fbpx
Gambar hiasan

Sejuta penjaja baharu wujud selepas PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kesempitan ekonomi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu disebabkan penularan wabak Covid-19 telah memaksa sejuta orang menjadi penjaja di jalanan demi kelangsu­ngan hidup di negara ini.

Bagaimanapun, jumlah itu diperoleh secara tidak formal di peringkat negeri kerana ia tidak didaftarkan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Namun, ia menjadi satu persoalan besar kepada saya berapa ramai sebenarnya yang menjadi penjaja selepas PKP.

“Satu kajian terperinci mengenainya sedang dilakukan kerana kita perlu tahu jumlah sebenar penjaja dan membuat data tepat mengenai diri mereka. Apa yang pasti, kesemua penjaja itu termasuk dalam golongan yang hilang kerja atau pendapatan di­sebabkan Covid-19.

“Mereka ini yang perlu kerajaan bantu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, kajian itu dijangka dapat dilengkapkan pada Oktober ini sebelum dibentang kepada Kabinet untuk mengetahui jenis bantuan yang sewajarnya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, sebelum Mac lalu, bilangan penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar de­ngan jabatan itu dan agensi kerajaan adalah seramai 1.5 juta.

Katanya, dengan data terbaharu itu, jumlah penjaja kini mencecah 2.5 juta walaupun ia bukan diperoleh secara rasmi kerana ada penjaja yang tidak mendaftar dengan mana-mana agensi.

“Pertambahan mendadak penjaja dan peniaga kecil di­sebabkan impak pandemik Co­vid-19 ke atas ekonomi anggota masyarakat.

“Mereka yang diberhentikan kerja, dipotong gaji atau graduan tidak mendapat pekerja disebabkan pandemik kini menjaja di bahu-bahu jalan demi kelangsu­ngan hidup,” katanya.

Namun, menurut Rosli, beliau khuatir lambakan penjaja akan memberi kesan terhadap sektor perniagaan kecil apabila jumlah penjaja melebihi bilangan pembeli.

Dalam pada itu, Pengasas Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia, Mohd. Ashraff Khan Md. Najib berkata, sebahagian penjaja terbabit tiada pengalaman dalam bidang perniagaan.

Kata beliau, mereka terpaksa menjadi penjaja untuk mencari rezeki walaupun pendapatan tidak mencukupi.

“Dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi dan komitmen sedia ada, mereka tiada banyak pilihan lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN