KUALA LUMPUR – Sebuah premis hiburan di sekitar ibu negara diserbu lewat malam tadi selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 2021.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, kompaun bernilai RM1,000 telah dikenakan kepada pengunjung premis hiburan terbabit.
“Sebanyak 94 kompaun bernilai RM1,000 telah dikenakan ke atas 94 pengunjung berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun di premis tersebut.
“Selain itu, polis turut mengeluarkan kompaun bernilai RM1,000 ke atas pemilik premis kerana tidak mematuhi Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, jumlah keseluruhan kompaun yang telah dikeluarkan menerusi Ops Aidilfitri itu bernilai RM95,000.
Katanya, operasi terbabit akan terus dilaksanakan bagi mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 yang masih tinggi demi kesejahteraan masyarakat. – KOSMO! ONLINE
















