan kawasan yang luas bagi membolehkan haiwan itu bergerak bebas.

 

Adakalanya tanduk si jantan patah kerana bergaduh dengan jantan yang lain. Bahkan katanya, rusa menjadi garang semasa musim mengawan.

Namun, bagi Khalid, 54, yang sudahpun memelihara ternakan itu sejak kira-kira 10 tahun lalu untuk tujuan komersial berkata, menternak rusa lebih mudah berbanding menternak lembu dan kambing kerana rusa tidak memilih makanan serta tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

“Cuma rusa ini memang binatang liar, hendak jinakkannya memang sukar. Haiwan ini sukar untuk didekati oleh orang lain. Malah, jika rusa berasa terancam, rusa cenderung untuk tertekan dan ‘membunuh dirinya’ sendiri. Bagaimana cara ia bunuh diri, itu sukar untuk dijelaskan tapi nanti kita didapati ia mati sendiri.

“Itu yang kita hendak elakkan. Hendak tangkap rusa macam tangkap kambing atau lembu itu memang tak dapatlah. Bahkan, untuk tujuan tersebut, sebuah bangunan gelap diperlukan untuk menangkap rusa jika mengambil kira infrastruktur ternakan rusa selengkapnya.

 

KANDANG rusa yang diusahakan Mohd. Isam.

Penggunaan bilik gelap itu menyebabkan rusa kurang menyedari bahawa ia ditangkap manusia. Jika tahu ditangkap manusia, dikhuatiri haiwan itu tertekan lalu membunuh diri,” katanya sekali gus membayangkan betapa sensitifnya haiwan tersebut.

Rusa secara amnya mempunyai jangka hayat selama 15 tahun. Berdasarkan nisbah rusa dari segi jantina pula, seekor rusa jantan bersamaan dengan 10 ekor rusa betina. Haiwan ini sudah boleh dijual di pasaran sejak berusia setahun apabila beratnya mencecah 50 kilogram.

Pasaran

Ternakan rusa terkenal di Gemencheh sejak beberapa tahun lalu ekoran populariti sajian sup rusa yang diusahakan Khalid di kedai makannya. Namun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, kedai makan yang terletak berhampiran kediamannya itu masih belum beroperasi.

Khalid atau lebih dikenali sebagai Odang menyatakan, pulangan bagi ternakan rusa agak lumayan kerana anak rusa yang berusia tiga bulan sahaja sudah bernilai RM1,000 di pasaran.

Bagaimanapun, menurutnya, dia lebih selesa menjual rusa matang iaitu sekitar usia dua tahun yang nilainya mencecah sekurang-kurangnya RM2,500 seekor di pasaran, namun ia bergantung pada saiz.

 

SEEKOR anak rusa kelihatan berehat di celah binaan batu.

 

“Buat masa ini, ada 19 ekor rusa yang saya ternak dalam kawasan ladang kelapa sawit seluas kira-kira seekar (0.4 hektar). Bagaimanapun dalam tempoh 10 tahun ini, hampir 90 ekor rusa telah berjaya diternak dan banyak yang telah dijual.

“Bagi pasaran rusa memang tak ada masalah, permintaannya agak tinggi dan saya juga merancang untuk menternak secara lebih komersial, namun banyak kemudahan yang perlu disediakan bagi tujuan berkenaan.

“Ramai yang minat dengan daging rusa dan ada yang membelinya untuk hidangan makanan kenduri perkahwinan,” katanya yang memulakan ternakan rusa dengan modal sebanyak RM10,000 bagi 10 ekor rusa jenis Timorensis atau lebih dikenali sebagai rusa Jawa dalam kalangan penternak.

Malah, Odang juga berkongsi pengalaman manis sepanjang dia menternak rusa apabila banyak pihak dari merata tempat datang melawat untuk mempelajari penternakan rusa.

Berikutan pulangan yang baik daripada ternakan rusa, dua lagi penduduk di perkampungan itu turut menjadi penternak rusa. Mereka ialah Suhaimizan Bizar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Datuk Mohd. Isam Mohd Isa.

 

KHALID (kiri) dan Mohd. Isam (kanan) merupakan antara penternak rusa di Gemencheh.

 

Tidak memilih makanan

Bagi Mohd Isam, dia berminat untuk turut sama menternak rusa selepas melihat pulangan lumayan yang diperoleh melalui aktiviti penternakan haiwan itu.

Menurutnya yang pernah mendapat pengiktirafan Anugerah Belia Negara Peringkat Kebangsaan pada tahun 2007 sebelum bergelar wakil rakyat, usahanya menternak rusa bermula sejak Disember 2018.

“Saya mulakan dengan membeli 10 ekor rusa dan membuat pagar. Selepas setahun, anak-anak saudara balik semasa perayaan dan berminat untuk turut sama menternak rusa,” katanya.

Mohd. Isam berkata, dengan modal yang diberikan anak-anak saudaranya, tambahan 10 ekor rusa lagi telah dibelinya.

“Kini, ada 20 ekor rusa matang dan dua anak rusa yang saya jangka hasilnya akan dapat dirasai dua tahun lagi,” katanya.

Menurutnya, menternak rusa agak mudah berbanding binatang lain kerana rusa tidak memilih makanan.

“Saya tak pernah beli dedak dan sebagainya sebab di kampung ini banyak bekalan makanan seperti daun pisang, pucuk ubi, jagung, rumput napier dan sebagainya,” katanya.

Malah, katanya, di kawasan ternakannya terdapat dua lokasi ragut yang mana rusa ini akan dilepaskan pada masa-masa tertentu oleh pekerjanya.

Jelasnya, penternakan rusa juga agak mudah berbanding penternakan lain kerana rusa kurang diserang penyakit serta tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN